'Terima kasih Aufa untuk suratnya, mulia hati.' Instagram penulis surat layang Zulfarhan jadi tumpuan, warga maya berterima kasih
USAHANYA mengambil risiko menulis surat layang kepada pihak atasan kolej menjadi perhatian ramai. Saksi pendakwaan kes Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi, kembali tular di laman sosial selepas tujuh tahun.
Empunya diri yang kini sudah berkhidmat sebagai pegawai Tentera Darat Malaysia terus menjadi tumpuan warga maya yang menitipkan ucapan terima kasih atas keprihatinan dan keberanian beliau.
Imbas kembali, Muhammad Aiman Aufa yang mesra disapa Aufa terdahulu menulis dua pucuk surat layang berkenaan nasib yang Zulfarhan yang telah didera oleh rakan-rakan selepas melihat mangsa terbaring dengan seluruh badannya menggelembung dipenuhi tompok kehitaman dan darah di bilik 4-10 asrama penginapan UPNM pada 22 Mei 2017.
Surat berkenaan dilayangkan selepas berbincang dengan seorang rakan sebiliknya yang dikenali sebagai Muhammad Akmal Akif Alias.
Graduan Kejuruteraan Awam UPNM itu saksi pendakwaan kes Zulfarhan berkata surat layang itu juga bagi memastikan identitinya tidak terbongkar.
Pertama berbunyi 'Kalau ada hati perasaan, ada sifat peri kemanusiaan, saya mintak sangat-sangat pergi ambush bilik 4-10, Blok Satria (depan masjid).
"Dalam tu, ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!! - Hamba ALLAH."
Difahamkan surat berkenaan telah dibaca oleh tiga individu termasuk petugas rumah sakit dan dua pegawai universiti.
Seorang pegawai telah bertindak melakukan pemeriksaan pada 8.50 hingga 9 pagi dan mendapati tiada orang dalam bilik tersebut kerana ketika itu para kadet menghadiri kelas
Namun surat berkenaan telah diketahui semua bilik 4-10 selepas jurulatih memasukkan ia kedalam mesej menerusi aplikasi WhatsApp hingga menyebabkan salah seorang penghuni bilik berkenaan yang juga suspek utama, Muhammad Akmal Zuhairi sempat memindahkan Zulfarhan ke bilik 4-06 atas alasan menumpangkan sementara waktu.
Kegagalan surat layang pertama menyebabkan Muhammad Aiman Aufa dan Akmal Akif bersepakat menulis surat layang kedua.
Surat yang berbunyi 'Sila cari pegawai kadet laut Zulfarhan Osman' itu bagaimanapun telah ditemui oleh seorang penuntut lain.
Aufa pada 2018 memberitahu Mahkamah Tinggi yang mendengar kes Zulfarhan ketika itu bahawa dia memilih untuk menulis surat layang berbanding bersemuka dengan pihak atasan untuk memberitahu mangsa didera kerana tidak mahu menerima nasib yang sama seperti mangsa.
"Saya takut identiti diketahui," katanya ketika pemeriksaan semula Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah pada perbicaraan hari ke-13 kes itu.
Kepada soalan Othman, apakah yang ditakuti tertuduh sekiranya identitinya sebagai pengadu terdedah, saksi pendakwaan ke-23 itu berkata, "Saya mungkin akan kena sama macam arwah Zulfarhan".
Aufa menerusi Insta Story memuat naik semula foto surat layang pertamanya yang tular di laman sosial. Katanya, ia adalah usaha dan ikhtiar.
"Setelah lapan tahun, ini kali pertama saya tengok smeula surat ini.
"Lepas saya letak tu. tak pernah tengok dah sampai sekarang. Ni tak tahu la macam mana boleh sampai ke public.
"Apa-apa pun, al-Fatihah buat keluarga arwah.
"Kita manusia hanya mampu berikhtiar dan berusaha, ALLAH penentu segalanya. Al-Fatihah," katanya.
Selepas tujuh tahun dan hukuman gantung sampai mati dijatuhkan kepada enam pelaku pembunuhan Allahyarham Zulfarhan, laman sosial Instagram Aufa terus menjadi tumpuan warga maya.
Pada ruangan komen, warganet menitipkan ucapan terima kasih dan memuji kemuliaan hati serta tindakan beraninya.
Tidak kurang yang mencadangkan pegawai TDM itu diberikan kenaikan pangkat dan anugerah.
"Tuan layak mendapat kenaikan kerana mempunyai hati yang mulia.. Semoga ALLAH membalas jasa baik, aamiin."
"Sejuk perut ibu yang mengandungkan dan melahirkan."
"Terima kasih orang baik."
"Terima kasih Muhammad Aiman kerana empati dan usaha buat Allahyarham. Kakak proud of you kerana mempunyai hati yang baik."
"Terima kasih aufa untuk surat layangnya. Semoga kebaikan awak dibalas dengan kebaikan seisi alam."
"Tuan layak memakai uniform rejimen Askar Melayu Diraja. Taat setia kawan amat kuat terima kasih atas surat yang ditulis. Moga tuan dan keluarga tuan sentiasa dilindungi, aamin."
"Thanks for everything Tuan! You did a great job back then. May Allah grants you eternal happiness and jannah for you and the family."
"Semoga kamu sekeluarga dilimpahi rezeki dan rahmat ALLAH. Anda Hero untuk arwah Zulfarhan."
"Anda wajar dijadikan inspirasi, berani mengambil risiko dan semangat setia kawan."
Sekadar info, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali kerana membunuh Allahyarham Zulfarhan
Sementara itu, mahkamah turut menggantikan hukuman penjara tiga tahun kepada empat tahun, terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang