9 bulan tanpa jejak, Cikgu Lo Kwan Fon ditemui reput dalam rumah. 'Dia pendidik lemah lembut, penuh dedikasi & disenangi ramai'

No Image Caption
A
A
A

PILUNYA hati membaca kisah pemergian pendidik ini.

Kehilangan Cikgu Lo Kwan Fon, 39, selama sembilan bulan akhirnya terjawab dengan dengan penemuan mayatnya di sebuah rumah.

Tanpa jejak dan khabar berita, pemergian guru penolong kanan yang didapati tidak hadir bekerja sejak 24 September tahun lalu ditangisi rakan sejawat dan murid.

Laman sosial Facebook sekolah berkongsi ucapan menyentuh hati.

"Dengan hati yang amat hiba dan penuh rasa kehilangan yang tidak terperi, kami dengan dukacita ingin memaklumkan kepada seluruh masyarakat bahawa:

"Setelah beberapa hari siasatan dijalankan oleh pihak polis, kami berat hati mengesahkan bahawa guru yang amat dikasihi dan hormati, Cikgu Lo Kwan Fon, telah meninggal dunia pada usia muda 39 tahun. Berita duka ini sungguh memilukan dan menghiris hati semua.

"Cikgu Loh adalah insan pendidik yang berjiwa besar, lemah-lembut, merendah diri, berdedikasi dan disenangi ramai.

"Sepanjang hidupnya, beliau mencurahkan seluruh jiwa dan raga dalam dunia pendidikan. Beliau sentiasa menyayangi murid-murid, memikul tanggungjawab sebagai guru dengan penuh keikhlasan dan menjadi tonggak utama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Wenhua.

Artikel Berkaitan:

"Beliaulah cahaya penunjuk arah buat ribuan anak murid, ibarat pelita yang menyinari lorong kehidupan mereka.

 

No Image Caption

"Beliau mendidik dengan penuh kasih, menyiram benih ilmu dengan sabar dan cinta, bagaikan hujan musim bunga yang menyuburkan bumi. Pemergiannya satu kehilangan besar yang tidak akan mampu diganti oleh sesiapa pun dalam dunia pendidikan ini," titipnya.

Lebih memilukan, pihak berkenaan juga mendedahkan, mendiang hidup sebatang kara di Johor selepas kematian kedua-dua orang tua pada tahun 2010.

"Cikgu Loh merupakan anak tunggal dan kedua ibu bapanya telah lama meninggal dunia. Beliau menetap di Selesa Jaya, Skudai, Johor, semasa hayatnya.

"Mendiang ibunya dikenali sebagai Puan Chiang Lai Hao. Dikatakan bahawa Cikgu Loh mungkin mempunyai seorang ibu saudara di Singapura dan kemungkinan juga masih ada saudara-mara di kawasan Taiping, Perak.

"Kami dengan rendah hati dan penuh pengharapan merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat, atau kepada warisnya sendiri, agar segera menghubungi pihak sekolah atau Balai Polis Nusa Bestari (07-5112622) bagi membantu urusan pengecaman dan pengurusan terakhir mendiang," kongsinya.

Dalam pada itu, Facebook Death Kopitiam Singapore mendedahkan guru berkenaan cuba dijejaki rakan-rakannya pada Februari lalu.

"Kwan Fong mengabdikan diri sepenuh hati dalam dunia pendidikan. Beliau bukan sekadar mengajar, tetapi membimbing dan membina masa depan anak-anak didiknya. Sekolah adalah dunia keduanya dan beliau berjuang saban hari menjadikan tempat itu ruang selamat dan bermakna buat semua.

"Kali terakhir rakan-rakannya cuba menziarah ialah pada Februari 2025 tetapi tiada siapa menjawab panggilan di pintu.

"Jiran-jiran pula memberitahu sudah lama tidak melihatnya. Rasa bimbang akhirnya bertukar tragedi. Pada 13 Jun, jasadnya ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa," kongsinya.

PUNCA KEMATIAN TIDAK DAPAT DIKESAN - POLIS

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu hasil satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Nusa Bestari pada Khamis lalu.

Misteri kehilangan seorang guru yang didapati tidak hadir bekerja sejak 24 September tahun lalu akhirnya terjawab dengan penemuan mayatnya di sebuah rumah di kawasan Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri.

“Mayat tersebut ditemui selepas jiran menyiasat punca bau busuk di kawasan sekitar sebelum membuat laporan polis pada jam 8 malam.

“Siasatan awal mendapati wanita berkenaan dikenali sebagai Lo Kwan Fong dipercayai telah meninggal dunia kira-kira sebulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut M Kumarasan, bedah siasat yang dijalankan oleh doktor pakar forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru mendapati punca kematian adalah tidak dapat dipastikan (unascertained) disebabkan oleh tahap pereputan yang telah lanjut (advanced decomposition).

Siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan masih belum berkahwin dan bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di kawasan Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan punca kematian.

Difahamkan, pihak polis sedang mengesan waris mangsa yang dipercayai telah berhijrah ke Singapura.

Sumber: Facebook Death Kopitiam Singapore, Facebook, Sinar Harian

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang