"ALLAH uji saya dengan kemalangan berat ini...' Pemandu bas bawa pelajar UPSI mohon maaf, dedah brek tak berfungsi & sempat elak 4 kenderaan
SEJAK tularnya video kemalangan membabitkan bas dinaiki penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), gaya pemanduan berbahaya kenderaan itu menjadi topik bualan ramai.
Dalam satu sesi temu bual bersama Sinar Harian, pemandu bas tersebut, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, sempat memohon maaf.
"Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada semua pelajar dan keluarga mangsa yang terlibat, brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba.
"Jika ada pihak yang ingin mengambil tindakan undang-undang, saya hendak cakap apa lagi.

"Saya cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas kosong, semuanya jadi tidak berfungsi termasuk brek tangan manakala gear juga tidak boleh ditukar.
"Saya cuba mengelak kenderaan lain supaya tidak merempuh mereka dan seingat saya, empat kenderaan saya elak termasuk lori sebelum kejadian," kongsinya.
Lelaki berusia 39 tahun itu turut mendakwa, sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.
Menurut Mohd Amirul, melalui rakaman tersebut bas yang dipandunya kelihatan memotong dan bergerak laju.
"Oleh sebab nahas berlaku di kawasan selekoh, saya tak mampu berbuat apa-apa.
"Saya menjerit kepada pelajar supaya bersedia dan berjaga-jaga sebaik menyedari brek bas tidak berfungsi," katanya.

Menurutnya yang berpengalaman selama 11 tahun memandu bas, pelajar di kerusi hadapan mungkin dengar arahan tersebut tetapi yang berada di belakang kebanyakannya sedang tidur.
"Mungkin jeritan itu menyebabkan mereka menyangka saya sedang marah.
"Saya jangka bas bergerak dalam keadaan brek tidak berfungsi sejauh lebih satu kilometer dan sebagai pemandu bas, saya cuba mengelak kemalangan.
"Saya tidak laju seperti yang tular kerana arif dengan laluan Jeli-Gerik, lebih-lebih lagi lokasi kejadian menuruni bukit," katanya sambil menahan sebak.
Imbas kembali tragedi berdarah awal pagi Isnin lalu, Mohd Amirul mendedahkan dirinya pengsan seketika sebelum sedar dan menjerit meminta pelajar keluar menerusi cermin hadapan bas yang pecah.
Dia yang terpaksa merangkak keluar menangis melihat keadaan para penumpang.

"ALLAH uji saya dengan kemalangan berat ini.
"Ini pertama kali saya terbabit dalam kemalangan mengorbankan nyawa dan sebagai pemandu bas, sudah tentu saya rasa sangat bersalah," katanya yang berasal dari Besut, Terengganu.
Dalam pada itu, Mohd Amirul berkata, dia yang sedaya upaya mengelak empat buah kenderaan termasuk lori sebagai usaha terjadinya keadaan lebih teruk memberi amaran kepada para penumpang.
Ujarnya, walaupun sudah cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas kosong, semuanya jadi tidak berfungsi termasuk brek tangan manakala gear juga tidak boleh ditukar.
"Oleh sebab nahas berlaku di kawasan selekoh, saya tak mampu berbuat apa-apa.
"Saya menjerit kepada pelajar supaya bersedia dan berjaga-jaga sebaik menyedari brek bas tidak berfungsi," katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mendedahkan, 18 saman pernah dikeluarkan terhadap pemandu berkenaan yang mana 13 saman dikenakan atas kesalahan memandu laju.
Tiga kesalahan lain yang dikenakan saman ialah tidak memakai tali pinggang keledar, tiada lampu brek ketiga dan lain-lain kesalahan adalah terlibat dalam kemalangan.
Dalam pada itu, Mohd Yusri juga mendedahkan bas terbabit juga memiliki rekod 21 saman yang dikeluarkan atas kesalahan trafik.
KRONOLOGI KEMALANGAN
Berikut adalah kronologi kemalangan yang dikongsikan Bernama:
1.10 pagi -Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Gerik berhubung insiden berkenaan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengesahkan sebuah bas terbalik dan sebuah MPV terbabas ke dalam parit dalam nahas itu.
Keseluruhannya 48 mangsa terlibat, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital.
Penumpang bas merupakan mahasiswa UPSI yang dalam perjalanan dari Terengganu, pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas cuti Hari Raya Aidiladha.
9.32 pagi -- UPSI mengesahkan 42 penuntut universiti itu terlibat dalam kemalangan di JRTB Banun, Gerik, awal pagi Isnin.
11.21 pagi -- Tiga belas jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk bedah siasat.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir turut mengesahkan 15 pelajar UPSI meninggal dunia dalam kemalangan itu.
12.04 tengah hari -- Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan bas berkenaan membawa 42 pelajar berusia antara 21 hingga 23 tahun, kesemuanya dari Pantai Timur.
Pemandu bas dan pembantunya berusia 54 tahun disahkan cedera dalam kemalangan itu.
Turut cedera, pemandu dan penumpang MPV terlibat iaitu sepasang suami isteri berusia berusia 37 dan 36 tahun serta dua anak mereka, seorang perempuan dan seorang lelaki yang berusia 6 dan 3 tahun.
Seramai 27 pelajar UPSI iaitu 23 perempuan dan empat lelaki mengalami kecederaan manakala 13 jenazah dihantar ke HRPB dan 2 jenazah lagi di Hospital Gerik.
Proses bedah siasat masih berjalan.
2.25 petang -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan berkenaan.
5.30 petang -- Identiti enam daripada 15 pelajar UPSI yang maut telah dikenal pasti.
UPSI memaklumkan mereka ialah Sufea Adela Maslihaizan, 21, Mohammad Aqil Taqiudin, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22.
Turut meninggal dunia Fakhrul Arif Rosdi, 20, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Nor Ayuni Maslan, 21, Nurly Sahirah Azman, 23, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.
6.51 petang -- Bedah siasat 13 jenazah pelajar UPSI di HRPB selesai.
8.55 malam -- Konvoi van jenazah pelajar UPSI yang terkorban mula meninggalkan Jabatan Forensik HRPB menuju ke Jertih, Terengganu.
Terdahulu, SinarPlus melaporkan seramai 15 pelajar universiti terbabit disahkan maut dalam satu kemalangan tragis yang melibatkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Bas dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu itu yang membawa 44 individu yang merangkumi 42 pelajar UPSI, seorang pemandu dan seorang pembantu.
15 penuntut gugur manakala 27 lagi pelajar yang lain tercedera dalam perjalanan untuk menuntut ilmu.
Difahamkan empat sekeluarga menaiki Perodua Alza turut mengalami kecederaan namun stabil.
Sumber: Sinar Harian 1, 2, 3, Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
