'Andai sudah tiada, cukup sekadar jasadnya ditemui.' Keluarga harap Ija Nizaruddin masih hidup, minta doa baik-baik

No Image Caption
A
A
A

DUNIA permotoran tempatan masih dirundung pilu dengan kehilangan salah seorang figura dikenali ramai, Ija Nizaruddin, atau nama sebenarnya Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin.

Berita mengenai dirinya yang dipercayai hilang selepas kereta Perodua Axia dinaiki terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Kampung Tui, Bukit Kepong, Muar, Johor, terus menjadi tanda tanya.

Dengan lebih 53,000 pengikut setia di Facebook, Ija bukan sekadar pempengaruh, beliau merupakan sahabat kepada ramai, sumber inspirasi dan suara yang lantang dalam komuniti dua roda dan empat roda tanah air. Kini, kehilangannya meninggalkan ruang kosong yang sukar diisi.

Pada masa sama, ahli keluarganya masih menaruh harapan dalam menerima khabar pempengaruh berusia 33 tahun itu masih hidup.

No Image Caption

Sepupunya, Norzilah Yunos, 40, berkata, seluruh ahli keluarga tidak putus berdoa agar segala urusan pencarian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dipermudahkan.

“Harapan kami kalau dia dijumpai, biarlah dalam keadaan masih hidup. Tapi andai kata dia sudah tiada, cukuplah sekadar jasadnya ditemui.

“Kami masih berharap ada khabar baik. Mungkin bukan kes lemas. Namun, apa pun keadaannya kami hanya mahukan kepastian dan kejelasan,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di Sungai Tui, Bukit Kepong.

Artikel Berkaitan:

Menurut Norzilah, dia menerima berita mengenai kehilangan sepupunya pada Isnin dan terus mengambil keputusan untuk datang ke Bukit Kepong dari Melaka.

No Image Caption

“Sejak hari pertama kehilangan disedari, pelbagai usaha telah dijalankan termasuk bacaan Yasin, selain rakan-rakan Ija turut membantu mencari di sekitar kawasan.

“Ija seorang yang baik, ramai mengenalinya dan semua mengharapkan agar dia ditemui,” katanya.

Dalam pada itu, Norzilah turut menyeru orang ramai agar menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih dan spekulasi yang boleh menggores perasaan keluarga.

“Kami minta orang ramai doakan yang baik-baik sahaja,” ujarnya.

No Image Caption

Terdahulu, pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Tengku Nizaruddin hilang selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya terjunam ke dalam sungai berkenaan. 

Bagaimanapun mangsa tidak ditemui di dalam kenderaan tersebut. 

ADIK & ISTERI DIRAKAM KETERANGAN 

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memaklumkan bahawa kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Beliau juga memaklumkan  isteri dan adik Ija telah diambil keterangan pada malam Selasa.

No Image Caption

Difahamkan, adiknya merupakan individu terakhir yang berjumpa dengan Ija pada kira-kira jam 3.30 petang pada hari kejadian di kawasan Bukit Kepong.

Mereka telah berkonvoi dari Johor Bahru ke Muar sebelum berjumpa sebentar di kawasan Bukit Kepong sebelum masing-masing beredar ke destinasi masing-masing.

Pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi menjalankan selaman awal dan hanya menemui sepasang selipar dan topi dipercayai milik Ija, manakala telefon bimbitnya masih belum dijumpai.

Rekod juga menunjukkan talian telefon Ija sudah tidak aktif sejak hari dia dikatakan hilang.

Memasuki hari ketiga  operasi mencari dan menyelamat (SAR), kawasan pencarian sehingga radius dua kilometer meliputi kawasan sungai dan kampung sekitar melibatkan seramai 60 anggota, termasuk daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Usaha pencarian tertumpu di permukaan sungai menggunakan bot milik polis dan bomba, selain pemantauan udara dengan bantuan dron milik JBPM.

Sumber: Sinar Harian

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang