Fakhrul Arif sempat beri adik RM21 sebelum naik bas, bapa terpaksa buat 3 kali pengecaman. 'Ujian cap jari sahkan itu anak saya'

No Image Caption
A
A
A

NAHAS ngeri mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada hari ketiga sambutan Aidiladha sehingga kini mengundang sebak ramai.

Proses pengecaman jasad mangsa oleh ahli keluarga yang dilaporkan pihak media menambahkan kepiluan di hati.

No Image Caption

Salah seorang mangsa, Fakhrul Arif Rosdi, 20, yang meninggal dunia dalam tragedi itu meruntun hati apabila bapanya, Rosdi Yunus, 56, mengakui terpaksa membuat tiga kali pengecaman terhadap jasad sebelum dapat membuat pengesahan.

Kata Rosdi, jasad pelajar semester dua, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI itu gagal disebabkan keadaan fizikalnya yang tidak dapat dikenal pasti.

“Pengecaman pertama dilakukan melalui gambar sekitar jam 12 tengah hari, namun saya tak pasti. Kali kedua, saya diminta membuat pengecaman secara fizikal berdasarkan pakaian pada jam 3 petang, tetapi saya masih tak dapat mengecam.

“Akhirnya, saya diminta menjalani ujian cap jari dan apabila keputusan keluar, memang sah itu anak saya. Saya terima dengan reda,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Akar, di sini awal pagi Selasa.

BANYAK TERMENUNG

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sepupunya Izwan Iskandar Che Sopian, 27, Allahyarham yang lebih mesra dengan panggilan Fakhru menunjukkan perubahan sikap menjadi pendiam, banyak termenung dan tidak banyak bercakap berbanding kebiasaan.

No Image Caption

"Selalunya dia ada juga bersembang, tapi masa kenduri tu, dia banyak diam. Dengar sahaja sepupu lain bercakap.

"Masa tu kami rasa pelik tengok perangai dia, lain macam, tak seperti kebiasaan," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pasir Akar.

Malah, menurut Izwan, Fakhrul yang juga anak ketiga daripada lima beradik sempat memberikan wang berjumlah RM21 kepada adik bongsunya, Nurul Effa Shahira Rosdi, 16.

"Adiknya beritahu, tak pernah dapat duit daripada arwah, malam tadi pertama kali dapat tapi dia rasa terkilan kerana wang pemberian itu hilang," katanya.

'BERADAB & SENTIASA MENJAGA HATI' - PENSYARAH

Dalam satu hantaran di Facebook, pensyarah Fakhrul, Dr Nor Sa'adah Jamaluddin menerusi Facebook meluahkan rasa kehilangan pelajarnya.

No Image Caption

"Salah seorang dari mangsa tragedi 9 Jun 2025, kemalangan bas di Gerik, Perak. Allahyarham Fakhrul Arif bin Rosdi.

"Cerdik akalnya, baik akhlaknya, anak soleh buat ibu bapa dan keluarga.

"Kalu terakhir jumpa, dalam kelas seminggu sebelum cuti Aidiladha.

"Banyak kali Fakhrul kelihatan curi-curi pandang, sambil melemparkan senyuman. Petanda ingin pergi jauh rupanya.

"Selamat mendahului kami, Fakhrul. Manusia baik, memang ALLAH SWT sayang," titipnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan Allahyarham sebagai pelajar yang menjaga adab dengan orang sekeliling.

"Sungguh terkesan atas pemergian ini. Masakan tidak, pelajar yang sangat beradab dan sentiasa menjaga hati, bukan sahaja pensyarah malah sahabat-sahabat serta orang sekelilingnya.

Wahai ALLAH, Mohon ampuni dia, sayangi dia, luaskan kubur dia dan tempatkan dia bersama hamba-MU yang soleh serta beriman. Kurniakan kesabaran yang tinggi buat seluruh keluarga dan sahabat-sahabat yang ditinggalkan," titipnya.

JAGA SOLAT

Sementara itu, menurut majikan Allahyarham, pemilik LePort Cafe di Jerteh, Besut, Faizal Abdullah, 33, pemuda itu sentiasa menjaga solat ketika bekerja sambilan pada cuti semester yang lalu.

No Image Caption

Malah, anak muda itu disifatkannya sebagai bersungguh-sunggu dalam kerjanya dan tidak pernah mengabaikan solat biarpun sibuk.

"Dia seorang yang lemah lembut, baik, dan menjaga tutur kata.

"Biarpun masih seorang pelajar, dia pandai melayan pelanggan malah rakan-rakan sekerja begitu seronok bekerja dengannya.

“Ini kali pertama Fakhrul bekerja dengan saya kerana cawangan di Besut baru dibuka.

"Allahyarham antara individu yang terawal bekerja ketika pembukaan cawangan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Faizal, Allahyarham diberikan tanggungjawab untuk menjaga kaunter dan melakukan kerjanya dengan baik.

Jenazah Fakhrul selamat dikebumikan pada jam 4.30 pagi selepas disolatkan di Masjid Hadhari bersama 12 lagi jenazah rakan-rakan pelajar UPSI yang turut terkorban.

Difahamkan, keluarga merancang untuk membawa jenazah pulang ke rumah terlebih dahulu, namun terpaksa membatalkan niat itu berikutan keadaan jenazah yang tidak mengizinkan.

Terdahulu, SinarPlus melaporkan seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut dalam satu kemalangan tragis yang melibatkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Gerik, Perak berdekatan Tasik Banding.

Bas dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu itu yang membawa 44 adalah penumpang dalam bas merangkumi 42 pelajar UPSI, seorang pemandu dan seorang pembantu.

15 penuntut maut manakala 27 lagi pelajar yang lain tercedera dalam perjalanan kembali ke kampus untuk menuntut ilmu.

Pemandu bas dan pembantunya juga mengalami kecederaan.

Sementara itu, Perodua Alza pula yang dinaiki empat sekeluarga turut mengalami namun stabil.

Pengakuan pemandu bas berkenaan, Mohd Amirul Fadhil mendakwa brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba. Tidak hanya itu, angin bas kosong selain brek tangan dan gear tidak boleh ditukar.

Bas berkenaan yang dipercayai dipandu laju berdasarkan maklumat daripada mangsa dikatakan merempuh Perodua Alza berkenaan sebelum terbalik.

Difahamkan, majoriti penumpang yang terkorban adalah mereka yang duduk di tempat duduk bahagian kiri bas.

Sumber: Sinar Harian 1, 2, 3, Facebook

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang