Guru wanita ditik@m anak rupanya kematian suami Januari lalu, posting Facebook terakhir undang sayu. 'Adik-beradik takkan ada ganti'

KEMATIAN tragis seorang guru wanita di Taman Rambai Mutiara, Melaka baru-baru ini menyayat hati ramai.
Apatah lagi apabila polis mendedahkan suspek utama ialah anak keduanya sendiri yang bakal menduduki SPM pada tahun ini.
Tular di laman sosial kisah pilu ibu tunggal kepada tiga cahaya mata berkenaan rupanya baharu kehilangan suaminya pada Januari lalu.

Guru di sebuah sekolah jenis kebangsaan di Melaka itu sempat berkongsi kata-kata dipercayai ditujukan buat anak-anaknya pada 5 Jun.
"Adik-beradik takkan ada ganti.
"Jagalah hubungan adik-beradik. Apabila mak ayah dah tiada nanti, merekalah tempat kita menumpang kasih.
"Benci, gaduh, marah sekalipun mereka tetap adik-beradik kita dunia akhirat," kongsinya.
Malah, pada sambutan Hari Ibu, guru berkenaan terharu menerima titipan video yang disunting anak sulungnya.

"Terima kasih, kerana buat satu video pendek sebagai hadiah Hari Ibu tahun ini untuk mama.
"Walaupun tahun ini kita tak dapat sambut Hari Ibu seperti biasa, tapi hati mama sangat gembira sebab ini kali pertama mama terima video khas yang dibuat sendiri oleh anak mama."
"Mama harap kamu semua akan terus menjadi anak-anak yang baik, mendengar cakap, sihat dan bahagia membesar sehingga suatu hari nanti menjadi insan yang berguna.
"Mama sayang kamu semua sangat-sangat! Love you," kongsinya.
Malah pada Tahun Baru Cina baru-baru ini, guru berkenaan sempat mengimbas kenangan bersama suaminya yang telah meninggal dunia.

"Tahun Baru Cina yang pertama tanpa kehadiranmu dan aku benar-benar masih belum biasa. Rumah terasa sangat sunyi tanpamu. Bagaimana denganmu di sana? Di tempat kau berada sekarang, bolehkah kau juga sambut Tahun Baru?
"Tahun ini, kami tak dapat menyambut Tahun Baru seperti biasa dan tidak dapat menggunakan juadah Tahun Baru untuk sembahyang buatmu. Jadi, semasa upacara 'tiga tujuh' dua hari lepas, aku beli kacang tanah untuk sembahyangkanmu.
"Aku juga letakkan beberapa jenis biskut Tahun Baru dalam bekas makanan yang biasa kita guna untuk makan sama-sama. Aku tak lupa juga letakkan limau mandarin. Kau dapat rasa tak?
"Aku dan anak-anak masih meneruskan amalan vegetarian untukmu. Kami harap semua amalan ini sampai kepada rohmu, dan semoga ia membantu kau menuju ke alam yang damai dan bahagia. Tahun depan, bila kita sudah boleh makan bersama, kita makan daging bakar sama-sama ya.
"Tahun ini, malam Tahun Baru jatuh pada 28 Januari 2025 kebetulan juga tarikh lahir anak sulung kita mengikut kalendar Masihi. Kau masih ingat tak? Tapi kami tak raikan apa-apa pun. Kami tak boleh sambut sebarang perayaan lagi dan sejujurnya… hati aku pun tak mampu nak raikan apa-apa.
"Maafkan mama, anak. Hanya ini saja yang mama mampu ucapkan selamat hari lahir.
"Suamiku, marilah kita kenang kembali gambar-gambar kenangan kita menyambut Tahun Baru bersama-sama dahulu…," titip guru berkenaan.
Terdahulu, Sinar Harian mendedahkan menurut jiran wanita berusia 51 tahun itu mementingkan pendidikan anak-anaknya.
Malah, difahamkan guru berkenaan dipercayai sering menegur tiga anak lelakinya dengan nada yang tegas.
Guru berkenaan maut dalam keadaan tragis dipercayai ditikam anak keduanya yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia 2025.
Remaja lelaki itu menikam ibu dan abangnya pada leher, pinggang dan juga di belakang sehingga maut menggunakan pisau lipat dianggarkan sepanjang 20 sentimeter.
Abang sulung berusia 21 tahun cuba meleraikan, namun turut ditikam sehingga maut sebelum mayat kedua-dua beranak itu ditemui di ruang tamu rumah teres setingkat itu.
Anak bongsu guru berkenaan yang berusia 13 tahun turut mengalami kecederaan parah ditikam suspek namun dilaporkan stabil.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata motif kejadian disebabkan oleh perasaan dendam, perasaan terpendam dan tekanan perasaan yang mana ibu dan abang sering, memarahi suspek.
Difahamkan, selepas membunuh, suspek cuba menghilangkan bukti dengan menyembunyikan senjata tajam dalam beg sekolah yang ditemui di luar rumah.
Remaja itu kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang