7 hari hilang, mayat Wak Man ditemui reput selepas ziarah pusara isteri. Rupanya 27 tahun berbakti jaga suri hati sakit

No Image Caption
A
A
A

BARU-baru ini hebahan tentang kehilangan warga emas Mohd Sharip Basiron, 87, atau Wak Man tular di laman sosial.

Malah rakaman kamera litar tertutup menunjukkan kelibat terakhirnya berjalan di belakang rumah penghulu kampung juga ditularkan untuk mengesan keberadaannya.

Gagal dikesan sejak 3 Januari lalu, seorang aktivis dikenali sebagai Jas Inanansad yang menyertai aktiviti pencarian Wak Man sebak selepas berjaya menemui jasad warga emas di sebuah kawasan kebun kelapa sawit.

"Allahuakbar. Astagfirullah, al-Fatihah. Berada di depan mata saya. Tolong datang ke sini ya orang kampung.

"Allahuakbar, sudah tiada," kata Jas dalam sebak selepas melaungkan azan menerusi sesi live di TikTok.

No Image Caption

MELAWAT KUBUR ISTERI

Betapa pilunya pemergian Wak Man. Menurut anaknya, Romainor Firdaus Mohd Sharip, 38, si bapa itu sering melawat kubur ibu pada setiap pagi Jumaat.

Artikel Berkaitan:

“Namun di sebelah petang ayah pergi sekali lagi ke perkuburan. Sejak itu dia gagal dikesan sehinggalah mayatnya ditemukan empat kilometer (km) dari rumah,” katanya.

Pada hari kehilangannya, kelibat lelaki warga emas terbabit berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang videonya kemudian ditularkan di laman sosial.

Romainor berkata, bapanya seorang yang ceria dengan keluarga dan penduduk kampung walaupun menunjukkan gejala pelupa sejak beberapa bulan lalu.

“Sejak 27 tahun lalu, ayah mengabdikan diri menjaga ibu yang sakit sepenuh masa di rumah sehinggalah ibu meninggal dunia.

No Image Caption

“Ayah ada penyakit kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan pengambilan ubat.

“Sepatutnya 17 Januari ini dia ada temu janji doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang,” katanya.

Tambah Romainor, walaupun sedih dan tidak menyangka akan menemui bapanya yang sudah tidak bernyawa, dia dan keluarga reda.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti mencari ayah sepanjang kehilangannya.

“Jenazah ayah disolatkan di Hospital Tanjong Karang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang Tiga Jeram, jam 11.30 pagi,” katanya.

WANG BERTABURAN DI LOKASI

No Image Caption

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata anggota Balai Polis Jeram menerima satu laporan daripada orang awam berkenaan penemuan satu mayat lelaki kira-kira pukul 8.14 malam.

Siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai masalah kurang daya ingatan dan kali terakhir dilihat pada pukul 3 petang, 3 Januari lalu.

Beliau berkata, lelaki warga emas itu tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri, namun beberapa keping wang kertas termasuk RM50, RM10 dan RM1 berterabur di sekitar lokasi kejadian.

No Image Caption

Menurut Azaharudin, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Tiada sebarang kesan calar dan luka di anggota badan mangsa ditemui dan keadaan mayat mula mereput. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-328 91222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Buletin TV3

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang