PUSAT Perubatan Sunway saran jalani saringan untuk pengesanan awal

Secara prinsipnya, kanser darah terjadi apabila sel stem darah yang mengalami mutasi genetik.

Sel kanser darah yang tidak normal mengganggu fungsi sel darah normal (sel darah putih, platelet, sel darah merah) yang seterusnya menyebabkan gejala-gejala seperti jangkitan, kurang darah merah (anemia) dan pendarahan.

Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2012-2016, kanser darah merupakan salah satu daripada lima jenis kanser yang dihidapi rakyat di negara ini dalam lingkungan usia 15 hingga 24 tahun.

Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Darah, SinarPlus cuba mengupas isu kanser darah ini dengan mendapatkan perkongsian maklumat bersama Perunding Hematologi dan Pakar Perubatan Transplan Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Ho Kim Wah.

Menurut Dr Kim Wah, kanser hematologi atau lebih dikenali sebagai leukemia merupakan satu jenis penyakit barah yang berasal daripada sel stem darah di sumsum tulang apabila berlaku mutasi pada sel stem darah, menyebabkan penghasilan sel darah putih yang tidak normal dalam tubuh.

“Penghasilan sel darah putih yang terlalu banyak menyebabkan gangguan kepada kemampuan sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah merah atau platelet,” kata beliau.

Tambah Dr Kim Wah, secara amnya leukemia boleh diklasifikasikan kepada dua situasi iaitu akut dan kronik.

Bagi situasi akut katanya, ia merujuk kepada rebakan yang pantas atau agresif manakala keadaan kronik pula berlaku secara perlahan.

Jelas beliau, setiap jenis leukemia dibahagikan kepada dua bentuk utama iaitu daripada jenis myeloid dan limfoid yang mana kedua-dua jenis ini bergantung kepada sel darah leukemia tersebut mula terjadi.

“Sementara itu, leukemia limfoid akut juga dikenali sebagai Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) adalah yang paling biasa terjadi pada kanak-kanak.

“Manakala, leukemia myelogenous akut atau Acute Myeloid Leukemia (AML) lebih banyak terjadi dalam kalangan orang dewasa berbanding kanak-kanak,” katanya.

Mengenai punca penyebab leukemia, Dr Kim Wah menyatakan perkara itu masih belum dapat dikenal pasti, namun ia berkait rapat dengan sel darah yang mengalami mutasi.

Baca juga: Darah kita boleh selamatkan 3 nyawa. Kikis persepsi takut gemuk, seram dengan jarum atau ditimpa penyakit berjangkit

 

Faktor meningkatkan risiko leukemia 

Bagaimanapun, beliau menyatakan terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko  leukemia tersebut antaranya;

i. Tabiat merokok
ii. Pendedahan kepada radiasi
iii. Gaya hidup yang terlalu stres
iv. Jangkitan virus seperti Epstein-Barr (EBV) dan Human T-lymphotropic ​​(HTLV)
v. Pendedahan kepada ubat kemoterapi
vi. Genetik
vii. Kelemahan sistem imun badan

Gejala

Mengulas lanjut mengenai kanser leukemia, Dr Kim Wah menyatakan seseorang yang menghidap penyakit itu biasanya akan menunjukkan gejala-gejala tertentu seperti demam dan hilang selera makan.

Malah dalam kes-kes tertentu katanya, apabila penghasilan darah dalam badan terjejas, mereka yang menghidap penyakit ini akan menunjukkan gejala anemia seperti pening kepala, pernafasan kurang lancar dan jantung berdebar-debar.

“Platelet yang rendah pula boleh menyebabkan lebam, gusi berdarah atau bengkak. Dalam sesetengah keadaan, pendarahan juga boleh berlaku pada otak dan usus.

“Malah, pesakit yang menghidap leukemia ini juga boleh mengalami muntah atau najis berdarah,” katanya yang turut menyatakan gejala yang dialami oleh penghidap leukemia kebiasaannya berbeza bagi golongan dewasa dan kanak-kanak.

Bagaimanapun jelasnya, penyakit kronik seperti kencing manis (Diabetes Mellitus) dan Systemic Lupus Erythematosus (SLE) tidak boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kanser berkaitan darah.

Pemeriksaaan dan rawatan

Mengenai pemeriksaan leukemia, Dr Kim Wah memberitahu, penyakit itu boleh dikesan dan dikenal pasti melalui ujian ke atas sampel darah sumsum tulang seseorang pesakit.

Kemudiannya, proses tersebut diteruskan dengan menjalankan ujian khas untuk mengetahui jenis sel leukemia yang dihidapi pesakit sekali gus membantu pegawai perubatan melakukan diagnosis seterusnya merancang bentuk serta jenis rawatan.

Iklan

“Rawatan untuk penghidap leukemia ini bergantung kepada jenis, usia serta kepesatan sel kanser itu merebak.

“Rawatan leukemia akut dan leukemia kronik adalah berbeza. Begitu juga rawatan untuk ALL dan AML,” katanya yang turut menambah bahawa kaedah kemoterapi masih lagi menjadi rawatan berkesan ke atas pesakit leukemia.

Jelas Dr Kim Wah, bagi leukemia jenis akut, pesakit lazimnya akan diberikan ubat anti kanser untuk mengganggu serta menghentikan pertumbuhan sel kanser di dalam badan.

Selain itu, terapi sasaran turut digunakan untuk membunuh sel kanser.

Bagaimanapun menurutnya kaedah rawatan tersebut (ubat anti kanser dan terapi sasaran) lazimnya digabungkan dengan kemoterapi bagi memberi kesan efektif dalam mengawal sel kanser.

Sementara itu, rawatan leukemia turut melibatkan kaedah imunoterapi iaitu menggunakan antibodi monoklonal untuk membantu meningkatkan sistem pertahanan badan melawan antigen sel kanser.

“Gabungan kaedah-kaedah rawatan tersebut bukan sahaja berkesan mematikan sel kanser, malah mengurangkan kemungkinan kanser itu daripada berulang,” katanya.

Pada masa sama, Dr Kim Wah turut menyentuh kaedah transplantasi sel stem (pemindahan sum-sum tulang) yang sering digunakan dalam merawat leukemia melalui suntikan sel stem pembentukan darah yang sihat ke dalam badan.

Iklan

Dari segi kesan sampingan rawatan, Dr Kim Wah menyatakan bahawa pesakit mungkin mengalami keguguran rambut, rasa loya, muntah, hilang selera makan atau susut berat badan semasa menjalani kemoterapi.

Namun katanya, kesan sampingan tersebut adalah bersifat sementara dan boleh dikawal dengan ubat-ubatan yang sesuai.

Kesan-kesan sampingan lain seperti sel darah kurang dalam badan, jangkitan, mukositis, kegagalan fungsi organ-organ dalaman, mungkin boleh terjadi terutamanya kalau kemoterapi yang lebih intensif digunakan.

Bagaimanapun, kadar sembuh seseorang pesakit jelas beliau bergantung kepada jenis serta tahap risiko yang dihadapi.

“Pesakit yang sembuh pula perlu menjalani pemeriksaan berkala dan rawatan bersesuaian akan diberikan semula sekiranya kanser berulang,” ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang