Tinggalkan tiga anak kecil, Cikgu Rose 'pergi' selepas lahirkan cahaya mata ketiga. 'Bersalin di dunia, berpantang di syurga....'
KEHAMILAN sering disambut dengan rasa syukur dan gembira. Daripada saat dua garis merah jelas kelihatan, segala tumpuan bukan lagi pada diri sendiri, tetapi pada nyawa si kecil yang sedang membesar dalam rahim seorang ibu.
Namun, tidak semua ibu diberi peluang menikmati masa bersama cahaya mata apabila diuji dengan perpisahan sejurus selepas kelahiran.
Demikianlah kisah menyayat hati Allahyarham Rosehaniza Mohd Rawi yang menghembuskan nafas terakhir pada hari pertama Aidiladha lalu akibat komplikasi kehamilan.
Menerusi perkongsian di Facebook, Kak Nedd meluahkan rasa terkejut bercampur pilu sebaik menerima khabar pemergian sahabatnya selepas melahirkan cahaya mata ketiga.
Ujarnya, arwah sangat bertuah kerana ‘dijemput’ pada hari mulia sejurus melahirkan zuriat, satu pengakhiran yang dijanjikan pintu syurga.
"Bersalin di dunia, berpantang di syurga. Kau adalah antara sahabat paling baik yang paling banyak bagi aku sokongan pada masa-masa sukar aku dulu. Semoga syurga tempatmu," luahnya.
Dalam hantaran lain, Rosehaniza yang lebih mesra disapa Cikgu Rose turut dikenang sebagai seorang yang berhati mulia, sentiasa menghulurkan sokongan dan semangat kepada rakan-rakan sepanjang hayatnya.
Disebabkan kebaikan itu juga, ramai ahli keluarga terdekat serta kenalan hadir mengiringi pemergian arwah, memberi penghormatan terakhir dalam perjalanan menuju duniav abadi.
"Ramai yang tunggu kau, Rose. Ramai betul yang sayang kau. Kami semua sayangkan kau.
"Akhirnya dapat juga aku jumpa dan tengok kau. Wajah kau cantik dan bersih sangat macam orang yang tengah tidur.
Wangi sangat. Dapat juga aku peluk dan cium kau buat kali terakhir," tulisnya.
Menurut alumni Institut Pendidikan Guru (IPG) itu lagi, dia tidak mampu menahan sebak apabila melihat dua puteri kecil arwah, Hasya dan Pia yang terpaksa menerima hakikat kehilangan ibu tercinta pada usia yang begitu muda.
Arwah yang berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gambir, Pulau Pinang selamat dikebumi pada malam 7 Jun lalu di tanah perkuburan dekat Kampung Laloh, Kuala Krai, Kelantan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
