'Saya sangka baring akan hilangkan sakit' – Tiga kali dibedah, Tun M kongsi detik cemas & kisah di sebalik penubuhan IJN

No Image Caption
A
A
A

MUNGKIN ramai mengenali figura negarawan ini sebagai tokoh politik yang lantang, tegas dan tidak pernah penat berjuang.

Namun di sebalik kekuatan luaran itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya pernah melalui detik getir yang tidak semua orang tahu, apabila beliau terpaksa menjalani tiga pembedahan jantung dalam hidupnya, termasuk satu prosedur besar di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 1989.

Menurut Tun M, beliau tidak pernah menyangka akan mengalami masalah jantung kerana merasakan dirinya sihat dan aktif ketika itu. Namun semuanya berubah selepas menghadiri satu majlis makan malam pada tahun berkenaan. Katanya, beliau mula merasai ketidakselesaan yang aneh di bahagian dada.

No Image Caption

“Saya sangka jika baring, ia akan hilang. Tapi rasa ‘ketat’ itu tetap ada walau saya berdiri atau berjalan.

Hasil pemeriksaan perubatan menunjukkan saya mengalami serangan jantung kecil,” katanya.

Rawatan awal dikendalikan oleh pakar jantung terkenal, Tan Sri Dr Robaayah Zambahari dan pasukannya di HKL. Ketika ditawarkan untuk menjalani pembedahan sama ada di luar negara atau di dalam negara, beliau memilih untuk kekal menjalani rawatan di tanah air sendiri.

“Saya fikir saya patut tunjukkan keyakinan kepada doktor kita.

"Kalau saya sendiri tak percaya, bagaimana orang lain nak percaya?” ujar beliau.

Pembedahan jantung berkenaan dikendalikan oleh pakar bedah kardiotorasik negara, Tan Sri Dr Yahya Awang dan berlangsung selama beberapa jam dengan jayanya.

Pengalaman besar itu ternyata memberi impak luar biasa kepada Tun M. Selepas pembedahan, para doktor menyuarakan keperluan untuk menubuhkan sebuah pusat rawatan jantung yang lebih lengkap dan moden.

Sebagai Perdana Menteri ketika itu, Tun M menyedari pentingnya langkah tersebut dan terus meluluskan penubuhan sebuah institusi perubatan yang kini dikenali sebagai Institut Jantung Negara (IJN).

Tun M turut berkongsi bahawa beliau telah menjalani tiga pembedahan jantung secara keseluruhan. satu di HKL dan dua lagi di IJN. Beliau juga pernah mengalami tiga serangan jantung; pertama pada tahun 1989, manakala dua lagi berlaku pada tahun 2006. Ini diikuti dengan pembedahan pintasan kuadrup pada tahun berikutnya.

Walau sudah berusia satu abad, Tun M masih tampil sihat dan bertenaga. Beliau percaya kekuatan mental, semangat serta kepercayaan kepada sistem perubatan tempatan banyak membantunya terus pulih. Malah beliau tidak pernah teragak-agak untuk menyatakan keyakinan terhadap doktor dan pakar negara sendiri.

“Saya percaya doktor kita setanding dengan pakar luar negara. Mereka berkemahiran, berilmu dan berdedikasi. Kita sebenarnya mampu lakukan apa sahaja jika diberi peluang,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim menyifatkan Tun M sebagai pencetus perubahan besar dalam sistem kesihatan kardiovaskular negara. Katanya, pengalaman peribadi Tun M menjadi sebab utama penubuhan IJN yang kini menjadi pusat rawatan jantung bertaraf dunia.

“Daripada pengalaman beliau sendiri, lahirlah sebuah institusi yang memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia dan pesakit antarabangsa. Kami amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan Tun selama ini,” kata Dr Aizai.

“Saya fikir, kenapa tidak? Kita patut ada pusat jantung sendiri. Dan saya ada kuasa untuk pastikan ia terlaksana,” kata beliau ketika berucap dalam majlis sambutan ulang tahun ke-100 anjuran Institut Jantung Negara (IJN), baru-baru ini.

No Image Caption

Majlis istimewa yang diadakan di IJN itu bukan hanya meraikan ulang tahun ke-100 Tun M, malah menjadi simbol penghargaan terhadap legasi beliau dalam dunia kesihatan negara.

Ia turut menyaksikan pelancaran biografi bergambar ‘Tun Dr Mahathir Mohamad: 100 Tahun’ serta video khas penghargaan. Turut hadir ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, barisan pengarah dan kakitangan IJN serta rakan kerjasama perubatan.

Untuk rekod, IJN yang diasaskan pada tahun 1992 kini berkembang sebagai salah satu pusat rawatan jantung terbaik bukan sahaja di Malaysia malah di rantau Asia.

Hari ini, IJN bukan sahaja menjadi pusat rawatan kardiologi utama di Malaysia, malah menarik minat pesakit dari luar negara. Ia menjadi simbol kepercayaan terhadap kepakaran tempatan dan bukti bahawa Malaysia mampu berdiri sebaris dengan negara-negara maju dalam bidang perubatan jantung.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang