Disahkan kanser tahap empat, tapi Nor Shamira tetap naik pentas raih Anugerah Emas Naib Canselor!
SAYU dan mengalir air mata, graduan menghidap kanser Limfoma Hodgkin (Classic Hodgkin Lymphoma) tahap empat membuktikan barah yang dialami tidak menghalang kejayaanya meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.94, dikurniakan Anugerah Emas Naib Canselor!
Lebih mengejutkan, Nor Shamira Irwani Farid, 24, graduan Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial, malah tidak menyangka dia akan menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
Dia dikurniakan anugerah berkenaan daripada Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
"Saya tak sangka dapat hadir majlis konvokesyen pada hari ini sebab pada awal rawatan, kemoterapi yang kuat memerlukan saya dimasukkan ke wad.
"... tapi hasil rawatan sebelum ini menunjukkan perkembangan positif, membolehkan doktor menukar rawatan kepada ubat yang kurang kuat dan saya dapat menghadiri sesi pertama serta sesi kelapan konvokesyen," katanya ketika ditemui Bernama selepas sesi pertama Majlis Konvokesyen UUM ke-38.

Bercerita mengenai penyakitnya, Nor Shamira Irwani sempat mengimbas kembali detik cemas tiga tahun lalu.
Gadis itu mula perasan ketulan kecil pada leher kanannya pada 2022, namun tidak melakukan pemeriksaan kerana kekangan masa.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, ketulan berkenaan semakin besar pada awal tahun ini, sekali gus menyebabkan dia perlu menjalani banyak pemeriksaan sebelum didiagnosis menghidap penyakit itu 19 Ogos lepas.
Biarpun menghidap kanser, gadis berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu berkata, keluarga, pensyarah dan rakan-rakannya menjadi dorongan untuk menempuh cabaran pengajian dan rawatan kesihatan.
Malah, dia turut menitipkan pesanan bagi mereka yang menghadapi penyakit kronik atau masalah kesihatan mental untuk tidak berputus asa dan terus berusaha mencapai kejayaan dalam hidup.

"Penyakit bukan titik noktah untuk berjaya. Peganglah sekecil-kecil harapan kerana masih ada orang yang menyokong dan mendoakan kita," katanya.
Belas pelajar Maktab Rendah Sains MARA Merbok itu bercita-cita menjadi pensyarah dan berkhidmat dalam bidang kerja sosial perubatan.
Kisah Nor Shamira Irwani itu turut disentuh Naib Canselor Prof Dato Dr Mohd Foad Sakdan dalam ucapan aluan sesi pertama pagi tadi dan mengajak semua tetamu untuk memberikan tepukan tanda sokongan kepada graduan berkenaan.
"Marilah memberi tepukan gemuruh sebagai sokongan dan kasih kita kepada Nor Shamira Irwani yang hadir bersama kita dalam dewan pagi ini," katanya.
Pada majlis konvokesyen yang bermula hari ini hingga Khamis, Anugerah Pelajaran Diraja dikurniakan kepada Mohammad Noor Aiman Hassan Nudin, 23, dari Tawau, Sabah dan S. Vianca Syam, 24, dari Kedah, manakala Anugerah Pingat Emas Canselor diterima Wong Yoong Wai, 24, dari Seremban, Negeri Sembilan.
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja menerima wang tunai RM7,500 berserta sijil, manakala penerima Anugerah Pingat Emas Canselor menerima RM4,000 berserta sijil.
Sumber: Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
