Anak perempuan mengadu kawan sekolah perlekeh kerja bapa. 'Adik cakap ayah jual laksa, mereka ketawakan...'

No Image Caption
A
A
A

“Adik cakap ayah jual laksa, mereka ketawakan. Tak tahu kenapa kawan-kawan gelak.”

ITU luahan jujur dari seorang kanak-kanak, Nik Ainul Mardhiyah,kepada bapanya selepas pulang dari sekolah.

Kisahnya yang tular di media sosial bukan sekadar meruntun hati warganet, malah menjadi peringatan betapa pentingnya mengajar anak-anak untuk tidak memperlekehkan pekerjaan seseorang.

Menurut Mohd Syahid Abdullah, perbualan itu berlaku secara spontan ketika mereka sedang makan di medan selera selepas menjemput anaknya pulang dari sekolah.

“Saya tanya apa yang dia buat di sekolah hari itu. Ainul pun cerita, ada sesi bersembang tentang pekerjaan ayah masing-masing.

"Bila dia beritahu ayahnya jual laksa, kawan-kawan ketawa. Dia sendiri tak faham kenapa mereka gelak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun Ainul tidak tampak sedih namun naluri seorang ayah percaya anaknya sedikit terkesan dengan kata-kata dan reaksi rakan sekelasnya itu.

“Mungkin dia cuma pelik kenapa orang ketawa dan sekadar nak bercerita,” tambahnya.

Namun, sebagai ketua keluarga, beliau tetap menasihati anak perempuannya itu supaya tidak rasa malu dengan pekerjaan ibu bapa sendiri.

“Dari dulu saya pesan pada dia, kalau cikgu atau sesiapa tanya kerja ayah, cakap saja ayah jual makanan.

"Alhamdulillah, Ainul faham. Malah, dia sendiri selalu teman dan tolong saya di gerai setiap hujung minggu,” katanya.

Lelaki berusia 34 tahun itu telah menjual laksa selama empat tahun sebagai sumber rezeki selepas terpaksa berhenti kerja sebagai penyelia tapak binaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dulu saya kerja makan gaji, tapi waktu PKP gaji tersekat. Nak tak nak, saya cuba berniaga.

“Mula-mula susah, pelanggan pun tak ramai. Saya tak ada pengalaman, tapi kena usaha sebab ada keluarga yang perlu ditanggung,” ujarnya.

Bagaimanapun, gerai laksa yang diusahakan bersama isteri, Nik Suhaila Nik Su, semakin dikenali.

"Alhamdulillah, ramai yang sokong, tapi ada juga segelintir yang pandang rendah.

"Apa pun, saya tetap bersyukur kerana rezeki ini yang menyara keluarga,” katanya penuh yakin.

Kisah ini menjadi peringatan bahawa setiap pekerjaan yang halal wajar dihargai.

Yang penting, tidak perlu malu, kerana rezeki datang dari hasil titik peluh sendiri.

Sumber: Harian Metro

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang