'Bantu isteri itu sunnah, bukan hilang kejantanan’ – PU Syed tegur isu suami buat kerja rumah dilabel loser
DALAM dunia moden yang serba sibuk ini, kerja rumah bukan lagi dianggap eksklusif untuk wanita semata-mata.
Ramai pasangan kini memilih untuk berkongsi tanggungjawab demi mewujudkan suasana harmoni dalam rumah tangga.
Namun baru-baru ini, pempengaruh media sosial, DMA Islam, sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menganggap lelaki yang membantu isteri melakukan kerja rumah sebagai tidak ‘jantan’ dan mengaitkannya dengan gelaran menghina.
Kenyataan itu nyata menimbulkan kemarahan ramai pihak, termasuk pendakwah terkenal PU Syed yang tampil memberi teguran terbuka.
Tegas beliau, kenyataan DMA Islam itu sangat tidak berasas, malah bercanggah dengan teladan yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW.
“Buat DMA Islam, apa yang awak sebut tentang orang lelaki kalau dia basuh, bayar anak, tolong isteri dekat rumah, buat kerja rumah itu dia anggap sebagai bukan lelaki sejati. Itu tak betul lah,” kata PU Syed dalam satu teguran.
Beliau menjelaskan, Rasulullah SAW sendiri pun membantu isteri-isteri baginda di rumah. Tindakan itu langsung tidak menjejaskan martabat baginda sebagai pemimpin umat Islam, bahkan tetap diangkat sebagai Khalifah dan manusia agung sepanjang zaman.
“Adakah membantunya Rasulullah kepada isteri-isteri menunjukkan Nabi tak layak jadi khalifah? Tak. Nabi segala-galanya,” tambah PU Syed.
PU Syed turut mengingatkan bahawa para sahabat Rasulullah seperti Sayyidina Umar ibn al-Khattab dan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq juga pernah melakukan perkara sama.
Mereka bukan sahaja menjadi khalifah dan pemimpin masyarakat, malah masih turun tangan membantu isteri di rumah tanpa rasa rendah diri.
“Bahkan itu menunjukkan kecanaan suami kepada kesusahan isteri.
"Ia salah satu mahabat – rasa cinta dan seronok suami kepada isteri bila membantu kerja rumah,” jelasnya lagi.
Beliau tidak menafikan rasa hairan bagaimana seorang pemuda yang belum berkahwin boleh begitu lantang memberi pandangan melulu.
“Yang berpelik juga bila ada seorang pemuda yang tak nikah lagi, sembang kencang.
"Jangan sampai kita cerita pakai kepala otak kita yang tidak dilandaskan dengan wahyu ALLAH SWT ataupun pandangan para ulama. Guna pandangan kepala otak kita, tak jadilah,” tegas PU Syed.
PU Syed menambah, suami yang membantu kerja rumah sama sekali tidak jatuh martabatnya. Malah, ramai lelaki yang beliau kenal turut sama memasak, mengurus anak-anak dan menolong isteri dari semasa ke semasa.

Bagi beliau, itu tanda suami yang cakna terhadap keluarga.
“Tak salahnya suami bantu isteri dekat rumah, nak basuh, nak masak, nak menyapu. Saya kenal ramai kawan-kawan saya masak dekat rumah.
"Ada masa mereka masak, ada masa menolong isteri dan anak-anak.
"Itu tidaklah menjatuhkan martabat seorang suami. Bahagian itu menunjukkan suami itu cakna kepada rumah tangga mereka,” ujarnya.
Reaksi netizen juga kebanyakannya menyokong pendirian PU Syed.
Ramai yang bersetuju bahawa membantu isteri bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya membuktikan kekuatan cinta dan penghormatan dalam rumah tangga.
Justeru, jelaslah bahawa isu ini bukan sekadar perdebatan di media sosial, tetapi menyentuh soal akhlak dan teladan yang ditinggalkan Rasulullah SAW.
Membantu isteri di rumah bukan tanda kalah atau ‘loser’, tetapi kemenangan besar dalam membina keluarga yang bahagia dan penuh keberkatan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

