Barang peribadi pelajar UPSI diserah kepada keluarga, air mata famili Nur Dalila meruntun hati. 'Hari ini ia pulang tanpa tuannya...'
BARANGAN peribadi milik 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak selamat diserahkan kepada keluarga.
Suasana pilu menyelubungi saat ahli keluarga menerima barangan tersebut termasuk keluarga Allahyarham Nur Dalila Farhana Mohamad Isma di Kampung Bharu Tok Dor, Besut, Terengganu.
Tidak dapat menahan air mata, ibu Allahyarham, Norinda Kasim, 49, sempat mencium helaian blaus merah jambu yang paling mengundang sebak kepadanya.
"Nur Dalila sudah tiada, hanya mampu peluk baju untuk mengubat rindu padanya," katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, ada memori dia dan Dalila pada blaus merah jambu yang menyebabkan hatinya sangat tersentuh.
"Baju tersebut dibeli sedondon dengan saya sejak 10 tahun lalu.
"Ia adalah kesayangan Nur Dalila dan sentiasa dibawa ke mana sahaja dia pergi," ujar si ibu.
Norinda juga sebak mengenangkan barangan anaknya itu akhirnya pulang tanpa pemilik.
"Barangan arwah tiba di Masjid Hadhari sekitar jam 11 pagi tadi.
"Semua barangan ini kami hantar bersama Nur Dalila semasa awal kemasukannya ke UPSI, namun hari ini ia pulang tanpa tuannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Khamis.

Terdahulu, menerusi temu ramah bersama Berita Alhijrah, Norinda sempat mengimbas kembali keperibadian Allahyarham Nur Dalila sebagai anak yang taat dan mendengar kata.
Allahyarham yang dahulunya tidak mahu mengambil jurusan pendidikan bagaimanapun akur demi memenuhi permintaan Norinda.
"Asalnya, dia tidak mahu jadi cikgu tetapi dia tanya saya "Mak nak ke saya jadi cikgu?"
"Saya kata nak. Dia kata, tak mengapalah, biar dia pohon dan rezekinya, dapat tawaran itu walaupun dia tidak mahu.
"Dia kata tak mengapalah, mahu kejar cita-cita. Lama-kelamaan minat datang sendiri.
"Dia anak yang mendengar kata," katanya.

Selain itu, bapanya, Mohamad Isma Abdul Manaf turut mengenang Nur Dalila sebagai anak yang baik.
"Cikgunya pun kata dia pelajar yang baik. Bukan jenis melawan dan suka balik ke rumah.
"Kali terakhir pulang baru-baru ini, dia kata tak sabar nak balik lagi. Sampai dekat bas pun dia laju-laju cakap mahu duduk depan. Dia memang suka duduk depan," ujarnya.
Memetik Bernama, ketua misi berkenaan, Prof Dr Mohd Azlan Nafiah berkata sebuah lori membawa muatan barangan peribadi milik mangsa tiba di Jerteh pada 10.30 pagi Khamis dan diserahkan kepada waris yang sedia menanti di pekarangan Masjid Hadhari.
“Barang yang dibawa terdiri daripada barangan peribadi seperti pakaian yang diambil di bilik penginapan di lima kolej (asrama) kediaman universiti, empat buah motosikal yang digunakan pelajar semasa di kampus, komputer riba dan buku nota,” katanya ketika ditemui di pekarangan masjid itu.
Mohd Azlan berkata misi tersebut diuruskan Pusat Tranformasi Komuniti UPSI dan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) UPSI.
Beliau berkata bagi keluarga yang tidak dapat hadir ke masjid, pihaknya telah menghantar sendiri barangan mangsa kepada ahli keluarga di rumah mereka.
Sumber: Sinar Harian, Berita Alhijrah, Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

