Jangan stres, jaga posisi tidur. Itu petua berguna untuk atasi masalah pedih ulu hati
SETIAP masalah kesihatan yang berlaku tidak boleh dipandang enteng, meskipun ia sekadar sakit pedih ulu hati atau dalam istilah saintifiknya, Gastroesophageal Reflux Disease (GERD).
Sesetengah kita beranggapan ia sekadar penyakit biasa yang berlaku disebabkan makan terlalu cepat, ambil makanan pedas atau tidak memiliki jadual pemakanan yang betul. Hakikatnya, tidak benar sama sekali.
Menurut Pakar Perunding Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalaman, Pusat Perubatan Mahkota Melaka, Dr T Ruben Raj, pedih ulu hati sebenarnya adalah petanda awal kepada beberapa penyakit seperti serangan jantung, gangguan organ dalaman (seperti hati, paru-paru dan hempedu), barah, gastrik atau radang pada saluran pemakanan.
“Keadaan ini berlaku apabila otot yang berfungsi sebagai pemisah antara esofagus (saluran pemakanan) dengan perut menjadi lemah. Disebabkan itu, kandungan makanan bersama asid akan kembali ke esofagus dan ini yang menyebabkan punca berlakunya ketidakselesaan.
“Ia akan membuatkan seseorang berasa seperti perut kembung (angin), pedih dan panas pada bahagian dada termasuk kerongkong,“ katanya kepada SinarPlus.
Sehubungan itu, ujar Dr Ruben, individu yang berusia 40 tahun dan ke atas perlu melakukan pemeriksaan endoskopi sekurang-kurangnya sekali setahun. Ia membantu mengenal pasti keadaan organ lain dalam badan, sama ada bermasalah atau boleh berfungsi dengan baik.
Untuk pedih ulu hati biasanya perlukan ujian endoskopi perut. Jika umur seseorang mencecah 45 tahun ke atas, golongan tersebut disarankan melakukan ujian endoskopi perut dan kolonoskopi, jelas pakar itu.
Beritahu Dr Ruben, masalah kesihatan tersebut tidak hanya berkait dengan gaya pemakanan sahaja.
“Sekiranya individu itu stres, tidak cukup tidur dan amalan pola makanan tidak seimbang, ia turut boleh menyebabkan berlakunya pedih ulu hati. Perkara sebegini kerap berlaku pada mereka yang berusia 20-an dan 40-an kerana mungkin disebabkan tekanan dan gaya hidup yang tidak menentu,“ katanya.
Antara simptom jelas kemelut kesihatan itu adalah seperti rasa tidak selesa pada bahagian kerongkong, pesakit akan mengalami gangguan tidur, mual, muntah, sisa makanan terkeluar tanpa sedar, bau mulut dan sering sakit kepala.
Posisi tidur
Mengulas lanjut, Dr Ruben berkata, kepada pesakit yang sering menanggung kesakitan berulang, mereka disarankan segera berjumpa pakar.
Ini kerana rawatan yang diberikan adalah bergantung kepada tahap gangguan kesihatan mereka.
“Kelazimannya, bagi mengatasi sakit berulang, doktor akan sarankan kepada pesakit agar tidak mengambil makanan dalam jumlah yang banyak terutama ketika perut kosong.
“Sebaiknya makan dalam jumlah yang sedikit, tetapi kerap sekitar lima atau enam kali sehari. Jika boleh, jangan lewatkan waktu makan tidak kira sama ada pada sebelah pagi, tengah hari atau malam,“ katanya.
Sekiranya masalah pedih ulu hati berlaku pada waktu malam, pakar tersebut mencadangkan agar pesakit menggunakan dua biji bantal ketika baring bagi mengelak daripada asid naik ke saluran pemakanan.
“Mengiringkan badan ke bahagian kiri akan menyebabkan asid dari dalam perut naik ke esofagus, ia berbeza jika mengiringkan badan pada bahagian kanan,“ katanya sambil menambah, posisi tidur juga memainkan peranan penting agar dapat mengelak berlakunya pedih ulu hati.
Dalam pada itu, Hello Doktor turut memberi cadangan bagaimana menghilangkan masalah pedih ulu hati dengan cepat.
Ujar portal perubatan itu, terdapat pelbagai jenis ubat yang boleh digunakan untuk merawat gejala asid refluks. Antaranya:
i) Antasid: Ia berfungsi meneutralkan asid di dalam perut. Ubat ini yang boleh dibeli di farmasi disarankan diambil selepas makan.
ii) Histamine-2 receptor antagonists: Ia berfungsi mengikat reseptor histamin-2 pada perut, sekali gus menyekat pembebasan asid dalam perut.
Ubat ini dikatakan boleh memberikan kelegaan gejala dengan segera.
Food and Drug Administration telah meluluskan empat jenis Histamine-2 receptor antagonists iaitu cimetidine, famotidine, ranitidine dan nizatidine. Sesetengah ubat tersebut tersedia tanpa memerlukan preskripsi.
Namun, orang ramai dinasihatkan mendapat nasihat daripada doktor bagi mengelak kesan sampingan dan mengganggu ubat lain yang diambil.
iii) Perencat pam proton: Dipercayai dapat mengurangkan rembesan asid di dalam perut. Pengambilannya boleh memberi kesan kepada sel parietal pada perut yang mengandungi pam proton.
Menyekat tindak balas pam proton adalah langkah terakhir untuk menghalang rembesan asid di dalam perut.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang