Dulu anak ppr, kini bergelar doktor – Pelajar ini tunai janji kepada ayah selepas 6 tahun berjuang
ENAM tahun lalu, terpampang di akhbar akan kisah seorang pelajar miskin dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Temai, Pekan.
Hidupnya serba kekurangan, membesar tanpa kasih seorang ibu, dan hampir terpaksa melupakan cita-cita untuk menjadi doktor kerana kemiskinan.
Namun keputusan cemerlang 10A dalam SPM membuktikan dirinya punya tekad yang luar biasa untuk mengubah kehidupan.
Hari ini, menerusi laporan Harian Metro, kisah tersebut bukan lagi sekadar impian kerana pemilik nama Abdul Manaf Abdul Aziz kini sudah bergelar doktor perubatan.
“Hampir setiap hari selama enam tahun saya memendam cita-cita untuk menjadi doktor perubatan suatu hari nanti. Hari ini impian itu menjadi kenyataan,” katanya penuh rasa syukur ketika ditemui pada Majlis Angkat Sumpah Doktor Perubatan Kulliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan baru-baru ini.
Anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui, apa yang dicapai hari ini bukanlah mudah. Semua yang berlaku, katanya, adalah hasil doa, sokongan keluarga serta bantuan pelbagai pihak yang prihatin terhadap nasibnya.
Malah, janji yang pernah dibuat kepada ayahnya, Abdul Aziz Osman pada tahun 2019 akhirnya berjaya ditunaikan tanpa membebankan keluarga.
“Saya bersyukur ALLAH telah makbulkan doa saya selama ini untuk menjadi doktor bagi membantu memberi rawatan pada golongan pesakit.
"Kepayahan dan cabaran selama enam tahun di UIAM telah berjaya diharungi,” ujarnya lagi.
Perjalanannya memang penuh liku. Ketika itu, peluang melanjutkan pelajaran hampir terkubur kerana masalah kewangan keluarga.
Namun bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kerajaan Pahang, Yayasan Bank Rakyat dan Tabung Penyayang UIAM telah membuka jalan untuknya menjejak kaki ke kampus perubatan.
Kini segala pengorbanan itu berbaloi apabila beliau berdiri megah di hadapan keluarga dan rakan-rakan seangkatan sebagai seorang graduan perubatan.
Pada majlis angkat sumpah berkenaan, seramai 131 penuntut diraikan dengan pelbagai anugerah.
Lebih manis, lelaki itu sendiri berjaya muncul antara yang paling menyerlah apabila menerima Anugerah Pelajar Terbaik daripada 11 graduan Kulliyyah Perubatan.

MENABUR BAKTI
Kejayaan itu menjadi hadiah terbesar buat ayah dan kakaknya, Ramlah yang selama ini menjadi tulang belakang serta sumber kekuatan untuknya terus melangkah.
“Saya bersyukur detik manis hari ini dapat dikongsi dengan ayah dan kakak. Mereka merupakan insan yang menjadi pembakar semangat saya untuk berjaya dalam pelajaran seterusnya bergelar doktor,” katanya sebak.
Walaupun baru bergelar doktor pelatih, Abdul Manaf tidak sabar menabur bakti di hospital kerajaan di daerahnya. Baginya, inilah masa untuk membalas jasa keluarga, masyarakat dan semua pihak yang pernah membantunya.
Malah dia sudah pun menyimpan hasrat lebih besar iaitu menyambung pengajian ke peringkat doktor pakar suatu hari nanti.
“Selepas ini saya akan mengikuti latihan kedoktoran di hospital selama dua tahun sebelum bertugas sebagai pegawai perubatan bertauliah. Doakan saya agar terus kuat untuk melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya penuh tekad.
Dari PPR Kampung Temai ke pentas perubatan, perjalanan hidup doktor perubatan itu bukti nyata bahawa doa, usaha dan kesungguhan mampu mengubah nasib.
Bukan itu sahaja, ia juga boleh dijadikan inspirasi kepada pelajar lain bahawa latar belakang bukanlah penghalang untuk mengejar cita-cita, sebaliknya menjadi pemangkin untuk terus melangkah jauh.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

