Anak-anak disleksia bukan lembab atau cacat. Ada yang genius dan kreatif. Kenali jenis-jenisnya

A
A
A

ALBERT Einstein, Leonardo Da Vinci, Thomas Edison, Tom Cruise termasuk Orlando Bloom merupakan nama-nama tokoh ternama dunia yang menghidap disleksia.

Namun, setiap daripada mereka berjaya dalam bidang masing-masing. Kebanyakannya juga bertuah kerana ketidaksempurnaan itu mendapat perhatian daripada ahli keluarga.

Berdasarkan statistik Austin Learning Solutions, Amerika Syarikat (AS), lebih 40 juta penduduk di negara itu mengalami disleksia tetapi hanya dua juta orang sahaja yang menyedari mereka berada dalam kategori tersebut.

KANAK-KANAK SUMBER Cottonbro-Studio daripada PEXELS.

Sementara, The Yale Center For Dyslexia & Creativity, AS berkata, 80 hingga 90 peratus penghidap gangguan itu mengalami masalah pembelajaran.

Di Malaysia, secara realiti, stigma masyarakat masih menyedihkan. Segelintirnya tanpa ada sifat peri kemanusiaan akan melontarkan kata-kata sarkastik kepada kanak-kanak disleksia yang sering dianggap cacat.

Padahal, kenyataan itu sangat bercanggah. Jadi, amat penting untuk semua orang mempunyai pengetahuan kukuh tentang disleksia.

Dr Muhammad Salehuddin Sulaiman

Justeru, pada segmen Medik kali ini, SinarPlus mengambil inisiatif menemubual Pakar Pediatrik, KMI Kuala Terengganu Medical Centre, Dr Muhammad Salehuddin Sulaiman untuk menjelaskan secara terperinci topik tersebut secara terperinci.

Ujar Dr Muhammad Salehuddin, disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran yang khusus.

"Sebilangan kanak-kanak yang menghidapnya (disleksia) bukannya lembab tetapi mereka mempunyai kesukaran untuk mengeja, membaca dan menulis.

"Seperkara lagi, keupayaan intelektual penghidap sebenarnya sama seperti kanak-kanak normal lain, cuma mereka mempunyai masalah pembelajaran walaupun telah mendapat pendidikan yang mencukupi," katanya ketika dihubungi.

 

Menurutnya, lima hingga 10 peratus penduduk di dunia termasuk Malaysia memiliki individu dengan disleksia.

Tegas pakar berkenaan, golongan itu juga bukannya mengalami kecacatan otak. Buktinya, ada dalam kalangan mereka yang dikategorikan sebagai genius dan mempunyai daya imaginasi tinggi serta kreatif.

disleksia SUMBER Cottonbro Studio daripada PEXELS.

Kelahiran pramatang & genetik

Mengulas lanjut, pakar itu berkata, tiada punca khusus bagaimana seseorang boleh mengalami disleksia tetapi berkemungkinan ia boleh terjadi disebabkan faktor genetik keluarga.

"50 peratus anak-anak cenderung mendapat risiko itu sekiranya ibu bapa terutama ayah yang pernah ada disleksia. Biasanya anak lelaki lebih mudah mendapatnya (disleksia) berbanding anak perempuan,"katanya.

Dalam pada itu, MedicineNetberkata, disleksia merupakan satu keadaan yang wujud semasa lahir dan mempunyai etiologi pelbagai faktor selain keturunan, antaranya seperti:

  1. Kelahiran pramatang.
  2. Pendedahan kepada bahan berbahaya seperti nikotin, dadah dan alkohol semasa kehamilan yang boleh menjejaskan perkembangan otak janin.
  3. Perkembangan otak janin mungkin berubah disebabkan oleh jangkitan pada ibu semasa mengandung.
  4. Perbezaan bahagian otak yang berkaitan dengan bacaan dan pemahaman.
  5. Pendedahan kepada tekanan dalam usia yang sangat muda.

SUMBER Yan Krukau daripada PEXELS.

Walaupun disleksia hadir semasa lahir, orang dewasa yang mengalami kecederaan otak, strok atau demensia mungkin mengalami gejala disleksia.

Disleksia mungkin bertambah teruk dengan pertambahan usia.

"Bagaimanapun, senarai ini tidak menyeluruh. Dalam banyak kes, tiada punca khusus boleh ditemui," kata MedicineNet dalam satu penulisan.

Kembali menyambung diskusi dengan Dr Muhammad Salehuddin, beliau berkata, kanak-kanak lazimnya dikesan mempunyai simptom disleksia seawal usia lima tahun. Ketika ini mereka berada dalam kelas tadika dan baru didedahkan dengan pembelajaran asas.

"Golongan ini dilihat mengalami kesukaran untuk mengenal huruf A hingga Z, susah mahu menyebut perkataan dan sulit mengenal bentuk atau warna. Namun, mereka seperti kanak-kanak normal tatkala bermain dan bergaul dengan kawan-kawan.

"Pun demikian, terdapat juga segelintir kanak-kanak disleksia cenderung mengganggu rakan sekelas dan buat bising lantaran berdepan masalah menguasai tugasan walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh. Pada masa sama, fokus anak-anak ini juga mudah hilang dan apabila ia terjadi, mereka mula mencari aktiviti lain untuk dilakukan," katanya.

Baca juga: Ibu bapa anak istimewa, ini 10 tip yang dikongsi pakar psikiatri

disleksia SUMBER Lina Kivika daripada PEXELS.

Dalam satu keadaan lain, Dr Muhammad Salehuddin berkata, terdapat sebahagian kes yang tidak dapat dikesan sehingga mereka dewasa.

Hal itu berlaku kerana kelompok tersebut dianggap lemah dalam pembelajaran dan kemudian dimasukkan ke kelas pemulihan sahaja.

"Satu lagi, ia disebabkan penghidap disleksia cuba mengatasi kelemahannya dengan menggunakan teknik mengingat keseluruhan perkataan. Sebagai contoh, jika pelajar normal, mereka mengeja perkataan 'membaca' mengikut suku kata, tetapi penghidap disleksia akan mengingati perkataan membaca sebagai keseluruhan perkataan tanpa mengeja.

"Saya bagi satu lagi analogi yang senang difahami, jika kanak-kanak normal melihat hutan sebagai pokok-pokok yang membentuk satu hutan, namun kumpulan tersebut akan melihatnya sebagai hutan sahaja," terangnya.

Teknik mengingat yang digunakan itu kata Dr Muhammad Salehuddin berkesan sehingga mereka tidak dapat dikesan sebagai penghidap disleksia. Namun begitu, apabila sudah dewasa, penghidap mungkin mengalami masalah ketika memasuki alam pekerjaan.

"Antara kesukarannya seperti membaca dan memahami sesuatu tugasan sekiranya arahan yang diberikan secara bertulis. Namun, apabila penerangan diberikan secara percakapan, tiada masalah untuk mereka menyelesaikan tugas dan arahan yang diberikan," katanya.

Baca juga: Manusia kidal miliki IQ lebih tinggi, tetapi mudah diserang penyakit? Berikut penjelasan pakar

disleksia SUMBER Tanya Gorelova daripada PEXELS.

Intervensi awal

Dalam pada itu, disleksia sebenarnya terdapat beberapa situasi atau keadaan yang perlu diketahui masyarakat. Berikut jenis-jenisnya seperti yang dikongsi oleh laman web perubatan,Hello Doktor:

1) Disleksia fonologi

Kanak-kanak mengalami kesukaran memisahkan kata-kata ke dalam unit yang lebih kecil dan menjadikannya sukar untuk memadankan dengan simbol bertulis.

Ia juga dikenali sebagai disleksia disfonetik.

2) Disleksia permukaan

Kanak-kanak menghadapi kesukaran mengingati keseluruhan perkataan dengan penglihatan.

Mereka mempunyai masalah tertentu dengan perkataan yang tidak berbunyi seperti mengeja.

3) Disleksia penamaan pantas

Kanak-kanak tidak dapat menamakan huruf atau nombor dengan cepat apabila mereka melihatnya.

Mereka boleh menyebutnya, tetapi mengambil masa lama untuk membaca satu baris.

Masalah itu juga dikaitkan dengan kelajuan pemprosesan membaca.

4) Disleksia defisit berganda

Segelintir kanak-kanak mempunyai kombinasi disleksia iaitu disleksia fonologi dan penamaan pantas.

Mereka mempunyai masalah mengasingkan bunyi dan tidak dapat menamakan angka serta huruf dengan cepat.

5) Disleksia visual

Kanak-kanak mempunyai pengalaman visual yang luar biasa apabila melihat perkataan.

Kadangkala boleh disamakan dengan disleksia permukaan kerana mereka tidak dapat mengenali keseluruhan perkataan dengan menggunakan penglihatan.

Dr Ezura Madiana Md Monoto

SinarPlus kemudian mendapatkan Pensyarah dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ezura Madiana Md Monoto.

Menurut Dr Ezura Madiana, seandainya ibu bapa sudah dapat mengesan ciri-ciri disleksia ke atas anak mereka, maka segeralah berjumpa dengan pakar pediatrik atau pakar perubatan keluarga.

Baca juga: ‘Nak kata malu, sikit pun tidak’. Dr Say sayu anak sulung autisme kini miliki kad OKU, berikut 25 kelebihannya mak-mak perlu tahu

Disleksia SUMBER Vika Glitter daripada PEXELS.

Berikut antara perkara yang akan dinilai ketika pemeriksaan dilakukan:

  1. Keupayaan untuk menumpukan perhatian.
  2. Kefungsian bahasa dan ingatan (keupayaan untuk memahami, mengingat dan melaksanakan arahan).
  3. Kemahiran ekspresif bahasa (kebolehan menggunakan kosa kata dan tatabahasa dengan betul).
  4. Kemahiran bahasa pragmatik (ekspresi muka, gaya tubuh badan, keupayaan meneruskan perbualan dengan respons yang bersesuaian dan dapat menyusun ayat menjadi naratif yang logik).
  5. Kemahiran koordinasi serta tugasan khusus membaca, menulis dan mengira.

Setelah semua ujian selesai, kadangkala anak-anak ini akan dirujuk kepada pakar psikologi bagi menjalani beberapa ujian khusus untuk menentukan diagnosis yang tepat.

"Setelah itu, intervensi awal yang bersesuaian mengikut tahap kanak-kanak tersebut amatlah penting untuk proses perkembangannya," katanya.

Tambah beliau, Persatuan Disleksia Malaysia misalnya, menyediakan program intensif selama tiga hingga enam bulan dengan menggunakan teknik pengajaran yang bersesuaian dan membantu kanak-kanak untuk belajar.

disleksia SUMBER Artem Podrez daripada PEXELS.

Selain itu, golongan berkenaan juga boleh diserapkan ke dalam Program Pendidikan Khas Integrasi dan Program Pendidikan Inklusif di sekolah-sekolah kerajaan bergantung kepada kemampuan masing-masing.

Kepada yang bertanya sama ada terdapat ubat-ubatan khusus untuk memulihkan disleksia, jawapannya tiada, kata pakar itu.

Namun, sekiranya kanak-kanak tersebut mengalami kondisi lain seiring dengan disleksia seperti Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), terdapat ubat-ubatan yang boleh diberikan bagi meningkatkan fokus mereka ketika belajar.

"Kaedah pengajaran dan pembelajaran juga diimplemenkan untuk memupuk minat mereka untuk belajar. Selain akademik, anak-anak ini boleh diasah dari segi bakat dan kemahiran agar pandai berdikari untuk menghadapi kehidupan di luar. Berikan mereka peluang sebaiknya.

"Kumpulan sokongan ibu bapa turut memainkan peranan penting bagi memberikan semangat moral dan emosi kepada keluarga yang mempunyai anak-anak mengalami disleksia," katanya lagi.- NUR SUHAIMA NORDIN

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca