'Apakah aku perlu siap untuk dibaringkan depan imam?' Hantaran terakhir Azri Fahmi undang sayu, pemergian ditangisi rakan. Sempat WhatsApp mohon maaf
PEMERGIAN remaja, Allahyarhan Azri Fahmi Bahiuddin Zaiful Afindi, 14, dalam tragedi lemas di Kampung Jerantut Feri, Jerantut, Pahang begitu memilukan.
Kehilangan pelajar Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Kebangsaan Temin itu begitu dirasai rakan-rakan. Sementelah Allahyarham seorang yang aktif dalam sukan bola sepak dan ragbi.
Rata-ratanya berkongsi hantaran di TikTok dengan memuat naik foto Azri Fahmi dan berkongsi kenangan bersama.
"Boboiboy kehilangan Ochobot, Adudu kehilangan Probe. Aku kehilangan kawan baikku sendiri #azrifahmi."
"Simpan sini sebagai kenangan. Ramai doakan Azri, ramai sayangkan kau."
"Tak pernah bersedia akan kehilangan kau Azri."
Tidak ketinggalan, ramai yang memuat naik upacara pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Mat Kilau, Jerantut.
"Inilah buktinya ramai yang sayangkan kau Azri. Tidak henti orang menziarah pada perjalanan terakhir. Kau orang baik, sebab itu ramai yang sayang. Engkau sahabatku dunia akhirat," kongsi salah seorang rakannya.
Bagaikan tahu kematian bakal menjemput, hantaran terakhir dimuat naik arwah di akaun media sosial berkaitan ajal.
"Hmm... kenapa sejak dua hari ini rasa macam diketepikan dan tak sedap hati, apakah aku perlu siap untuk dibaringkan depan imam?"
Allahyarham juga turut sempat membuat hantaran semula (repost), dengan menyebut ‘bila kematian datang lebih awal ke diriku, maafkan aku wahai sahabat dan wanita yang kucintai’.
Sementara itu, memetik laporan portal berita tempatan, rakan sekelasnya, Aidil Hakim Muhammad Shaiful telah menghantar memohon maaf melalui aplikasi WhatsApp pada sebelah malam sebelum hari kejadian.
"Arwah menghantar pesanan menerusi WhatsApp kepada semua rakannya secara peribadi dan memohon maaf.
"Saya terkejut dan seperti tidak percaya apabila menerima khabar menyedihkan mengenai kejadian menimpa arwah pada petang keesokannya," katanya.
Mayat Azri Fahmi terdahulu ditemui pada jam 7.45 pagi Isnin selepas dilaporkan hilang selepas terjatuh ke sungai dan dibawa arus sungai pada 5.40 petang, Sabtu.
Allahyarham dikatakan berada di sebuah rumah rakit Majlis Daerah Jerantut untuk memancing dipercayai terpijak hujung lebihan atap zink sebelum tergelincir ke dalam Sungai Pahang.
Mayatnya ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak kira-kira 900 meter (m) dari lokasi terjatuh. Terdahulu, bapanya Zaiful Afindi Hashim, 43, melaungkan azan berhampiran lokasi berkenaan manakala SAR dibantu dua anjing pengesan, Grouse dan Lady.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang