KALAU boleh tak nak balik! Kisah Gua Tepadung, budaya, panorama pantai di Lahad Datu, Sabah memang mengujakan.

Kepada pencinta alam semula jadi dan marin, Lahad Datu merupakan salah satu destinasi yang sering menjadi pilihan.

Penulis bertuah kerana berpeluang ke sana baru-baru ini selepas dipelawa mengikuti program Journey To The East Coast of Sabah ke Lahad Datu anjuran Tourism Malaysia Sabah.

Daripada beberapa lokasi yang dibawa, penulis terpesona dengan singgahan di Gua Tepadung, Blue Ring Reef dan Menara Kayangan termasuk melihat keriuhan Pasar Tanjung Tawau.

Tidak seperti pasar yang biasa dikunjungi, premis berkenaan sungguh luar biasa. Ia memuatkan 6,000 buah gerai. Katakan apa sahaja, keropok lekor versi Tawau, sayur, barangan basah dan cenderamata semuanya ada.

Baca ni Bergelar suami dan ‘bapa segera’, Haziq Samrat teruja dan tidak kekok galas tanggungjawab baru!

Penulis juga rambang mata melihat pelbagai jenis ikan kering seperti tenggiri, kembung, kurau dan udang kering. Kalau boleh, semuanya mahu dibeli!

Tibanya masa rombongan media dibawa menjelajah ke Blue Ring Reef yang merupakan tapak selam skuba yang ikonik yang terletak di Terumbu Tingkayu, Teluk Darvel.

Dengan kedalaman sekitar 15 meter, peminat aktiviti selam skuba dapat menyaksikan secara jelas variasi hidupan marin dan keindahan terumbu karang.

Menariknya lagi, Blue Reef di sana dianggap sangat istimewa kerana memiliki dua struktur lubang, berbanding tempat lain hanya memiliki satu liang.

Baca ni Mewah, unik dan cantik. Arkitek ini dedah 10 ilustrasi reka bentuk rumah Ayu Ting Ting bikin ramai teruja!

Selepas menikmati panaroma indah di lautan yang cukup permai, kami beralih dengan meneroka Gua Tepadung yang sarat dengan elemen sejarah.

Berdasarkan penerangan, di dalamnya terdapat keranda kayu berukuran kepala lisong atau seladang yang digunakan untuk pengebumian etnik Ida’an pada suatu ketika dulu.

Kembara seterusnya bertambah mengujakan selari dengan nama lokasinya, Menara Kayangan (Tower Of Heaven) yang berketinggian 30 meter.

Dibina di atas Gunung Silam memberi peluang kepada kami melihat dengan jelas pemandangan Lahad Datu dari sudut atas.

Mungkin ramai yang tidak tahu kisah mengenai ketam merah yang menjadi ikon tarikan di sana. Penulis difahamkan, haiwan tersebut bertaraf eksklusif kerana berada di sekitar bukit di situ sahaja.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia, Edni Rahma Ab Rahim berkata, lokasi yang diceritakan penulis itu memiliki potensi besar untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan unik.

“Menara Kayangan misalnya, antara lokasi yang sesuai untuk beriadah, mendaki dan berjoging. Trek yang disediakan juga luas.

“Bukan hanya sekadar mempromosikan tempat, Tourism Malaysia juga mahu pelancong mempelajari gaya hidup, tradisi dan kulinari tempatan di setiap lokasi,” katanya.

Iklan

Ya, sesuatu yang tidak dapat penulis lupakan apabila melihat sendiri bagaimana keasyikan tarian Limbai Idhaan Segama dipersembahkan.

Skil masakan pihak media turut diuji apabila masing-masing diberi kesempatan memasak dan merasai sajian Ikan Masak Ampap. Satu liburan yang menghiburkan dan penuh informasi!

SELAIN empat lokasi yang diceritakan, program Journey To The East Coast of Sabah ke Lahad Datu anjuran Tourism Malaysia Sabah turut membawa media menelusuri ke destinasi lain yang tidak kurang hebatnya. Lokasi-lokasi itu adalah seperti berikut:

ARUNJI AGROTOURISM 

Alamat: Sakar Island, Lahad Datu
Waktu operasi: Isnin- hingga Ahad (8 pagi hingga 5 petang)
Facebook: Irunji Agrotourism

Iklan

SEGAMA ATV PARK

Alamat: Batu 8, Kampung Segama, Jalan Patitung, Lahad Datu, Sabah.
Waktu operasi: Selasa hingga Jumaat RM50 (ATV automatik) & RM40(ATV manual untuk sejam. Pada hari hujung minggu dan cuti, kadar harganya berbeza.
Facebook: Segama ATV Park

ALNISYA COLLECTION 
(Batik Eco Print)

Alamat: Kampung Tabanak, Lahad Datu
Waktu operasi: Setiap hari (8 pagi hingga 4 petang)
Facebook: AlnisyaCollection U

Baca lagi Penampilan sulung karya anak dalam koleksi fesyen terbaru, Melinda Looi luah rasa bangga dan terharu

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi