Jerebu lemahkan sistem imun, penyebab alahan dan beri impak buruk pada penderita penyakit berisiko, warga emas, anak kecil

FENOMENA jerebu bukan sesuatu yang mengejutkan bagi rakyat Malaysia.

Sudah terang lagi bersuluh, beberapa siri pembakaran hutan yang berlaku di negara jiran telah merebakkan secara meluas partikel halus ke dalam ruang udara negara kita.

Berdasarkan kronologi yang dipetik dari Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Malaysia pernah berdepan jerebu yang teruk pada tahun 1997 di Sarawak.

Perintah darurat terpaksa dikeluarkan selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan angka melebihi 500.

SUMBER gambar hiasan daripada FREEPIK.

Suasana semakin diburukkan lagi dengan fenomena El Nino yang telah menyebabkan kemarau.

Selepas melalui episod menyesakkan itu, pada tahun 2005 bencana alam berkenaan terjadi sekali lagi dan terakhir pada tahun 2013 dengan Muar paling terjejas.

Penulis yang ditugaskan membuat liputan di sana menyaksikan pemandangan hampir kabur pada jarak 100 meter. Ketika itu, penduduk diminta berlindung di rumah. Natijahnya, bandar itu sunyi sepi daripada rutin harian.

 

Mengapa jerebu boleh menganggu-gugat manusia? Jawapannya, mudah. Fenomena alam yang tidak sihat itu mengandungi beberapa jenis gas bahaya seperti karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon.

Berdasarkan panduan, bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik dengan warna biru; 51 hingga 100 (sederhana, hijau), 101 ke 200 (tidak sihat, kuning), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat, jingga) dan 300 ke atas (bahaya, merah).

Bagi memberi ulasan mengenai situasi yang meresahkan ramai pihak, SinarPlus menghubungi Prof Madya Perubatan (Kesihatan Awam/Perubatan Masyarakat) & Doktor Kesihatan Pekerjaan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani.

Kata Dr Mohd Dzulkhairi, jerebu merupakan zarah halus yang terhasil secara semula jadi atau kesan daripada aktiviti manusia.

“Kewujudannya dalam kuantiti yang banyak boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi sekali gus mengurangkan jarak pandangan mata kasar,“ katanya.
Ujar beliau, masalah pembakaran terbuka dan asap yang dibebaskan kilang atau kenderaan lazimnya menjadi antara punca kepada manifestasi pencemaran udara itu.

Pun begitu, Jabatan Alam Sekitar mengesahkan, situasi jerebu yang sedang dialami di Malaysia pada saat ini adalah berpunca daripada kebakaran hutan.

Baca juga: Jerebu: Semakin tinggi tahap IPU, semakin teruk impaknya pada kesihatan

SUMBER gambar hiasan daripada FREEPIK.

Lemahkan sistem imun

Menurut Dr Mohd Dzulkhairi, berdasarkan faktor umur dan biologi, golongan kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan perokok merupakan kumpulan yang boleh jatuh sakit akibat jerebu.

Mereka yang terdedah kepada persekitaran yang tidak sihat untuk tempoh lama juga berisiko.

Antaranya individu yang bekerja sebagai buruh binaan, penyelenggara jalan raya, nelayan dan petani.

Namun, golongan yang paling terkesan adalah terdiri daripada pesakit kronik.

“Pesakit lelah atau asma boleh mengalami serangan yang lebih kerap dan teruk. Mereka mungkin rasa ketat pada dada, sukar mahu bernafas dan nafas mereka berbunyi,“ katanya.

Baca juga: Jerebu: IPU lebih 200 sekolah tutup serta merta. 10 fakta ibu ayah perlu tahu

Begitu juga dengan individu yang menderita bronkitis, radang paru-paru dan jantung.

Pendedahan kepada kabut yang bercampur debu boleh mengakibatkan partikel halus memasuki saluran pernafasan secara tidak langsung.

Secara umumnya, kongsi Dr Mohd Dzulkhairi, antara gejala am yang mungkin dialami seseorang ketika musim jerebu adalah mula sakit tekak, batuk, selesema dan mengalami radang paru-paru.

Di samping itu, tubuh berpotensi mengalami alahan seperti kegatalan pada kulit dan mata.

“Mata juga boleh berair dan selesema yang menyebabkan hidung sentiasa berhingus. Selain itu, penglihatan yang terbatas mendedahkan pengguna jalan raya kepada risiko kemalangan sehingga boleh kehilangan nyawa,“ katanya.

Memandang enteng gejala ringan yang berlaku boleh memicu masalah kesihatan lebih besar, ujar Dr Mohd Dzulkhairi.

Baca juga: Awas jerebu! Minum banyak air, pakai pelitup muka, 10 golongan berisiko tinggi berhati-hati elak bahaya

SUMBER gambar hiasan daripada FREEPIK.

“Sebagai contoh, pesakit A tak kisah sangat dia ada batuk. Namun, jika batuknya berpanjangan, ia boleh mengakibatkan bengkak pada alveoli paru-paru dan radang (pada paru-paru) yang bahaya dan tidak mustahil nyawa boleh melayang,“ ujarnya.

Dalam pada itu, merujuk Cleveland Clinic, individu yang menyedut asap ruang udara yang tercemar boleh melemahkan sistem imun tubuh.

“Apabila udara tercemar masuk ke dalam badan manusia, akan berlaku tindak balas keradangan,“ kata sumber berkenaan.

National Library of Medicine pula mendedahkan, jerebu bukan sahaja memberi impak kepada fizikal tubuh, malah menyumbang kepada masalah psikologi.

“Kajian menunjukkan persekitaran yang negatif seperti pencemaran boleh menyebabkan seseorang berdepan masalah tekanan yang lebih tinggi dan meningkatkan emosi negatif.

“Golongan itu juga lebih kerap mengadu tentang kebimbangan mereka terhadap kesihatan berbanding penduduk di kawasan yang tidak tercemar,“ ujar penulisan tersebut.

Pelitup jenis N95

Bagi mengulas lebih lanjut mengenai kesan jerebu kepada kesihatan, SinarPlus menghubungi Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kodiang, Kedah, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali.

Ujar Dr Mohamad Suaidi, bukan suatu yang menghairankan apabila jerebu membawa kepada peningkatan kehadiran pesakit ke klinik kerajaan mahupun swasta. Jumlah kemasukan ke wad atas pelbagai masalah kesihatan juga bertambah.

Iklan

Kepada kami, Dr Mohamad Suaidi berkongsikan pengalamannya merawat seorang kanak-kanak yang mempunyai sejarah penyakit lelah dalam persekitaran yang tidak memberangsangkan.

“Akibat terdedah terlalu lama dalam persekitaran jerebu, si kecil berusia yang berusia dalam lingkungan lima ke enam tahun itu mengalami demam, batuk yang teruk dan mula sesak nafas.

“Walaupun sudah mendapatkan rawatan di beberapa klinik, simptom yang dialami masih tidak terkawal,“ katanya ketika dihubungi.

Baca juga: Dunia dijangka lebih panas membara pada tahun 2028 daripada sekarang. Saintis suarakan kebimbangan

SUMBER gambar hiasan daripada FREEPIK.

Hasil pemeriksaan mendapati, pesakit cilik tersebut terkena serangan asma akut yang teruk sehingga paras oksigennya menurun kepada 90 peratus.

Susulan itu, beliau diarahkan menjalani ujian darah dan dipakaikan nebulizer termasuk ubat-ubatan.

Sayangnya, tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan. Apa yang lebih membimbangkan, tahap oksigen beliau juga tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Risau kondisi kesihatannya semakin parah, Dr Mohamad Suaidi berkata, kanak-kanak berkenaan dikejarkan ke hospital untuk rawatan susulan.

Dalam pada itu, Dr Mohamad Suaidi berkata, aktiviti di luar rumah adalah bergantung kepada korelasi bacaan IPU dan tahap kesihatan seseorang.

“Golongan berisiko tinggi dinasihatkan agar tidak berada di luar rumah untuk tempoh masa yang lama ketika jerebu.

“Mereka yang aktif bersukan diminta untuk menangguhkan aktiviti itu seketika dan melakukannya di dalam bangunan sehingga keadaan kembali pulih,“ katanya.
Pegawai perubatan tersebut turut berkongsi beberapa langkah pencegahan lain yang boleh diambil. Antaranya:

  1. Minum air yang mencukupi.
  2. Pastikan pengudaraan yang baik di rumah atau boleh menggunakan penyaman udara.
  3. Pesakit kronik perlu mengambil ubat-ubatan seperti yang disarankan.
  4. Jika terpaksa keluar rumah, pastikan memakai pelitup muka yang diluluskan. Pelitup jenis N95 adalah paling berkesan dalam keadaan negara berjerebu.
  5. Kurangkan merokok dan jauhi golongan berisiko tinggi.
SUMBER gambar hiasan daripada FREEPIK.

Seperkara, Dr Mohamad Suaidi menyarankan orang ramai supaya tidak bertangguh dalam mendapatkan rawatan sekiranya tubuh sudah mula menunjukkan simptom.
“Pastikan sentiasa mengikuti perkembangan semasa paras IPU di kawasan tempat tinggal supaya dapat mengelak risiko yang tidak diingini,“ katanya menutup bicara.

#kesresponden
Resdung Siri Nur Farhana menjadi-jadi akibat terdedah dengan jerebu

SEBAGAI seorang yang menderita alahan akibat rendung, masalah jerebu mendatangkan ketidakselesaan kepada Siti Nur Farhana Abdullah.

Iklan

Kongsi pelajar berusia 25 tahun itu, ekoran daripada fenomena tersebut, kondisi kesihatannya semakin memburuk. Bukan sahaja demam, dirinya turut selesema dan batuk.

“Keadaan itu bermula apabila saya pergi ke Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang baru-baru ini untuk selesaikan beberapa urusan dan kebetulan kedua-dua bandar itu mempunyai bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) yang sedikit tinggi.

“Walaupun hanya tinggal selama beberapa hari sahaja di sana, saya mengalami gatal-gatal pada mata dan kulit,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Bercerita lanjut, situasi yang memendekkan jarak penglihatan tersebut membuatkan anak kelahiran Kelantan itu berdepan dengan kesukaran untuk bernafas dan kerap bersin.

“Saya tidak fikir sebab inap desa yang saya duduki tak bersih, tetapi ia memang berpunca daripada jerebu. Beberapa tahun lalu ketika negara berdepan dengan fenomena sama, masalah serupa terjadi pada saya,“ katanya.

SUMBER gambar hiasan daripada FREEPIK.

Bagi mengekang permasalahannya berterusan, Siti Nur Farhana terpaksa mengambil beberapa ubat untuk mengurangkan gejala yang dialami.

“Alhamdulillah, sekembalinya saya ke Kelantan, kesihatan saya bertambah baik. Di sini (Kelantan), jerebu tidak begitu kelihatan dan pengudaraannya juga agak bagus,“ katanya.

Sebagai seorang yang sentiasa menjalani kehidupan yang aktif dan sihat, Siti Nur Farhana juga sentiasa mengambil langkah berwaspada.

“Selain mengelak daripada kawasan berjerebu, saya amalkan diet pemakanan seimbang dan kerap bersenam.

“Saya juga akan memakai pelitup muka jika berasakan enviromen kawasan saya berada ketika itu tercemar,“ katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!