SETIAP individu memiliki kecintaan terhadap haiwan yang berbeza-beza. Sebahagiannya memilih untuk memelihara kucing, anjing, burung, arnab mahupun hamsters sebagai haiwan kesayangan di rumah.

Tidak ketinggalan hidupan akuatik seperti kura-kura dan ikan emas termasuk haiwan eksotik seperti ular sawa, iguana (spesis biawak) atau kameleon (spesis sesumpah).

Begitu juga dengan bapa kepada dua cahaya mata, Mohd Irsyad Md Afandi yang mula berjinak-jinak memelihara ikan channa bagi menambah koleksi haiwan peliharaannya di rumah.

Namun, minatnya itu berubah apabila beliau mendapat idea untuk menjadikan ikan channa sebagai salah satu sumber pendapatan.

“Saya pernah memelihara ayam serama, arnab, guinea pig, sugar glider bersama beberapa binatang lain. Tujuan saya memelihara haiwan ini semua kerana menjadikan mereka sebagai satu terapi untuk menghilangkan stres.

“Kemudian didatangi oleh seorang rakan yang mengatakan koleksi ikan channa saya mempunyai kuantiti yang banyak, tetapi tidak berkualiti. Sejak itu saya mula memikirkan strategi untuk dijadikan secara komersial,” jelasnya kepada SinarPlus.

Pada masa sama Mohd Irsyad turut mengatakan beliau pernah menjual ikan channa kepada peminat haiwan tersebut sehingga ke Thailand, Vietnam, Hong Kong dan Mexico.

Channa maruliodes
Channa liorna

Harga bagi ikan channa yang boleh dijadikan sebagai koleksi mampu mencecah harga puluhan ribu ringgit mengikut tahap kualiti.

Ikan channa jenis barca menjadi antara yang paling popular oleh penggemar haiwan akuatik itu meskipun nilai pasaran berharga RM1,000 bagi satu inci ukuran ikan.

Iklan

Koleksi ikan channa ini juga dianggap sebagai simbolik kepada tahap sosial individu kerana harganya mampu mencecah puluhan ribu seekor termasuk pemilik atau keepers kebiasaannya akan diberi gelaran ‘sultan’. Panggilan itu diberikan kerana mereka ini antara kelompok berkemampuan memiliki ikan yang mahal.

Sementara itu, penjagaan ikan channa juga tidak terlalu rumit memandangkan haiwan tersebut merupakan jenis ikan ‘air gulp’ iaitu mengambil nafas atau udara yang berada di bahagian permukaan air.

Iklan

Ikan ini juga dipercayai mampu hidup selama beberapa minggu tanpa makanan.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram