JANGKITAN kuman pada saluran kencing (UTI) atau kencing kotor adalah masalah yang sering dialami oleh golongan wanita, terutama wanita yang hamil. Kencing kotor selalunya disebabkan oleh jangkitan kuman.

Sistem saluran kencing terdiri dari ginjal, saluran ureter (menghubungkan ginjal ke pundi kencing), pundi kencing dan saluran urethra (saluran yang membawa keluar air kencing dari pundi kencing).

Jangan lupa follow kami di Instagram.

Kencing kotor pada wanita hamil melibatkan saluran urethra dan pundi kencing. Jarang berlaku pada ginjal, namun kuman dari pundi kencing boleh naik ke bahagian ginjal menyebabkan masalah yang lebih berbahaya.

Menurut Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad, ia bahaya dan pemeriksaan air kencing saringan di kalangan wanita hamil adalah suatu yang penting.

Tujuannya untuk mengesan jangkitan kuman dalam saluran air kencing. Sistem pembuang air kencing bermula dari ginjal hingga ke saluran kencing yang terakhir.

Kata Dr Zubaidi, kencing kotor pada wanita hamil berlaku kerana saluran urethra mereka lebih pendek berbanding dengan lelaki. Jadi kuman pada bahagian kemaluan, terutama anus dan faraj senang masuk ke pundi kencing.

“Wanita hamil juga mengalami perubahan hormon yang menyebabkan kekuatan otot pada saluran ureter dan pundi kencing bertambah lemah.

“Peningkatan tahap keasidan dan terdapat gula dalam air kencing menyebabkan air kencing pada wanita hamil boleh berlaku dengan mudah.

“Jika dibiarkan tanpa rawatan, ia menjadi lebih parah dan kuman boleh merebak pula ke ginjal. Ia boleh menyebabkan kerosakan ginjal dan kematian.

“Jangkitan yang teruk akan menyebabkan air kencing wanita hamil kelihatan berdarah. Jika jangkitan tidak parah, ia mungkin hanya dapat dilihat dengan pemeriksaan air kencing menggunakan mikroskop saja,” kongsinya di Facebook.

Tanda-tanda kencing kotor pada wanita hamil

Mereka mungkin mengalami masalah berikut. Namun ada antaranya ibu hamil mungkin tidak mengalami sebarang masalah.

1. Rasa terbakar sewaktu kencing

2. Darah di dalam air kencing

3. Air kencing keruh

4. Kerap ke bilik air untuk kencing walaupun hanya sedikit urin yang keluar

5. Tidak dapat menahan kencing

Baca juga Ibu hamil punyai tekanan darah tinggi, diabetes lebih mudah diserang strok

Minyak zaitun terbaik! Ini makanan tambahan sihat ibu hamil

Jika kencing kotor pada wanita hamil telah parah dan menjangkiti ginjal, mereka mungkin mengalami;

1. Demam dan menggigil

2. Loya dan muntah

3. Sakit pada bahagian belakang badan dan di bawah rusuk

4. Tidak bermaya

5. Tiada air kencing langsung

Memandangkan komplikasi jangkitan kuman pada saluran air kencing adalah berbahaya, doktor akan melakukan ujian saringan. Ini kerana sebahagian wanita hamil tidak mengalami sebarang tanda-tanda jangkitan kuman, sehinggalah masalah jangkitan kuman ini merebak dengan lebih teruk.

Bagi wanita hamil yang mempunyai tahap imuniti yang rendah seperti pesakit diabetes atau yang mempunyai masalah penyakit autoimmune, kebarangkalian untuk menghadapi kompliasi (jangkitan pada ginjal) adalah lebih besar.

Bagi yang mengalami masalah kencing kotor pada wanita hamil, selalunya mereka dinasihatkan agar minum air secukupnya. Tujuannya untuk membuang kuman yang berada pada pundi kencing.

Iklan

Masalahnya ramai wanita hamil tidak selesa dengan cara ini kerana apabila usia kehamilan semakin meningkat, mereka lebih mudah untuk membuang air kencing. Dengan minum lebih banyak air, semakin kerap mereka ke tandas. Namun inilah antara cara terbaik untuk merawat kencing kotor pada wanita hamil. Pemeriksaan semula air kencing boleh dilakukan selepas seminggu.

Bagi kes kencing kotor pada wanita hamil yang lebih serius, sama ada dibuktikan dengan pemeriksaan air kencing atau mengalami sebarang tanda (rujuk tanda-tanda di atas), doktor akan memberikan antibiotik yang selamat diambil bagi wanita hamil.

Selain itu, ini langkah yang boleh dilakukan jika mengalami masalah kencing kotor;

1. Minum air secukupnya. Pastikan air kencing berwarna jernih sedikit kekuningan.

2. Jika rasa pundi kencing telah penuh, terus ke tandas. Ini membantu membuang kuman yang berada dalam pundi kencing. Jangan bertangguh.

3. Selepas membuang air kecil, lap kemaluan dari depan ke belakang. Ini bertujuan untuk mengelakkan kuman pada anus merebak ke bahagian hadapan (faraj) jika kita mengelap dari belakang ke hadapan.

Baca juga Kencing berbuih, ini tanda-tanda penyakit yang mungkin berlaku

Iklan

4. Tukar tuala wanita atau seluar dalam dengan lebih kerap.

5. Elakkan daripada mengambil minuman bergula.

6. Amalkan minum cuka teen. Caranya ialah dengan mencampurkan satu sudu besar cuka teen ke dalam segelas air kosong. Minum selepas makan. Tiga kali sehari. Atau campurkan 3-5 sudu besar cuka teen dalam satu jug 1L. Minum sepanjang hari. Campurkan sedikit madu atau stevia jika perlu.

Masalah kencing kotor pada wanita hamil kerap berlaku. Oleh itu pemeriksaan saringan adalah penting bagi mengelakkan komplikasi yang lebih teruk.

Semoga bermanfaat.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI