Anak Rafizi Ramli diheret, dicucuk jarum suntikan. 'Ini kali pertama keluarga saya jadi sasaran'
ANAK kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dipercayai diserang dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Dalam kejadian sekitar jam 1.45 petang, anak lelakinya yang berusia 12 tahun itu dipercayai diserang ketika memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli belah berkenaan.
"Semasa anak dan isteri saya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat membeli belah di Putrajaya, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.
Rafizi turut mendedahkan serangan berkenaan membabitkan dua individu lelaki yang disyaki telah melakukan perancangan awal.
"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal.

"Serangan melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.
"Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika yang sesuai," kongsinya.
Difahamkan, anaknya kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM (HSAAS) untuk rawatan dan laporan polis telah dibuat sejurus kejadian.
"Saya dan keluarga saya telah pun memberi kenyataan kepada pihak polis.
"Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM," kongsinya.
Dalam hantaran di Facebook, Rafizi mendedahkan, sepanjang menjadi ahli politik, insiden itu yang pertama kali terjadi kepada beliau dan keluarga.

"Sepanjang menjadi seorang ahli politik berprofail awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini.
"Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.
"Terima kasih kepada semua yang telah menghantar mesej dan bertanya khabar.
"Insya-ALLAH sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa," titipnya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dipetik berkata, siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti suspek.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul juga dilapor akan mendapatkan penjelasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai dakwaan berlakunya serangan itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
