IDEA 2025 menyatukan jiwa Islam dan bisnes dalam satu pentas berprestij
BILA kita sebut tentang dunia keusahawanan, jarang benar kita kaitkan ia dengan etika spiritual dan nilai-nilai agama.
Tapi Islamic Distinguished Enterprise Award (IDEA) 2025 datang dengan naratif yang berbeza. Bukan sekadar gah di pentas, tetapi membawa misi besar, menyatukan prinsip perniagaan moden dengan etika Islam yang murni.

Berlangsung penuh elegan di Le Meridien Hotel, Putrajaya, majlis anugerah edisi kedua itu ibarat malam penuh berkat dan inspirasi. Dihimpunkan di bawah satu bumbung adalah para pemain industri dari pelbagai negara, ada dari Singapura, Australia, malah sejauh China! Semua bersatu bukan kerana bisnes semata-mata, tetapi kerana satu visi: membina ekonomi ummah yang telus, adil dan berintegriti. Apa yang menjadikan acara ini lebih bermakna ialah ia bukan digerakkan oleh satu entiti biasa-biasa. Diterajui oleh KNKV Group dan diiktiraf rasmi oleh Dewan Perniagaan Muslim Insiders, IDEA 2025 mendapat sokongan kuat dari pelbagai rakan strategik yang memainkan peranan masing-masing secara bersepadu. CTOS Digital Berhad terlibat sebagai rakan semakan kewangan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pula membawa peranan intelektual dan akademik, firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) memastikan aspek perundangan tidak dipinggirkan, dan tidak ketinggalan, Yayasan Mihrab sebagai rakan kebajikan yang menyuntik unsur kemanusiaan dalam acara prestij ini.

Kalau biasanya acara anugerah sekadar penghargaan semata-mata, IDEA 2025 ini meraikan pencapaian syarikat-syarikat yang bukan saja cemerlang dari segi keuntungan, tetapi juga dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan mengamalkan prinsip Islam secara konsisten. Antara nama besar yang diraikan tahun ini termasuklah Muslim Pro dari Singapura, Human Appeal dari Australia, dan syarikat gergasi teknologi, ZTE dari China. Bukti bahawa etika Islam dalam perniagaan kini sudah jadi perhatian global.
Presiden Dewan Perniagaan Muslim Insiders, Prof (Adj) Hj Adam Richman, menekankan bahawa anugerah ini bukan sekadar simbolik. Ia adalah satu dorongan untuk lebih banyak syarikat tampil berani mengadaptasi prinsip Syariah dalam operasi mereka. KebangkitanekonomiIslam
Menariknya, penggunaan sistem semakan CTOS dalam proses penjurian disebut sebagai satu langkah yang selari dengan konsep tabayyun. Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat yang cukup berwibawa, termasuklah Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar. Hadirin dari pelbagai latar belakang, baik dari sektor awam, swasta, mahupun NGO, menambah dimensi kebersamaan dalam acara ini, menjadikan ia bukan saja satu malam penghargaan, tetapi satu jaringan keusahawanan Islamik yang kuat dan relevan di peringkat serantau. Pendek kata, IDEA 2025 bukan sekadar sebuah anugerah. Ia adalah gerakan kebangkitan ekonomi Islam yang segar dan progresif. Dalam dunia yang semakin mencabar dengan pelbagai isu ketidaktelusan dan amalan tidak beretika, kehadiran platform seperti ini adalah seperti oase dalam padang pasir.

Memberi harapan, memberi inspirasi, dan paling penting, membina asas untuk masa depan yang lebih adil dan sejahtera. Moga lebih ramai usahawan Muslim akan sedar, bahawa kejayaan sebenar bukan hanya pada angka di penyata akaun, tapi pada keberkatan yang dibina melalui kejujuran, tanggungjawab, dan nilai-nilai Islam yang sejati.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
