'Ayah sayang semua, jaga diri baik-baik.' Isteri pilu voice note terakhir jadi kenangan, wartawan meninggal selepas liputan banjir Hatyai
AIR mata siapa pun pasti gugur mendengar bait suara terakhir itu:“Ayah sayang semua, jaga diri baik-baik.”
Rakaman suara (voice note) itu kini menjadi kenangan terakhir yang menyentuh perasaan buat keluarga Allahyarham Asri Shafii, 49, wakil Astro AWANI Perlis. Beliau disahkan terkorban selepas selesai menjalankan tugas membuat liputan banjir di Hatyai.
Pilu hati isteri, Norhanani Ahmad, menerima hakikat bahawa pesanan suara Asri itu menjadi ucapan terakhir sebelum suaminya meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung.
Difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir wal pagi ini ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai membuat liputan mengenai proses evakuasi rakyat Malaysia yang terperangkap akibat banjir di Hatyai, Thailand.

Dalam perbualan terakhir, Allahyarham itu menyatakan hasrat untuk pulang ke rumah di Perlis kerana bimbang kediaman mereka turut dinaiki air.
"Dia (Asri) memang ada sejarah sakit jantung sebelum ini dan mungkin dia terlalu penat membuat liputan semalam dan tak dapat berehat.
"Dalam masa sama, arwah risaukan kami sebab kawasan sekitar rumah dinaiki air dan kami terperangkap, jadi suami nak balik dulu tapi tak sempat.

"Dalam perjalanan pulang, kereta arwah naiki terperangkap banjir dan tidak dapat dihidupkan.
"Arwah turun dari kereta dan cuba menolak tetapi tiba-tiba dia rebah mungkin akibat serangan jantung dan lemas," katanya ketika dihubungi AWANI.
Allahyarham terdahulu pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebelum menjadi wakil Astro AWANI di Perlis.
Selain Norhanani, Allahyarham turut meninggalkan enam cahaya mata yang mana anak mereka paling bongsu berusia 11 tahun.
Sumber: Awani
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

