Anak Rita Rudaini cipta catatan baru pecut 200 meter, guru puji seimbang pelajaran, hafalan al-Quran & sukan. 'Umur 15 tahun, 2 rekod MSSD. Bukankah itu satu kebanggaan?'
ANAK sulung Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin, 15, menjadi bualan ramai susulan kejayaannya dalam akademik dan sukan.
Dalam perkembangan terbaharu, pelajar Maktab Rendah Sains Mara Sungai Besar (MRSM SUBES) itu mencipta rekod baharu Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam 2024.
Guru, Cikgu Abdul Mueiz yang turut bertugas pada temasya sukan itu berkongsi tentang kejayaan Airit memecah rekod acara lari pecut 200 meter.
"Airit Rayyan Rizqin bin Mohamad Aidil Zafuan telah berjaya memecahkan rekod MSSD Sabak Bernam 2024 dalam acara 200 meter dengan catatan masa 23.81 saat.
"Saya tidak mengenali anak ini secara peribadi. Cuma, pernah bergambar dengan beliau sewaktu Kejohanan Bola Sepak MSSD yang berlangsung di sekolah saya," kongsinya.
Biarpun tidak mengajar Airit, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar itu berkongsi pujiannya dari sudut kaca mata seorang pendidik sekali gus menyangkal kata-kata negatif segelintir warga maya.
"Kenapa saya rasa beliau hebat? Adakah kerana anak artis? Oh tidak, beliau hebat kerana dirinya.
"Airit pelajar yang menghafal al-Quran. Malah beliau juga cemerlang dalam pelajaran dengan meraih pointer 3.99 dalam peperiksaan semester MRSM.
"Selain berjaya dalam akademik, Airit juga cemerlang dalam sukan apabila mewakili MRSM dalam sukan bola sepak dan mampu memecahkan dua rekod MSSD.
"Dalam status sebelum ini, ada yang komen, "catatan masa macam ni pun nak dibangga." Beliau baharu berusia 15 tahun. Pada usia begitu telah berjaya memperbaharui dua rekod MSSD.
"Selain hebat dalam pelajaran dan dalam proses menghafal al-Quran. Pelajaran, sukan dan agama seimbang. Bukankah itu satu kebanggaan?" titip Cikgu Abdul Mueiz.
Dalam pada itu, guru itu mendoakan agar Airit terus mengukir kejayaan pada masa akan datang dan menjadi kebanggaan keluarga.
"Apabila nampak kejayaan orang lain, misalnya anak dapat cemerlang dalam SPM atau berjaya dalam apa-apa bidang, saya selalu sebut dalam hati "semoga anak aku pun berjaya macam dia."
"Seronok melihat kejayaan orang lain. Semoga satu hari nanti, Airit akan terbang tinggi dan dapat membanggakan ibunya," kongsinya.
'SEBAGAI IBU BAPA, MOMMY BANGGA' - RITA
Rita dalam catatannya di Instagram terharu dengan perkembangan itu.
"Alhamdulillah, berita gembira dan rezeki Rayyan dan MRSM SUBES hari ini. Rayyan pecah rekod lagi.Acara lari 200m akhir, pecah rekod tahun 2023.
"Berkat doa, kerja keras, sokongan dan semangat daripada semua orang yang sayang Rayyan. Sebagai ibu bapa Rayyan, mommy bangga!" kongsi Rita.
Sekadar info, selain Airit Rayyan Rizqin selebriti berusia 48 tahun ini mempunyai seorang lagi orang cahaya mata lelaki iaitu Airit Qaqa Arjuna.
Kedua-dua mereka adalah hasil perkahwinan Rita dengan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak pada 2008.
Namun rumah tangga mereka hanya bertahan lima tahun dan sah bercerai talak satu pada 2013.
Sumber: Facebook CIkgu Abdul Mueiz, Instagram Rita Rudaini
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang