27 tahun terpisah kini berlainan agama, pertemuan semula gadis & ibu kandung runtun hati warganet
AIR dicencang takkan putus biarpun kini berlainan agama.
Penulis tidak dapat menahan air mata menyaksikan pertemuan dua beranak selepas dua dekad terpisah.
Video memaparkan pertemuan kali pertama gadis bernama Hidayah dengan ibu kandungnya, Aunty Jenani yang merupakan wanita berketurunan India menjadi tular di laman sosial TikTok.
Rakaman dimuat naik rakannya, Atilia menerima lebih 26,000 tanda suka dan hampir 2,000 tanda suka mengundang air mata warga maya.
"27 tahun akhirnya dipertemukan semula.
"Kasih ibu sampai ke syurga, insya-ALLAH. Im happy for you sis and aunty. You have a good daughter," titip Atilia di TikTok.
Sayu dan sebak, setibanya di kawasan pangsapuri kediaman ibunya, Hidayah dilihat menitiskan air mata seolah-olah mengumpul kekuatan untuk bertemu semula insan yang dirindui.
Tiba di hadapan pintu rumah, beliau menyerahkan sepucuk surat kepada Aunty Jenani.
Membaca surat daripada Hidayah, Aunty Jenani mengerti gadis itu adalah darah dagingnya sendiri.
Kedua-duanya terus berpelukan melepaskan rindu yang terpendam selama lebih dua dekad.
Usaha SinarPlus menghubungi Hidayah buat masa ini tidak berjaya namun maklumat yang diperolehi pada ruangan komen mendapati, kedua-dua ibu dan anak itu terpisah sejak lahir.
"Walaupun tidak pernah merasa kasih sayang darinya, dia tetap emak saya," ujar Hidayah
Rupanya bukan Hidayah dan Aunty Jenani sahaja yang pernah terpisah.
Menerusi ruangan komen, ramai juga warga maya mengaku berdepan perpisahan dan belum bertemu anak atau ibu yang sekian lama terpisah.
"Ya ALLAH bahagianya rasa. Saya 11 tahun terpisah dengan anak sulung. Kini masih lagi menunggu kepulangannya."
"Saya jadi sebak kerana sejak dari bayi terpisah dengan mak. Sekarang umur aku 21 baru jumpa semula."
"Alhamdulilah tumpang happy. Saya pun tidak henti berdoa agar suami dapat berjumpa keluarga kandungnya yang sudah 33 tahun terpisah."
Baca juga: Viral suami isteri berbangsa Cina bersih kubur & batu nisan, rupanya ini cerita sebenar
GARIS PANDUAN MUSLIM DAN KELUARGA BUKAN ISLAM
Majlis Agama Islam Selangor menyarankan perkara utama berserta solusi yang biasa berkait dengan isu pergaulan dengan keluarga non-muslim adalah seperti berikut:
1-ISU PERGAULAN BERSAMA IBU BAPA
Islam tidak menghalang orang bukan Islam yang memeluk Islam untuk terus berhubungan dan bersilaturrahim dengan keluarganya yang bukan Islam.
Malah di dalam al-Quran, ALLAH memerintahkan seorang muslim untuk tetap melayani ibu bapanya yang bukan Islam dengan baik walaupun mereka pernah mengajaknya untuk mensyirikkan ALLAH dengan kembali kepada agama asal.
Firman ALLAH bermaksud: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-KU atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik."
2 ISU MAKAN BERSAMA
Harus hukumnya untuk makan bersama keluarga yang bukan Islam, malah harus memakan makanan yang dimasak/dihidangkan oleh orang bukan Islam.
Pun begitu, penting bagi anda untuk memastikan makanan itu adalah halal dan tidak bercampur dengan sebarang bahan yang haram.
Mengenai bekas yang digunakan oleh ahli keluarga yang bukan Islam pula, hukumnya harus selagi bekas tersebut diyakini bersih.
Jika tidak mendatangkan fitnah dan syak wasangka dalam kalangan ahli keluarga lain, adalah lebih baik untuk membasuh bekas-bekas tersebut terlebih dahulu sebelum menggunakannya.
3 ISU IBADAH SOLAT
Apabila seseorang saudara baharu memeluk Islam, wajib ke atasnya mempelajari tatacara solat dan menunaikannya sekadar kemampuannya sebagai seorang yang baru mempelajari Islam.
Maka, Apabila seseorang mualaf sudah bergelar Islam, wajib ke atasnya mempelajari cara solat dan menunaikannya sekadar kemampuannya sebagai seorang yang baru mempelajari Islam.
MAIS mencadangkan untuk mewujudkan sebuah bilik atau ruangan yang bersih bagi tujuan ibadah.
Sumber: MAIS. TikTok Atilia Yusuf
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang