Ku Cari Damai Abadi tular, puisi tulisan Pak Lah meruntun hati. Warganet imbas kembali jasa & bakti
PEMERGIAN mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi memberikan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia khususnya yang pernah hidup pada zamannya menerajui negara pada 31 Oktober 2003 hingga 1 April 2009.
Pada usia 85 tahun, beliau pergi dengan tenang di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam semalam selepas mengalami sesak nafas.

Pak Lah memimpin negara selama enam tahun sebelum beliau sendiri meletakkan jawatan dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.
Allahyarham juga terkenal dengan pendekatannya yang bersederhana, terbuka dan memilih untuk mentadbir dengan gaya tersendiri - tenang dan penuh hikmah.
"Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama saya," itulah antara kata-kata keramat yang diucap Pak Lah pada awal pentadbirannya yang jelas mahu rakyat, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik bekerja bersama-sama beliau membangunkan negara.

Mengulas stail pentadbiran Allahyarham, bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Abdullah tidak menggunakan pendekatan menekan, sebaliknya memberi ruang kepada pemimpin dan rakyat untuk menyerlahkan potensi mereka dalam membangunkan negara.
"Itulah maksud cemerlang. Apabila rakyat menunjukkan kecemerlangan bersama pemimpin, dari situ lahir gemilang apabila negara maju ke hadapan dan akhirnya terbilang apabila kejayaan itu menjadikan negara masyhur. Kesemua ini ada makna tersendiri dan moto ini untuk memberi motivasi kepada rakyat agar dapat dirangsang ke arah dimahukan," katanya.

Pak Lah membuka tirai pentadbirannya dengan menonjolkan sisi tegas beliau apabila melancarkan Pelan Integriti Nasional dan menubuhkan Institut Integriti Malaysia, dengan matlamat memupuk budaya integriti dalam masyarakat serta menambah balk tadbir urus negara.
"Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kayo dari segi kebendaan, tetapi muflis dari segi nilai moral, etika dan integriti,' katanya dalam ucapan bersempena dengan pelancaran institut integriti berkenaan.
Kegigihan Allahyarham memerangi rasuah turut dibuktikan dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2008 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR), untuk memastikan institusi pencegahan rasuah Iebih bebas, telus dan profesional.

Komitmen terhadap ketelusan pula diterjemahkan antaranya melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia bagi memperbaik pengurusan institusi itu.
Allahyarham turut dikenang atas sumbangan dalam sektor pendidikan Islam.
Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah Program Jawi, Al-Quran, Arab, Fardu Ain (J-QAF) yang mula dilaksanakan di sekolah-sekolah pada tahun 2004.
Sejak pemergian negarawan ulung ini, puisi karyanya 'Ku Cari Damai Abadi' menjadi tular.
Coretan puitis sumbangan Pak Lah pada Malam Puisi Utusan Ke-10 pada 9 Mei 2003 itu menggambarkan dirinya sebagai pemimpin yang tidak menggenggam kuasa, tidak meninggi suara, tetapi membina negara dengan penuh damai.
KU CARI DAMAI ABADI
Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,
Untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah nabi
Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman
Dialah wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti
Menikmati damai abadi
Al-Fatihah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
