Kanser hati, barah yang boleh berulang. Kaum Adam dominasi carta, perokok paling berisiko

A
A
A

HATI merupakan organ penting yang terletak di sebelah kanan perut. Ia berfungsi untuk menapis racun, menjana protein dan membantu penghadaman manusia.

Selain itu, ia menghasilkan hempedu untuk membantu pencernaan, menyimpan glukosa dan beberapa fungsi signifikan lain.

Seperti yang diketahui, hati juga terkait dengan kanser. Persoalannya, bagaimana kanser hati boleh terjadi?

GAMBAR hiasan daripada FREEPIK.

Menurut Mayo Clinic, ia berlaku apabila sel hati hati mula tumbuh secara tidak normal. Sebaik sahaja kanser berkembang, ia biasanya mengganggu fungsi hati dan memusnahkan sel-sel sihat.

Statistik yang dikongsi oleh Cleveland Clinic menyaksikan, kanser berkenaan telah menjejaskan kurang daripada dua daripada 100,000 orang setiap tahun di peringkat global.

Berdasarkan rekod, ia adalah barah keenam paling banyak dihidapi dan merupakan kanser ketiga penyebab kematian penduduk dunia.

Di negara ini, Malaysia National Cancer Registry Report (2012-2016) berkata, kanser hati berada pada tangga kelapan daripada 10 kanser paling banyak dialami ramai.

Daripada 51,505 kes kanser yang dilaporkan, 5.7 peratus pesakit kanser ialah lelaki.

Mengapakah kaum Adam mendominasinya?

Dr Murallitharan

Sempena Sambutan Hari Lelaki Sedunia pada bulan ini, kami akan memperhalusi lebih lanjut penyakit kronik itu bersama Pengarah Perubatan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia, Prof Madya Dr Murallitharan Munisamy.

Menurut Dr Murallitharan, Hepatocellular carcinoma (HCC) dan kanser saluran hempedu adalah jenis kanser hati yang berlaku dalam kalangan orang dewasa.

“Biasanya, mereka yang lebih berusia berisiko untuk dapat HCC, namun kini faktor gaya hidup membolehkan golongan muda boleh turut sama menderita,“ katanya membuka bicara.

Lambat kesan

Mengulas lanjut, Dr Murallitharan berkata, tabiat merokok dan pengambilan alkohol memberi impak yang sangat dahsyat.

“Lebih lama seseorang itu menghisap rokok, semakin besar kemungkinannya,“ katanya yang turut memberitahu, pengambilan alkohol boleh memicu kepada penyakit hati kronik (sirosis).

GAMBAR hiasan daripada FREEPIK.

Di samping itu, semua jenis virus hepatitis sama ada A, B dan C juga boleh mendatangkan risiko.

“Berdasarkan perangkaan, ia banyak terjadi disebabkan hepatitis C. Hepatitis B memang ada, namun hubung kait antara hepatitis C dan kanser hati lebih kuat,“ terangnya.

Hepatitis C merupakan penyakit berjangkit yang boleh disebarkan melalui hubungan kelamin dan bendalir di dalam badan.

Menurut pakar itu, keadaan akan menjadi semakin buruk apabila ramai pesakit hepatitis C tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit tersebut.

GAMBAR hiasan daripada FREEPIK.

Dalam pada itu, para pengkaji dari University of Southern California, Amerika Syarikat menyatakan, mereka yang menderita diabetes tahap 2 memiliki risiko sekitar dua hingga tiga kali lebih tinggi terkena HCC.

“Namun, risiko mendapat kanser hati tetap rendah,“ kata penyelidik.

Senada dengan mereka ialah Ketua Hepatologi, North Shore University Hospital, New York, AS, Dr David Bernstein. Ujar beliau, diabetes tahap 2 mungkin meningkatkan risiko terkena kanser hati, namun ia masih sangat rendah terjadi.

Baca juga: Rawatan rekonstruktrif, implan silikon beri harapan baharu kepada pesakit kanser payudara. Pakar beri penjelasan

GAMBAR hiasan daripada FREEPIK.

Berikut antara simptom atau gejala yang akan dirasai seseorang yang berdepan penyakit merbahaya itu. Antaranya:

  1. Rasa lesu, pedih ulu hati dan ketidakselesaan badan.
  2. Makanan tidak dicerna dengan baik dan mengalami cirit-birit.
  3. Anggota tubuh menjadi kekuningan.
  4. Nafsu makan berkurangan, penurunan berat yang tidak diketahui sebabnya, rasa kenyang awal dan perut membengkak.

Seperkara yang perlu diketahui semua, kes kanser hati lambat dikesan disebabkan ia tidak menunjukkan gejala ketara seperti penyakit lain.

“Tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah adalah antara penyebab utama. Ia ditambah dengan sikap tidak endah kaum lelaki dengan kesihatan mereka juga antara penyebab mereka terdedah dengan kanser ini.

“Apa yang menyedihkan, apabila dirujuk ke pusat perubatan, rata-rata kes sudah berada pada tahap akhir iaitu tiga atau empat,“ katanya.

DR SHAMSUL

Boleh berulang

Bagi mengulas cara pengesanan kanser hati dibuat, SinarPlus menemubual Pakar Gastroenterologi, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Shamsul Amri Ismail.

Kata Dr Shamsul Amri, berawal, pakar gastroenterologi akan melihat fizikal pesakit ketika hadir untuk mendapatkan rawatan.

“Berdasarkan pengalaman saya, pesakit lazimnya datang dengan simptom mata kuning, mengalami penurunan berat badan mendadak atau sakit pada bahagian abdomen sebelah kanan. Mereka juga biasanya mempunyai sejarah pesakit hati kronik seperti hepatitis B dan C,“ katanya sambil menambah kini ramai pesakit kanser dikesan menghidap penyakit hati berlemak bukan alkohol atau NAFLD.

Mengulas lanjut, ujar beliau, selepas proses penting itu, doktor lazimnya akan melakukan pemeriksaan darah untuk melihat aras alfa-fetoprotein.

Bacaan yang tinggi dalam darah mungkin mencadangkan ia merupakan salah satu petanda kanser hati.

Antara ujian lain yang akan dijalankan termasuk imbasan ultrabunyi, tomografi berkomputer dan pengimejan resonans magnetik.

Baca juga: Mata boleh buta, dapat kanser, derita kemurungan. Itu antara risiko manusia albino

GAMBAR hiasan daripada FREEPIK.

Mengenai rawatan, Dr Shamsul Amri berkata, ia diberikan berdasarkan tahap kanser dan jangkaan prognosis penyakit itu.

“Jika kanser yang dialami dikesan pada peringkat awal dan melibatkan saiz yang kecil, pembedahan adalah yang paling baik,“ katanya.

Menjawab satu soalan, Dr Shamsul Amri memberitahu, kanser hati boleh berulang sekali lagi. Ini kerana sel kanser dalam hati boleh berkembang pada bahagian hati yang lain.

American Cancer Society (ACS) turut mempunyai pandangan sama. Ujar mereka, terdapat kemungkinan sel kanser yang kecil dan tidak dapat dilihat masih berada dalam badan.

“Sel-sel ini mungkin terlalu kecil untuk dikesan dan boleh tumbuh kembali menjadi tumor baharu,“ kata ACS.

Selain daripada faktor itu, terdapat sebab-sebab lain yang mungkin menyumbang. Antaranya:

1. Sifat agresif kanser: Kanser hati adalah salah satu kanser yang paling agresif dan boleh tumbuh serta merebak dengan cepat.

2. Perebakan ke kawasan lain: Kadang-kadang sel kanser tidak dapat dikeluarkan semasa pembedahan atau mungkin ada sel kanser yang telah merebak ke kawasan lain dalam badan sebelum diagnosis atau rawatan.

3. Ketahanan sel kanser: Sel kanser mungkin ‘kebal‘ terhadap kemoterapi atau terapi radiasi. Dalam erti kata lain, rawatan barangkali tidak membunuh semua sel kanser.

4. Hati mudah rosak: Pesakit yang mempunyai masalah hati lain seperti hepatitis atau sirosis berisiko lebih tinggi untuk mengembangkan kanser hati berulang kerana hati mereka sudah rosak.

Baca juga: Bergenang air mata baca kisah Adik. Menderita kanser tulang, doktor maklum tiada jalan lain nak sembuh

SUMBER Cottonbro Studio daripada PEXELS.

Pilihan rawatan

Berkenaan dengan rawatan, SinarPlus terlebih dulu berdiskusi dengan Dr Murallitharan.

Ujar beliau, perkembangan teknologi perubatan masa kini telah menyumbang kepada kaedah yang lebih baik.

“Pembedahan membuang kanser dan sebahagian hati adalah opsyen rawatan paling berkesan jika tumor bersaiz kecil dan fungsi hati yang masih baik.

“Sebilangan penghidap kanser peringkat awal boleh melakukan prosedur pemindahan hati daripada penderma yang sesuai,“ katanya.

Selain itu, teknik kemoterapi diimplemenkan untuk membunuh sel dan diberikan dalam bentuk pil atau disuntik melalui salur darah pesakit.

Terapi radiasi juga salah satu solusi dan dalam sesetengah kes, terapi sasaran menjadi pilihan, di samping kaedah imunoterapi (menggunakan sistem imun badan sendiri).

SUMBER Pixabay daripada PEXELS.

SinarPlus juga merujuk penulisan Mayo Clinic yang memperincikan jenis-jenis rawatan untuk kanser hati selain pembedahan, kemoterapi, radioterapi dan imunoterapi.

i) Ablasi (pembuangan tisu atau organ tubuh secara pembedahan)

- Ablasi radiofrekuensi: Melalui jarum yang dimasukkan ke dalam tumor. Gelombang radio digunakan untuk memanaskan dan memusnahkan sel kanser.

- Ablasi dengan alkohol: Alkohol disuntik ke dalam tumor untuk membunuh sel kanser.

Ablasi cryotherapy: Menggunakan haba sejuk untuk membunuh sel kanser.

ii) Embolization

- Hepatic Artery Embolization: Menghentikan atau mengurangkan aliran darah ke tumor hati.

- Chemoembolization: Menggabungkan embolization dengan pemberian dadah kemoterapi.

- Radioactive Microsphere: Menggunakan mikrosfera yang memancarkan radiasi.

iii) Terapi Dukungan: Membantu meredakan gejala dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Pun demikian, pesan Mayo Clinic, pilihan rawatan untuk setiap individu bergantung kepada tahap kanser, kesihatan hati dan gejala yang dialami.

“Penting untuk pesakit berbincang dengan pakar mengenai pilihan rawatan yang paling sesuai dengan situasi mereka,“ katanya.

#kesresponden

Perut kembung 'isyarat besar' Nik Li menghidap kanser hati

PERUT kembung yang disangka gastrik antara simptom awal yang menunjukkan Nik Li Ismail menghidap kanser hati. Sesuatu yang tidak diduga olehnya, namun lelaki berusia 75 tahun itu pasrah.

Menurut Nik Li, kesakitan yang semakin teruk membuatkan beliau sukar untuk berbaring.

Situasi itu semestinya mendatangkan kerisauan kepada anak perempuannya, Nik Nur Siti Asmad, 26.

Nik Nur Siti Asmad

Tidak mahu keadaan tersebut terus menyeksa bapa tersayang, Nik Nur Siti Asmad kemudian membawa Nik Li ke hospital untuk tujuan pemeriksaan.

“Disebabkan keadaan abah saya lesu dan tak bermaya, dia terpaksa ditahan di wad dan dimasukkan lima botol air. Dia cepat penat dan perlu memakai alat bantuan pernafasan.

“Doktor turut menyarankan abah untuk menjalani beberapa prosedur lanjut seperti pemeriksaan darah dan ultrabunyi,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Pun demikian, kesihatan warga emas tersebut masih juga tidak memberangsangkan.

Tuan punya badan menjadi semakin lemah dan perutnya nampak tegang berbanding kebiasaan.

Apabila diagnosis seterusnya dilaksanakan, doktor memberitahu bapanya mengalami pendarahan dan tidak dibenarkan bangun serta berjalan bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini daripada berlaku, kata Nik Nur Siti Asmad.

Perkhabaran pada hari seterusnya begitu meremukkan hati wanita tersebut apabila ujian mengesahkan bapanya menghidap kanser hati yang sudah mencapai saiz hampir 9 sentimeter.

Baca juga: Budak sekolah menengah pun sudah boleh menghidap kanser testis. Lelaki wajib tahu tanda-tanda awal penyakit ini

SUMBER Anna Shvets daripada PEXELS.

“Berdasarkan keadaan bapa yang sudah berusia, pembedahan untuk mengeluarkan sel kanser tidak sesuai untuk dilakukan.

“Oleh itu, doktor menasihati abah supaya dibawa pulang dan berehat di rumah,“ katanya yang terpaksa reda dengan keputusan itu.

Bagi mengawal penyakit barah itu, doktor telah membekalkan ubat untuk membantu mengurangkan kesakitan yang dialami lelaki berkenaan.

“Abah dah tak boleh bangun dan mengurus dirinya, maka saya adik-beradik bergilir-gilir menguruskannya.

“Sebagai salah satu usaha, kami turut melakukan rawatan alternatif menggunakan beberapa herba yang dicadangkan saudara-mara,“ katanya.

Kini, dengan kedua-dua rawatan yang dilakukan, kesihatan bapanya menunjukkan perkembangan positif.

“Ubat yang diberikan membantu mengecutkan sel kanser. Alhamdulillah, dengan kuasa ALLAH, bapa saya sudah boleh berjalan dan mampu menguruskan diri sendiri,“ katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca