Syabas Pearly-Thinaah! Cipta sejarah beregu wanita pertama negara layak ke separuh akhir Olimpik. 10 fakta membanggakan

No Image Caption
A
A
A

SYABAS buat beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah yang mencipta sejarah selaku beregu wanita pertama badminton negara mara ke separuh akhir di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu terus menampilkan sensasi tersendiri apabila menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong untuk melangkah ke pusingan separuh akhir sukan berprestij dunia tersebut.

No Image Caption

Untuk rekod, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan merupakan pemenang pingat gangsa pada temasya Olimpik Tokyo 2020 selepas mengetepikan cabaran rakan senegara Lee So Hee-Shing Seung Chan.

Sementara itu, beregu negara hanya sekali layak ke suku akhir Sukan Olimpik iaitu di Rio 2016 apabila pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

No Image Caption

Kemenangan itu menyaksikan Pearly-Thinaah melakar sejarah menjadi beregu wanita pertama negara yang berjaya melangkah ke separuh akhir temasya sukan terbesar dunia itu.

Pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena pagi ini (petang di Malaysia), Pearly-Thinaah sekali lagi memperagakan aksi cemerlang untuk mencipta satu lagi kejutan dengan kemenangan 21-12, 21-13 dalam masa 42 minit ke atas beregu ranking ke-10 itu.

Artikel Berkaitan:

Pasangan ranking ke-12 itu bermula cemerlang dengan mendahului 11-5 sebelum mencatatkan kemenangan selesa 21-12.

Pada set kedua, So Yeong-Hee Yong cuba bangkit dengan permainan lebih kemas untuk memerangkap Pearly-Thinaah.

No Image Caption

Namun, ketenangan dipamerkan gandingan itu sukar digugat apabila sekali lagi berjaya untuk memenangi set kedua dan juga perlawanan tersebut dengan 21-13.

Mereka dijadualkan menentang Chen Qing Chen-Jia Yi Fan di pusingan separuh akhir.

10 FAKTA MENARIK PEARLY-THINAAH

No Image Caption

Berikut SinarPlus kongsikan 10 info menarik pasangan beregu serasi ini:

Pearly Tan

1-Pearly Tan Koong Le dilahirkan pada 14 Mac 2000 di negeri Kedah Darul Aman.

2-Merupakan anak kepada jurulatih, Tan Seng Hoe. Bapanya mengendalikan Kelab Raket Alor Setar (ASRC), yang merupakan kelab pemain kebangsaan Lee Zii Jia dan Jacky Kok.

3-Tan mula menyertai pasukan badminton kebangsaan pada tahun 2013.

4-Wanita ini merupakan pemenang pingat perak beregu wanita di Kejohanan Junior Asia dan Dunia 2018.

5-Mempunyai ketinggian 1.64 meter, Pearly mahir menggunakan tangan kanan.

M.Thinaah

1-M.Thinaah atau Thinaah Muralitharan, 24, dilahirkan pada 3 Januari 1998.

2-Beliau mula memasuki pasukan badminton kebangsaan pada tahun 2013.

3-Thinaah merupakan anak kedua kepada pasangan S. Muralitharan, seorang jurutera dan Dr. Parimala Devi, doktor perubatan.

4-Adik perempuan bongsu Thinaah, Selinaah Muralitharan, juga merupakan bekas pemain badminton negeri Selangor.

5-Pernah meraih kejuaraan pada Badminton Terbuka Switzerland 2021 dan pingat emas Sukan Komanwel Birmingham ketika bergandingan dengan Pearly Tan.

FOKUS SETIAP MATA, TIDAK MAHU TERBUAI

No Image Caption

Selepas detik bersejarah itu, Pearly-Thinaah yang gembira atas kejayaan mereka mahu kekalkan fokus untuk dua aksi seterusnya.

"Sekali lagi, cabaran utama adalah diri kami sendiri...Kami agak resah dan tidak dapat tidur dengan baik sepanjang malam kerana tahu perlawanan hari ini sangat penting kepada kami dan sangat inginkan kemenangan.

"Kami memasuki gelanggang dengan tenang, fokus pada setiap mata dan menikmati rali-rali, jadi ia telah membawa kejayaan hari ini.

"Dalam perlawanan seterusnya, kami tidak akan kehilangan apa-apa, daripada pusingan robin hingga sekarang, kami memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan dan saya rasa kami tiada apa untuk disesalkan. Untuk perlawanan seterusnya, seperti biasa kami tidak mahu pulang dengan sebarang sesalan dan hanya menikmati setiap mata," kata Pearly.

Sementara itu, Thinaah berkata, walaupun gembira dengan sejarah itu, mereka tidak mahu terbuai dengannya kerana mempunyai misi yang lebih penting.

"Sangat sukar untuk dipercayai dan sangat gembira untuk kemenangan hari ini. Kami bangga sesama kami, benar-benar mahu fokus, tidak mahu memikirkan keputusannya... Kami memikirkan prosesnya, jadi kami menikmati setiap rali yang dimainkan.

"Itulah yang membantu kami hari ini dan pastinya sokongan daripada Pearly dan jurulatih benar-benar meningkatkan motivasi kami. Masih ada beberapa perlawanan lagi, kami hanya perlu bersedia untuk perlawanan seterusnya" kata Thinaah.

Sekiranya Pearly-Thinaah berjaya mengatasi Qing Chen-Yi Fan pada aksi esok, mereka akan mencabar untuk pingat emas pertama negara pada Sabtu ini dan jika terkandas, terpaksa beraksi dalam penentuan pingat gangsa.

Pearly-Thinaah yang memulakan kempen peringkat kumpulan dengan kekalahan kepada Qing Chen-Yi Fan, berjaya bangkit mengubah nasib mereka dengan mencipta kemenangan luar biasa mengatasi pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti untuk melepasi 'kumpulan maut' itu.

Pearly-Thinaah seterusnya akan berdepan cabaran sengit menentang pasangan juara dunia empat kali Chen Qing Chen-Jia Yi Fan sekali lagi di separuh akhir esok selepas tewas 17-21, 20-22 dalam aksi pertama Kumpulan A, Sabtu lepas.

Qing Chen-Yi Fan yang merupakan pemenang pingat perak edisi Tokyo 2020 menyingkirkan wakil Bulgaria Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-15, 21-8 pada satu lagi aksi suku akhir.

Syabas dan tahniah diucapkan buat MThinaah dan Pearly Tan! Moga kejayaan yang diukir mereka menjadi inspirasi buat wanita lain memajukan diri dalam pelbagai bidang yang diceburi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang