TRAGEDI kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu menjadi perhatian ramai.

Lebih menyayat hati, ia dikhuatiri telah meragut 10 nyawa individu termasuk sembilan sekeluarga dipercayai dihanyutkan ketika sedang berkelah.

Aktiviti liburan itu bertukar duka apabila fenomena tersebut meragut dua beranak manakala lapan lagi individu masih hilang.

Menurut polis yang meninjau keadaan lokasi kejadian, paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus menyebabkan mangsa tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di sana.

Baca juga: Waspada kepala air di jeram & sungai berlaku sekelip mata, jangan leka beraktivti, 20 panduan elak jadi mangsa

Berikut info berkaitan:

1-Dua mayat mangsa tragedi itu iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, daripada orang awam pada pukul 12.30 tengah hari Ahad.

2-Jasad Azizah ditemukan terapung berhampiran kubur Kampung Laut kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian.

3-Manakala mayat Muhammad Zulqarnain pula dijumpai tersangkut pada dahan tebing sungai menuju ke Tasik Hutan Sungai Air Putih, iaitu kira-kira 2 km dari tempat kejadian.

6-Tidak hanya itu, dua buah kenderaan iaitu Proton Gen2 dan motosikal jenis SYM ditemui lebih kurang dua kilometer daripada mayat kedua.

7-Identiti dua beranak itu dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman.

8-Lapan individu dikenal pasti masih hilang dalam kejadian tragis yang berlaku pada 2 Julai lalu lalu itu.

Baca juga: Kepala air ragut nyawa dua pendaki di Gunung Suku, berikut kronologi kejadian

9-Ketua Polis Daerah Kemanan Supt Hanyan Ramlan berkata tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

10-Seorang lagi individu yang hilang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

11-Mereka sekeluarga difahamkan berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang telah ke jeram berkenaan sejak Sabtu untuk berkelah.

12-Bapa, Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai.

13-Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter menyebabkan tidak sempat untuk melarikan diri.

14-Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kekuatan 50 anggota daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam telah dihentikan pada 6 petang Ahad atas faktor cuaca dan akan disambung semula pada 8 pagi.

15-Radius kawasan pencarian SAR seluas 24 km mengambil kira lokasi penemuan mayat pertama. Setakat pukul 10 malam Ahad tiada sebarang penemuan baharu di lokasi kejadian.

16-Pencarian akan dipergiat di tebing kiri dan kanan jeram sejauh 8 km. Polis percaya kemungkinan lokasi mangsa boleh berada jauh dari titik awal kejadian kerana dibawa arus kepala air yang deras.

17-Dalam perkembangan terbaru, mayat tiga lagi mangsa iaitu Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4 dan Putri Nurerina Natasya Karim, 10, dijumpai pada pukul 11.05 pagi dan 12.05 tengah hari Isnin.

Baca juga: Tular video kepala air, arus deras di Lata Berangin, ramai doakan penduduk di Kelantan

WASPADA KEPALA AIR!

Iklan

Aktiviti rekreasi seperti perkelahan di kawasan air terjun adalah antara yang popular. Pun begitu, beberapa faktor keselamatan dan risiko perlu diambil kira termasuk fenomena kepala air.

Kepala air amat berbahaya kerana arusnya yang kuat membawa bersama kelodak, batu dan kayu.

Tidak hanya itu, aliran deras ini bergerak laju dan akan merempuh apa sahaja yang ada di sepanjang laluan.

Berikut adalah tanda-tanda waspada yang perlu diperhatikan:

1.Langit gelap di hulu sungai atau kawasan puncak bukit. Ia akan disertai bunyi petir dan guruh yang kuat.

2.Kedengaran bunyi dentuman gerakan batu-batuan dan air dari hulu sungai.

3.Air sungai berbuih dan meningkat naik secara tiba-tiba.

4.Daun kering dan ranting kayu muncul dengan banyak pada permukaan air.

5.Bunyi siren amaran (jika kawasan dilengkapi siren).

Iklan

6.Perubahan arus sungai dan keadaan cuaca. Perhatikan tanda-tanda langit gelap di kawasan hulu.

7.Sentiasa peka kepada perubahan cuaca. Walaupun tiada hujan di kawasan anda bermandi manda, hujan di hulu sungai boleh mengakibatkan kepala air.

8.Apabila terjadi tanda-tanda kepala air, bertindak segera kerana kita hanya mempunyai masa sekitar 10 hingga 15 minit sahaja untuk menyelamatkan diri.

Baca juga: [VIDEO] Kanak-kanak terperangkap kepala air muncul tiba-tiba, bomba kongsi video menyelamat

Sumber: Bernama 1, 2, 3, 4 , Berita RTM

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!