'Biar dihina, Umi takkan tinggalkan saya.' Pemuda hidap 5 penyakit kronik, kasih sayang ibu sumber kekuatan

No Image Caption
A
A
A

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ditakdirkan menanggung lima penyakit kronik, pemuda dari Kok Lanas, Kota Bharu, berhadapan ujian yang berat.

Hidup Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari, 32, berubah 180 darjah setelah didiagnosis dengan gout, masalah tulang belakang, darah beku dalam paru-paru, ligamen lutut terputus dan kegagalan buah pinggang tahap akhir.

Pemuda mesra disapa Iwan itu mendedahkan gout yang dialaminya sejak lima tahun lalu bukan pada sendi, sebaliknya, kesakitan tersebut menyebabkan lapisan bawah kulitnya membengkak dan meninggalkan bekas lebam atau parut hitam.

No Image Caption

Tidak hanya itu, tubuhnya juga turut dipasang dua batang rod besi dan 16 skru susulan masalah tulang belakang akibat tergelincir jatuh dari tangga.

“Sekarang pun ada dua skru yang longgar, saya tak boleh berjalan dan berkerusi roda. Saya perlu buat pembedahan tulang belakang kali kelima tetapi tunda dahulu kerana bimbang risikonya tinggi.

“Saya juga ada darah beku dalam paru-paru disebabkan pernah kena jangkitan Covid-19 penghujung 2022 sehinggakan muntah darah. Batuk terlalu kuat dan saya perlu makan ubat cair darah.

“Rentetan daripada itu, Posterior Cruciate Ligament (PCL) saya terputus, tahan sakit kerana kaki kejang. Doktor suruh bius tapi saya tidak mahu. Jadi, saya terpaksa ambil keputusan patahkan kaki,” katanya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Bagaimanapun, penderitaan Iwan tidak terhenti di situ. Bekas penuntut dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Kota Bharu itu juga tdidiagnosis dengan kegagalan buah pinggang tahap akhir pada Oktober tahun lalu.

Jelasnya, pengambilan ubat tahan sakit yang tinggi kerana masalah tulang belakang dan bius dipercayai punca kepada keadaan tersebut.

Tidak hanya itu, berat badan yang dahulunya 180 kilogram juga kini susut drastik kepada sekitar 55 kilogram rentetan daripada masalah kesihatan yang dihadapi.

Biarpun diuji sedemikian hebat, Iwan kekal positif.

No Image Caption

Kasih sayang bonda tercinta, Che Piah Che Seman, 67, menjadi sumber kekuatan. Malah Iwan berkata, beliau sangat bergantung pada sokongan Che Piah.

“Semangat Umi yang membuatkan saya kuat, positif dan sentiasa senyum. Umi pernah kata walau macam mana pun orang luar hina saya, dia selalu mendoakan kesihatan serta takkan tinggalkan saya.

“Saya kena semangat sebab walaupun ujian datang berganti-ganti, masih ada bidadari syurga yang ALLAH SWT hadiahkan pada saya.

No Image Caption

“Cuma saya tak tahu berapa lama dapat bertahan, mungkin satu atau dua tahun sebab doktor pesan bila-bila sahaja boleh berlaku sesuatu. Selagi hidup, saya cuba berbakti kepada keluarga dan kongsi semangat ini kepada orang ramai,” ujarnya lagi.

Kepada anda yang yang ingin menyalurkan bantuan meringankan beban Iwan, sumbangan boleh disalurkan ke nombor akaun 10302000137960 (RHB) atas nama Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari.

Sumber: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang