Anak jalan lambat petanda kepada autisme? Pakar pediatrik ini beri penjelasan lanjut
Anak jalan lambat petanda kepada autisme? Pakar pediatrik ini beri penjelasan lanjut
APABILA si kecil masih merangkak dan belum menunjukkan tanda-tanda untuk berjalan, biasanya golongan ibu terutama yang baru memperoleh cahaya mata pertama menjadi panik.
Meskipun satu penyelidikan bertajuk Zurich Children‘s Hospital yang diterbitkan dalam Jurnal Acta Paediatrica menyatakan, anak-anak yang berusia sembilan hingga 12 bulan ke atas baru boleh berjalan, tetapi sesetengah ibu seakan sukar menerima kenyataan itu.
Bukan apa, dalam benak mereka, sentiasa memikirkan kesudahan yang negatif. Antaranya, si cilik mungkin berdepan masalah tumbesaran dan paling teruk, barangkali mengalami kecacatan.
Itu satu hal. Namun dewasa ini, ‘sindrom‘ membandingkan (auto-comparing) perkembangan anak masing-masing semakin menjadi-jadi di media sosial.
Sebenarnya, kebimbangan itu tidak perlu dizahirkan terlalu awal. Namun, jika anak anda masih belum boleh berjalan pada usia 18 bulan ke atas, inilah saat yang perlu dipandang serius kerana pelbagai kebarangkalian boleh berlaku.
Bagi memberi pencerahan lanjut mengenainya, SinarPlus mendapatkan Pakar Pediatrik, Putra Specialist Hospital Melaka, Dr Azri Fikri@Fickry.
Senada dengan Jurnal Acta Paediatrica itu, Dr Azri berkata, kanak-kanak kelazimannya akan mula berjalan sekitar umur 12 bulan.
“Ada yang bermula awal, ada juga yang sedikit lambat. Secara perubatan, perkembangan kanak-kanak boleh dikatakan terjejas sekiranya masih tidak mampu berjalan menjelang umur 18 bulan,“ jelasnya mengulangi fakta.
Berikut adalah fasa pergerakan si manja mengikut bulan:
1) 6 hingga 8 bulan: Duduk dan merangkak.
2) 12 hingga 18 bulan: Berdiri sendiri, berjalan merambat sambil memegang tembok, kerusi atau meja, berjalan hingga beberapa minit tanpa pegangan.
3) 18 hingga 24 bulan: Berjalan sendiri tanpa masalah, membawa mainan atau benda apa pun yang cukup besar tanpa dibantu dan dapat menaiki atau menuruni tangga dengan bantuan.
4) 24 hingga 36 bulan: Boleh berlari, memanjat, naik dan turun tangga tanpa bantuan dan berjalan berjinjit.
Baca juga: Struggle urus zuriat istimewa, bapa kongsi cara latih anak autisme seawal usia
Baca juga:Kanak-kanak normal pun boleh ada ciri autisme, ini mak-mak perlu perhatikan
Bagaimana pula dengan bayi yang dilahirkan pramatang? Jelas Dr Azri, jika si comel itu dilahirkan pada usia kandungan tujuh bulan, secara kasarnya, pertumbuhan mereka lambat selama dua bulan.
“Namun ada juga yang mampu berjalan awal, tetapi ini harus dinilai secara konteks kerana perkembangan kanak-kanak melibatkan komponen motor halus, motor kasar, pertuturan, pemikiran dan sosial,“ katanya.
Cerebral palsy
Bercakap mengenai penyebab kenapa bayi lewat ‘mengorak langkah‘, Dr Azri memberi pemahaman mudah.
Ujar beliau, untuk berjalan, seseorang memerlukan kecerdasan otak, saraf tunjang yang sempurna dan otot kaki yang normal strukturnya.
“Dalam hal ini, banyak penyakit melibatkan otak seperti Cerebral palsy adalah faktor biasa mengapa kanak-kanak lambat berjalan. Punca-puncanya adalah disebabkan jangkitan serius pada otak (meningitis), lemas sewaktu dilahirkan atau penyakit seperti struktur otak yang tidak normal,“ terangnya.
Seperti yang diperkatakan tadi, otot juga mempengaruhi (si kecil berjalan) dan pada masa sama, ia bersifat jangka panjang.
“Terdapat sejenis penyakit dinamakan Muscular dystrophy iaitu satu keadaan yang mana ibu adalah pembawa kepada baka masalah yang dihidapi anak.
“Selain ujian darah, ujian-ujian lain seperti MRI (Magnetic Resonance Imaging) dan CT Scan akan dijalankan. Proses untuk diagnosis juga agak sukar dan mengambil masa. Ini pastinya menambah keresahan ibu bapa kerana terpaksa menunggu jawapan,“ katanya.
Jika mahu dikaitkan dengan elemen penyakit keturunan, ujian genetik khas perlu dilakukan, beritahu Dr Azri.
Menyentuh tentang hal itu, Family Health Service (FHH), Hong Kong merujuk kes Developmental Dysplasia of Hip (DPH) iaitu bayi yang dilahirkan dengan sendi pinggul yang tidak stabil dan tidak berkembang secara normal.
“Salah satu punca DPH adalah riwayat keturunan dan ia boleh menyebabkan postur kaki budak menjadi lemah,“ kata FHH.
Sesetengah pandangan menyebut, baby walker turut berperanan kepada proses anak berjalan. Apabila hal tersebut disuarakan, Dr Azri berkata, secara umumnya, andaian itu tidak tepat.
“Walaupun risiko kematangan otot dan sendi terjejas dikaitkan, tetapi majoriti penjaga tidak menggunakan baby walker untuk tempoh yang terlalu lama setiap hari.
“Apa yang merisaukan kita adalah komplikasi lain. Contohnya, kemalangan akibat terjatuh ketika anak tiada pengawasan. Maka, pelbagai kecederaan berpotensi terjadi di mana-mana anggota badan.
“Penting untuk makluman semua, penggunaan baby walker adalah tidak digalakkan, namun jika digunakan, pemerhatian ibu bapa sangat penting,“ tegasnya.
Daripada banyak perspektif yang bertebaran, teori yang mengatakan salah satu asas kanak-kanak lewat berjalan adalah petanda awal autisme.
Tidak mahu ia terus menjadi tanda tanya, soalan itu dikemukakan kepada Dr Azri. Jawabnya: “Mungkin ya dan mungkin tidak. Seperti yang saya sentuh tadi, perkembangan kanak-kanak melibatkan banyak komponen. Justeru, beberapa penilaian wajib dan perlu diteliti.
“Majoriti kanak-kanak akan melalui semua fasa mengikut turutan. Sekiranya ada komponen terlalu cepat dan terlalu lambat, adalah lebih baik jika anak ini dibawa berjumpa doktor untuk penilaian yang lebih tepat.“
Kemahiran kognitif
Dalam satu kajian di Amerika SyarSUMBERikat (AS), bayi yang lewat berdiri dan berjalan dikatakan mempunyai lebih banyak cabaran dalam menguasai kemahiran kognitif. Serentak dengan itu, tahap pembelajaran mereka di prasekolah juga agak perlahan.
Menurut Penyelidik Kanan, National Institute of Child Health and Human Development, AS, Edwina Yeung, kira-kira 600 bayi yang menjadi responden kajian tersebut mula berdiri berpegangan tangan pada usia lapan dan sembilan bulan.
Bayi yang tidak menunjukkan tanda-tanda boleh berdiri walaupun dengan bantuan hingga umur 11 bulan didapati mempunyai skor kemahiran kognitif dan penyesuaian yang lebih rendah dalam ujian prasekolah pada usia empat tahun.
“Meskipun terdapat hubungan di antara perkembangan motor bayi dan kebolehan kognitif, ia tidak bermakna kanak-kanak itu cacat, cuma mereka lebih lambat menguasai kebolehan tertentu seperti mengingati dan memahami sesuatu dengan pantas,“ jelas Edwina.
Pun demikian, ujar sesetengah penyelidik, terdapat keterbatasan dalam penyelidikan itu apabila sebilangan besar ibu dan bayi (yang menjadi responden) tidak muncul semasa lawatan di klinik kajian seperti yang diminta.
Dalam pada itu, Penyelidik Florida International University, AS, Eliza Nelson, berkata, kanak-kanak tidak selalunya lebih bijak apabila perkembangan motor mereka pantas.
Kenyataan itu disokong Penyelidik Psikologi, Universiti Pittsburg, AS, Jana Iverson yang mengatakan, pertumbuhan motor kanak-kanak pastinya berbeza, selagi ia berada dalam julat yang sihat, semuanya akan baik-baik sahaja.
“Bagaimanapun, keupayaan untuk berdiri dan berjalan sememangnya boleh menjejaskan perkembangan bahasa kerana bayi yang boleh berkomunikasi dengan lebih banyak, maka lebih besar jumlah objek yang boleh mereka capai.
“Duduk dan merangkak juga mengubah cara bayi memahami dunia di sekeliling mereka,“ kata Iverson.
Sementara itu, Pakar Pediatrik, Universiti McMaster, Kanada, Peter Rosenbaum berkata, sebaik-baiknya ibu bapa patut memfokuskan kualiti gerakan anak-anak berbanding dengan kemampuan mereka berjalan.
“Pada saat si anak masih lincah merangkak, nikmati sahaja proses pertumbuhan mereka. Raikan setiap pencapaian si cilik sambil terus memerhatikan kemajuan dan aspek stimulasi atau rangsangannya. Selain itu, ambil berat tentang keperluan nutrisi yang mencukupi,“ kata Rosenbaum.
Menurut Hello Doktor, beri si manja menikmati bijirin, buah, sayur, tenusu dan protein. Namun, lebihkan buah dan sayur dalam diet mereka kerana mengandungi lebih nutrien.
#kesresponden
Anak Mastura jalani fisioterapi khas, zuriat Athira derita Cerebral palsy
SIKAP ibu bapa zaman ini yang suka membandingkan kemajuan anak mereka dengan orang lain, sememangnya boleh mendatangkan tekanan kepada individu tertentu.
Itu yang terjadi kepada Mastura Mazlan, 35, yang memiliki anak yang mempunyai masalah lambat berjalan.
“Apabila saya luah perasaan kenapa anak kedua saya yang sudah berumur setahun tak boleh jalan di laman Facebook, saya terima banyak kata-kata kecaman.
“Antara yang susah saya nak terima adalah mereka tuduh anak saya autisme dan mungkin ada masalah otak. Saya jadi gelabah bila mendengar semua itu dan membuatkan saya kemurungan,“ ujarnya.
Selepas merujuk anak kesayangannya dengan pakar pediatrik, kata Mastura, pihak hospital memaklumkan bahawa tiada masalah serius yang berlaku.
Namun, beliau disarankan untuk membawa si kecil itu menjalani fisioterapi.
“Kata doktor lagi, saya tidak perlu terlalu risau kerana tumbesaran setiap anak berbeza-beza,“ katanya.
Seperti dikongsi oleh pakar, Mastura berkata, fisioterapi tersebut antara lain melatih si kecil untuk relaksasi otot.
Pada masa sama, beberapa senaman ringan dan urutan khusus turut diimplemenkan.
Beritahu wanita yang berasal dari Melaka itu, pendekatan tersebut telah memberi manfaat dari segi pernafasan, mengekalkan kesihatan fizikal dan baik untuk kelenturan otot anaknya.
“Sebelum dilakukan di rumah, saya diberi tutorial oleh doktor dan jururawat. Saya praktikkan ke atas atas anak saya dalam tempoh lebih kurang tiga hingga lima bulan.
Alhamdulillah, kini anak saya dapat berjalan sebelum usianya mencecah dua tahun,“ katanya.
Baca juga:Bapa reda, gara-gara anak autisme rumah sewa ditamatkan kontrak
Baca juga: Bawa anak kecil, anak saudara autisme naik flight , Fazura luah kecewa diherdik penumpang wanita
Seorang lagi ibu, Athira Lukman, 26, berkata, menjadi ibu muda menjadikan beliau sedikit kalut apabila anak sulungnya yang sudah berusia 17 bulan tidak boleh berjalan.
“Cerita saya mungkin agak sedih sedikit dan saya sendiri tidak sangka dikurniakan anak yang menghidap Cerebral palsy. Naluri saya sebenarnya sudah mula tak sedap sebab saya lihat perkembangan anak saya sangat perlahan dari pelbagai sudut.
“Antaranya, dia tidak secergas bayi lain yang aktif mencapai itu dan ini, sukar nak kunyah makanan dan kakinya seperti tak berupaya nak berdiri.
“Akhirnya, kebimbangan saya terjawab apabila doktor sahkan dia menghidap Cerebral palsy,“ katanya.
Pun demikian, ibu muda itu tidak mahu cepat berputus asa. Kini, beliau masih berulang-alik ke hospital untuk menjalankan terapi fizikal ke atas zuriat kesayangannya yang kini sudah berusia dua tahun setengah.
“Saya tahu, Cerebral palsy ini tidak boleh sembuh, tetapi sekurang-kurangnya terapi ini boleh membuatkannya bergerak walau tak sempurna seperti kanak-kanak lain,“ ujar pegawai bank itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang