Ibu Zulfarhan mahu 'bomoh' terima balasan, bertaubat & mohon maaf. 'Biar dia rasakan apa anak saya rasa'
IBU kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia akibat dibuli dan didera rakan-rakan meluahkan rasa kesal terhadap bomoh yang didakwa menjadi kes tragis itu.
Hawa Osman, 61, menerusi temu bual bersama Mingguan Wanita, meluahkan mahu bomoh tersebut yang juga bapa kepada salah seorang pelaku itu menerima balasan agar dia tahu bagaimana kesakitan yang dilalui oleh arwah ketika dibuli dengan kejam.
Berdasarkan kronologi, Allahyarham Zulfarhan telah dituduh mencuri sebuah komputer riba (laptop) apabila namanya disebut oleh seorang bomoh sebelum arwah dibuli dan dipukul sehingga mati.
"Saya pun memang geram dengan bomoh itu. Kalau boleh saya berdoa agar dia menerima balasan, (maknanya) badan ada kesan tekapan.
"Biar dia rasakan bagaimana anak saya merasai (kesan) yang disebabkan olehnya," kata Hawa.
Beliau juga meluahkan lelaki itu sepatutnya bergantung kepada bantuan Allah SWT dan bukannya percaya kepada tilikan.
"Kalau boleh kita minta kepada ALLAH. Ada juga bomoh yang boleh dipercayai tapi bomoh ini dia kata dia sembahyang hajat menggunakan barang dan konon nama arwah tertera.
"Selama ini kalau ada sesiapa pergi ke bomoh,hanya beritahu sama ada orang dekat atau sesiapa. Tak ada cakap nama pun," katanya.
Terkilan tindakan lelaki itu yang menyebabkan beliau kehilangan anak sulung, Hawa berharap bomoh berkenaan menyesali perbuatannya dan membuat permohonan maaf atas khilaf yang dilakukan.
"Saya harap bomoh (itu) bertaubatlah.
"Kalau boleh datang jumpa dengan kami dan buat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia," ujarnya lagi.
Kematian Allahyarham Zulfarhan cukup menyayat hati. Arwah bukan sahaja dipukul supaya mengaku mencuri komputer riba berkenaan, beliau malah turut ditekap menggunakan seterika wap hingga disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 90 dengan 90 kesan tekapan.
Sekadar info, Mahkamah Rayuan pada Selasa menjatuhi hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali kerana membunuh Allahyarham Zulfarhan.
Sementara itu, mahkamah turut menggantikan hukuman penjara tiga tahun kepada empat tahun, terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.
Sumber: Mingguan Wanita
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang