TERTARIK dengan reka bentuk kebaya tradisional yang lengkap jahitan renda sulaman tangan membuatkan Darren Seah terus terpesona.

Tidak hanya meminati desain semata-mata, keistimewaan busana Melayu itu menjadi sumber inspirasi ahli perniagaan berusia 40 tahun berkenaan untuk mencipta jenama sendiri, Leayna.Co.

Ujar Darren, setiap rekaan baju termasuk renda buatan tangan diperincikan supaya seiring dengan fesyen semasa.

“Saya paling utamakan sulaman renda yang menjadi signatur busana kami. Corak floral yang kami miliki memang unik dan tidak akan sama dengan baju lain.

“Semua bahan yang kami gunakan juga dihasilkan di kilang sendiri di China supaya tidak berdepan isu kekangan stok dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Pejabat Urusan Leayna.Co di Kuala Lumpur baru-baru ini.

renda leayna.co

Bercerita lebih lanjut mengenai kualiti fabrik yang diguna pakai, usahawan itu memberitahu, setiap material yang digunakan untuk setiap koleksi adalah berbeza.

Untuk himpunan baju kurung moden, beliau menggunakan kain jenis satin duchess.

“Bukan sahaja pelanggan tapi saya juga sangat sukakan fabrik ini kerana nampak lebih elegan dan berkilau. Boleh dikatakan ia diibaratkan pakaian diraja atau busana raja sehari.

renda leayna.co

“Sebab itu, setiap baju yang direka menggunakan satin ini boleh dijadikan persalinan pernikahan, majlis formal atau meraikan sambutan Aidilfitri. Memang nampak mewah dan bergaya,” tuturnya.

Baca juga Topi buatan tangan 100 peratus daripada By A.M. Amy belajar buat hanya tonton YouTube. Memang terbaik

Bagi koleksi kasual, dress dan abaya sentuhannya pula menggunakan kain jenis crepe premium.

“Selain memberikan flow tirai yang cantik, ia juga sejuk dan tidak perlu digosok. Jadi memang sesuai buat mereka yang ingin bergaya dengan cara pantas,” ungkapnya.

 

KEKANGAN

Mengusahakan label bersama suaminya, Calvin Pang, 45, itu pada awalnya bukanlah mudah.

Leayna.Co yang diperkenalkan pada Oktober 2019 itu berdepan kekangan cukup besar.

Sudah berhabis modal hingga RM20,000, namun hanya boleh beroperasi selama empat bulan sahaja.

renda leayna.co

Situasi itu adalah berpunca pandemik wabak Covid-19 yang banyak mengubah landskap kehidupan masyarakat.

Perintah Kawalan Pergerakan membuatkan jualan Darren terhenti, malah stok yang diimport dari China tersekat di kargo.

Baca juga Hanya jual kasut vintaj, remaja mampu jana pendapatan hingga RM1.09juta setahun. Lumayan sungguh!

Ketika itu kongsi Darren, beliau dan suami terus bersabar berdepan dengan ujian getir itu.

renda leayna.co

“Kami memang tak sangka semua itu akan berlaku. Nasib baiklah selepas itu kami melakukan jualan secara online.

Iklan

“Cuma masa itu, kami belum popular lagi disebabkan stok terhad. Namun, selepas semuanya kembali pulih, kami terus mara ke depan tanpa fikir panjang,” katanya penuh semangat.

PASARAN SINGAPURA

Berbekalkan pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia fesyen membuatkan wanita berkenaan berani untuk meneroka dunia perniagaan dengan lebih luas.

Tidak hanya tertumpu dengan desain Muslimah semata-mata, Darren sedang mengintai peluang menembusi pasaran Singapura dalam mengetengahkan koleksi pakaian wanita moden.

renda leayna.co

“Sekarang masih dalam proses untuk buka syarikat di sana. Pada masa sama, saya juga akan membuka butik Leayna.Co di Taman Perindustrian Puchong Utama, Selangor yang kini sedang dalam kerja ubah suai.

“Jika mengikut perancangan, premis fizikal tersebut akan dibuka menjelang tahun depan, lengkap dengan lebih 100 koleksi dan ruang studio,” katanya yang pernah mencapai jualan RM4 juta setahun.

renda leayna.co

Iklan

Memahami trend fesyen yang sentiasa berubah, Darren percaya kesetiaan pelanggan dapat dikekalkan sekiranya produk yang diperkenalkan mempunyai nilai tinggi.

Justeru, katanya, setiap idea baharu akan dibentangkan bersama pereka fesyen di China untuk memastikan setiap keluaran memiliki signatur tersendiri.

renda leayna.co

“Saya mempunyai strategi tertentu untuk terus menawan hati pelanggan. Paling penting, kita kena pandai jaga kualiti dan pastikan harga berpatutan.

“Oleh itu, kepada para wanita di luar sana, tak salah jika memiliki impian sebesar lautan, paling penting usaha kita ke arah itu. Jangan cepat putus asa dan bekerja keraslah,” nasihatnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang