Gara-gara kawan main gam gajah, murid disahkan melecur tahap 1, kulit seperti terbakar
ANAK-anak suka mencuba perkara baru, terutama apabila melihat abang atau kakaknya menggunakan alat yang berbeza daripada apa yang biasa mereka gunakan di sekolah.
Baru-baru ini, satu kejadian tular di media sosial apabila seorang murid sekolah rendah mengalami kecederaan kulit melecur akibat terkena gam gajah.
Insiden tersebut menimbulkan kebimbangan ramai, sehingga ibu mangsa, Husna Adnan, terpanggil untuk berkongsi kisah ini demi memberi kesedaran kepada orang ramai.
Menurut Husna, kejadian dipercayai berlaku di sekolah apabila rakan sekelas anaknya tanpa sengaja meletakkan gam gajah atau ‘Super Glue’ di atas meja kelas.
Namun, malang tidak berbau apabila anaknya,Afia menjadi mangsa apabila lengannya terkena gam tersebut sehingga menyebabkan kecederaan yang serius.
“Benda nak jadi. Dalam ramai-ramai murid, Afia yang terkena gam ‘Super Glue’ yang kawannya letak di atas meja. Pelakunya pula bernasib baik. Mungkin dia pun tak tahu gam ini berbahaya.
“Kecederaan Afia disahkan sebagai 'first degree burn atau superficial burn'. Perlu makan antibiotik dan datang semula ke klinik esok untuk cuci luka. Dapat cuti dua hari. Mujur dah selesai Ujian Akhir Sesi Akademuk (UASA),”tambahnya.
Husna turut menggambarkan kerosakan yang dialami akibat gam tersebut.
“Habis "terbakar" lengan baju, baju, tudung, dan handsocks yang Afia pakai. Kebetulan hari ini dia pakai handsocks sebab lengan baju pengakap sedikit senteng. Kalau tak, pasti melecur lebih teruk.
“Awalnya saya sangka dia tenang sahaja, balik dari klinik baru cerita dia menjerit dan terus menangis sebab terlalu sakit. Macam kena bakar.
“Dia cuba urus sendiri tapi dah sakit sangat baru dia bangun beritahu cikgu. Kebetulan pula bilik sakit tutup, cikgu telefon minta ambil bawa jumpa doktor sebab nampak teruk. Baju dia semua rosak dah,” ujarnya ibu mangsa.
Bimbang jika kejadian sama berulang, Husna menasihati para ibu bapa agar lebih peka dan memastikan anak-anak tidak membawa barangan tersebut ke sekolah jika tiada keperluan yang mendesak.
Dalam hantaran di Facebook, Husna menyatakan bahawa dirinya berlapang dada menerima permohonan maaf daripada ibu bapa pelaku.
Mereka juga bersetuju untuk menanggung segala kos rawatan, termasuk bil klinik dan ganti rugi bagi pakaian yang rosak akibat kejadian tersebut.
“Kami menerima permohonan maaf daripada guru bertugas dan ibu pelaku. Ibu pelaku setuju membayar semua ganti rugi termasuk bil klinik,”katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang