APABILA Malaysia mencatatkan peningkatan drastik kes positif Covid-19 beberapa minggu lalu, ramai yang berasa cuak dan ‘sesak‘.

Masakan tidak, virus itu menyimpan segudang misteri yang masih belum dapat dirungkaikan sehingga ke hari ini.

Beberapa minggu lalu, saluran televisyen antarabangsa Channel News Asia dan NHK turut melaporkan situasi mencemaskan di negara kita. Beberapa klip video yang dipaparkan begitu menggerunkan.

Pada awalnya, kerajaan hanya memutuskan untuk melaksanan Perintah Kawalan Pergerakan sahaja, namun tidak sampai seminggu keputusan itu diubah.

Akhirnya Sekatan Pergerakan Penuh dikuat kuasakan bermula 1 Jun lalu.

Pendekatan itu disifatkan wajar oleh kebanyakan pihak memandangkan kapasiti katil di hospital-hospital di seluruh negara sudah berada pada tahap maksimum.

Pun demikian, kita boleh menarik nafas lega apabila 3.44 juta individu sudah menerima suntikan vaksin dan bilangan itu akan bertambah dari semasa ke semasa.

Namun, terdapat satu isu yang hangat diperdebatkan menerusi media sosial sejak kebelakangan ini.

Tidak lain tidak bukan adalah mengenai gejala kegembiraan hipoksia atau lebih dikenali sebagai Happy hypoxia.

Hal terbabit turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mengulas tentangnya.

Adham antara lain mendedahkan, Happy hypoxia mula dikesan menyerang segelintir pesakit Covid-19 di negara ini selepas pemerhatian secara klinikal dibuat.

Katanya, tidak hanya di Malaysia, masalah itu turut berlaku pada pesakit Covid-19 terutama dalam kalangan orang muda di seluruh dunia seperti di Amerika Syarikat, India dan Indonesia.

Adakah Happy hypoxia membawa maksud kegembiraan, kebahagian, kelegaan atau menyampaikan satu berita baik kepada pesakit? Adakah ia hanya satu terma semata-mata?

Untuk mendapatkan kepastian, SinarPlus menghubungi Pakar Perunding Perubatan, Paru-paru dan Permasalahan Tidur, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa baru-baru ini.

Dr Nurul Yaqeen.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Nurul Yaqeen berkata, hipoksia adalah satu keadaan yang menyaksikan seseorang mengalami masalah kekurangan oksigen di dalam tisu badan.

“Secara teknikalnya, paras oksigen dalam badan manusia yang normal adalah mesti melebihi 95 peratus. Apabila kurang daripada nilai berkenaan, maka ketika itu hipoksia sedang berlaku,“ katanya.

Kepada SinarPlus, pakar itu memberitahu, hipoksia tercetus disebabkan oleh pelbagai penyakit dan beberapa keadaan. Antaranya seperti:

  • Asma dan pneumonia.
  • Paru-paru obstruktif kronik.
  • Paru-paru berparut.
  • Masalah gangguan tidur.
  • Penyakit pleura.
  • Darah beku pada salur darah paru-paru.
  • Penyakit jantung berlubang seperti kecacatan ventrikel septal dan kecacatan atrial septal.
  • Kekurangan hemoglobin di dalam sel darah merah
  • Berada pada kedudukan altitud yang tinggi.

“Kebiasaannya, apabila seseorang mengalami masalah hipoksia, otot pernafasannya akan bekerja lebih keras untuk membekalkan lebih banyak oksigen.

“Antara otot pernafasan yang terlibat ialah otot interkostal, sternokleidomastoid, skalene, diafragma dan otot pada dinding abdomen. Oleh sebab itu, apabila seseorang mengalami hipoksia, kadar pernafasannya akan menjadi lebih laju,“ terang beliau.

Berdasarkan rekod, kadar normal adalah sekitar 12 hingga 20 kali pernafasan dalam seminit.
Sekiranya menjangkau 40 hingga 50 kali pernafasan dalam seminit, seseorang boleh menjadi panik.

“Pernafasannya juga akan bermasalah dan pada masa sama akan tercungap-cungap,“ kata beliau.

Pesakit Covid-19 dalam bahaya

Pun demikian, tegas Dr Nurul Yaqeen, bagi pesakit Covid-19, perkara yang berbeza berlaku dan situasi itu amat membimbangkan.

“Mengapa? Ini kerana meskipun mereka mengalami hipoksia, golongan itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kesukaran untuk bernafas, walaupun tahap oksigen rendah.

“Otot-otot pernafasan mereka juga tidak bekerja lebih keras daripada biasa. Mereka juga tidak menunjukkan tanda-tanda kerisauan atau panik. Ia boleh menimbulkan kekeliruan bukan sahaja dalam kalangan diri pesakit, malahan kepada doktor yang merawatnya,“ jelasnya.

Secara tidak langsung, kata pakar itu, ia sedikit sebanyak menyukarkan doktor untuk mengklasifikasikan pesakitnya menghidap Happy hypoxia atau tidak.

“Sudahlah tiada petanda, mereka juga lazimnya kelihatan tenang dan normal sahaja seperti tiada apa-apa berlaku.

Itu sebab situasi itu dipanggil sebagai kegembiraan hipoksia kerana pesakit Covid-19 ini kelihatan gembira, namun hakikat sebenarnya, tahap oksigen dalam badan mereka sudah rendah. Mereka juga tidak tahu diri mereka berisiko,“ terangnya.

Daripada penerangannya, tidak salah untuk SinarPlus rumuskan bahawa Happy hypoxia kini menjadi pembunuh senyap terutama bagi pesakit virus korona.

Pendapat berkenaan dipersetujui oleh Dr Nurul Yaqeen.

Beritahunya, apabila tiada sebarang simptom dapat dikesan, maka ia sukar dirawat.

“Jika hal itu berlaku, ini bermakna mereka di ambang maut. Sudah beberapa kes menyaksikan pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam senyap kerana mereka tidak menyedari kondisi sebenar mereka,“ ujarnya.

Situasi menakutkan itu pernah terjadi ke atas seorang pakar bius di sebuah hospital di Manchester, United Kingdom, Dr Mike Charlesworth.

Kepada The Guardian beliau berkata, selaku seorang doktor, beliau sedikit bertuah kerana mempunyai pengetahuan dan dapat merasai ‘keanehan‘ pada tubuh badan ketika diserang Covid-19.

“Saya rasa badan tak selesa, batuk, demam dan bibir saya kelihatan gelap. Saya menghabiskan masa selama dua hari dengan hanya berbaring sahaja. Ketika itu saya sudah dapat simpulkan yang diri saya mempunyai tanda-tanda hipoksia,“ katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nurul Yaqeen memberitahu, kumpulan pesakit Covid-19 yang berada dalam kategori 4 dan 5 sangat mudah diserang kegembiraan hipoksia.

“Pada ketika itu, virus sudah mula menunjukkan kesannya pada paru-paru.Sekiranya pesakit Covid-19 berada di hospital, maka hipoksia boleh dikesan kerana setiap empat jam, paras oksigen pesakit akan dipantau,“ katanya.

Namun begitu, jika pesakit dikehendaki menjalani tempoh kuarantin di rumah, hipoksia memang sulit untuk diketahui, melainkan sekiranya mereka membeli alat mengesan kadar oksigen dalam badan yang dikenali sebagai oksimeter nadi atau pulse oximeter.

Iklan

Jenis

Merujuk Prinsip Perubatan Dalaman Harrison Edisi ke-20, terdapat pelbagai jenis hipoksia atau punca oksigen tidak mencukupi dalam tisu badan seperti:

  1. Hiposemik hipoksia: Tisu tidak mempunyai oksigen yang cukup kerana terdapat kekurangan oksigen dalam darah yang mengalir ke tisu. Hiposemik hipoksia boleh disebabkan oleh pernafasan yang tidak mencukupi atau beberapa sebab lain.
  2. Anemia hipoksia: Paras hemoglobin yang rendah mengakibatkan keupayaan darah berkurang untuk membawa oksigen yang dihirup. Oleh itu, bekalan oksigen yang dibekalkan berkurangan untuk tisu badan.
  3. Hipoksia stagnan (hipoksia peredaran darah): Keadaan itu berlaku apabila aliran darah yang tidak mencukupi sehingga mengakibatkan kurangnya oksigen yang tersedia dalam tisu badan.
  4. Hemotoksin hipoksia: Ia melibatkan jumlah oksigen yang mencukupi melalui paru-paru pesakit dan dihantar ke tisu. Namun demikian, tisu tidak dapat menggunakan oksigen yang dibekalkan.
  5. Hipoksia metabolik: Berlaku apabila terdapat permintaan untuk oksigen oleh tisu daripada biasa. Oksigen boleh diserap, diangkut dan digunakan dengan betul oleh tisu, tetapi disebabkan oleh masalah metabolisme, ia masih tidak mencukupi.

Mengulas lanjut, Ketua Hal Ehwal Perubatan & Kualiti, Hospital Pantai Pulau Pinang, Dr Chung Wai Keat berkata, organ-organ yang paling terjejas jika diserang hipoksia ialah otak, jantung dan hati.

Dr Chung Wai Keat.

“Sekiranya hipoksia itu berada pada tahap kronik, kerosakan tidak dapat dipulihkan. Lebih parah, ia akan menyebabkan koma dan sawan. Selain itu, ia juga boleh mengundang kematian.

“Begitu juga dengan hipoksia ringan yang mana kerosakan pada organ-organ utama badan boleh berlaku,“ ujar beliau tentang betapa seriusnya Happy hypoxia.

Seperti kata Dr Nurul Yaqeen, pakar tersebut berkata, para pesakit Covid-19 yang berada dalam fasa kuarantin di rumah perlu memiliki alat oksimeter nadi.

Artikel berkiatan: Awas! otak pesakit Covid-19 tidak terima isyarat oksigen semakin kurang, paru-paru terus shut down

“Ia merupakan gajet paling penting untuk memberitahu seseorang tentang kadar kepekatan oksigen dalam darah.

“Ia (kepekatan oksigen dalam darah) disukat dalam unit SpO2. Bacaan normal SpO2 adalah antara 95 ke 100 peratus. Kepekatan oksigen yang bagus adalah penting supaya otot-otot dan sel badan dapat bekalan oksigen yang mencukupi,“ jelasnya.

Justeru, pada peringkat ini, bagi mencegah kematian disebabkan fenomena kegembiraan hipoksia itu, alat oksimeter nadi wajib dimilikinya, tegasnya.

“Sekali lagi, saya mahu ingatkan agar pesakit Covid-19 yang dikuarantin di rumah perlu mempunyai oksimeter nadi bagi merekodkan paras oksigen masing-masing.

“Jika paras (oksigen) anda menunjukkan kurang daripada 95 peratus, segeralah hadir ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan bantuan bekalan oksigen. Ingat, pengesanan awal gejala kegembiraan hipoksia boleh mengelakkan kematian secara senyap dalam kalangan pesakit Covid-19,“ kata Dr Wai Keat.

“Ayah pergi begitu saja tanpa ada sebarang gejala”

Iklan

“SELEPAS ujian calitan dibuat, bapa saya disahkan positif. Namun, beliau kelihatan relaks saja dan tiada gejala seperti batuk, selesema atau demam yang terlalu teruk.

“Pun demikian, selepas ditempatkan di sebuah pusat kuarantin, bapa saya meninggal dunia pada hari yang sama dan hal ini sangat mengejutkan kami semua.“

Demikian cerita Nor Azie Ahmad, 24, tentang pemergian ayahnya, Ahmad Mohamad, 49, baru-baru ini selepas dijangkiti Covid-19 tanpa simptom yang membahayakan pada mata kasar.

Imbau Nor Azie, kehilangan bapa tersayang sememangnya menjadi tanda tanya dalam kalangan ahli keluarga.

“Pada awalnya, ayah kuarantin selama dua hari di rumah sebelum mendapat panggilan untuk ke sebuah pusat khas berdekatan. Betul, saya tengok ayah sihat dan langsung tiada tanda-tanda kesukaran untuk bernafas atau apa jua simptom yang menakutkan.

“Pun demikian, kami perasan bibir ayah kelihatan sedikit kebiruan, tetapi kami tidak fikir apa-apa ketika itu,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Selepas arwah ayahnya disemadikan, Nor Azie yang menetap di Kota Bharu, Kelantan berkata, beliau mula melayari beberapa informasi berkaitan Happy hypoxia yang hangat diperkatakan melalui media sosial.

“Bila difikirkan semula, kami syak ayah mungkin menghadapi Happy hypoxia yang dikatakan sebagai pembunuh senyap. Selepas itu, saya baru teringat tentang saranan doktor yang pernah meminta kami membeli alat oksimeter nadi untuk pantau pernafasan ayah semasa beliau kuarantin di rumah.

“Apa yang saya faham tentang Happy hypoxia adalah seorang pesakit Covid-19 biasanya tak tahu dirinya mereka kekurangan oksigen dalam badan.

Ia berlaku disebabkan terdapat jangkitan pada paru-paru yang disebut sebagai pneumonia. Pneumonia akan menyebabkan gangguan sirkulasi oksigen masuk ke dalam darah.

“Doktor juga terangkan pada kami, apabila kondisi itu terjadi, ia boleh menyebabkan seseorang maut secara tiba-tiba dan kami berpendapat itulah yang terjadi kepada ayah yang pergi secara tiba-tiba tanpa gejala,“ dakwanya.

Kepada SinarPlus, Azie berkata, beliau tidak menyalahkan sesiapa dan akur dengan takdir yang diatur oleh-NYA.

Artikel berkaitan: Covid-19: Pesakit yang kuarantin di rumah harus miliki alat pulse oximeter. Ini fungsi alat itu

“Justeru, kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang diminta kuarantin diri di rumah, belilah oksimeter nadi.

“ Ia menjadi petunjuk yang bagus untuk mengukur tahap oksigen pesakit Covid-19. Jika sebarang hal terjadi, kita boleh rujuk terus ke hospital,“ katanya.