'Dia memang fighter!' - Engku Emran dedah Aleesya lawan denggi demi tamatkan IGCSE, kuat semangat!
KEKAL bersemangat walaupun sedang menghadapi ujian kesihatan yang serius. Itulah semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh Engku Aleesya, anak kepada pelakon dan pengacara Erra Fazira dan bekas suami, Engku Emran.
Engku Emran menerusi Instagram berkongsi Aleesya tetap meneruskan perjuangan menduduki kertas terakhir peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) meskipun disahkan menghidap demam denggi sehari sebelum peperiksaan berlangsung.

"Demam denggi menyerang! 26 hingga 30 Mei 2025. Kami dapat tahu Aleesya disahkan denggi sehari sebelum kertas peperiksaan terakhir IGCSE. Suhu badannya sangat tinggi sehingga doktor mencadangkan dia dimasukkan ke hospital serta-merta.
"Saya dan Aleesya sepakat, dia tidak boleh terlepas kertas terakhir itu. Kami hubungi ibunya dan dia juga bersetuju.
"Saya perlu tandatangan surat pelepasan tanggungjawab dan berjanji kepada doktor bahawa saya akan bawa dia terus ke hospital sebaik sahaja tamat peperiksaan," kongsinya.

Menerusi hantaran di Instagram, Engku Emran turut berkongsi beberapa foto Aleesya yang sedang bertarung dengan kesakitan namun kekal bersemangat. Paling penting, bapa tunggal itu sentiasa berada di sisi puteri kesayangan terutama pada saat-saat genting.
"Malam itu juga kami maklumkan guru homeroom agar bilik khas dapat disediakan, lengkap dengan pengawasan. Ada sofa untuk dia berehat seketika jika sakit kepala menjadi terlalu kuat.
"Saya tunggu dengan sabar di luar dewan peperiksaan, berdoa tanpa henti agar ALLAH ringankan kesakitan Aleesya dan permudahkan urusannya menjawab. Tetapi lebih penting, saya sentiasa bersedia kalau-kalau perlu bergegas ke hospital terdekat sekiranya keadaan mendesak.
"Alhamdulillah, dia keluar dari bilik peperiksaan dengan wajah ceria dan penuh keyakinan.
"Dalam perjalanan ke hospital, saya pesan supaya dia ingat hari itu, detik itu sebagai kekuatan apabila berdepan cabaran besar nanti," kongsinya.

Ternyata pengorbanan berkenaan berbuah manis apabila Aleesya meraih keputusan cemerlang gred A+ dalam subjek First English Language, Matematik, Fizik dan A bagi subjek Biologi, Sosiologi, Bahasa Malaysia dan Psikologi hingga dinobatkan sebagai pelajar cemerlang.
Aleesya, 16, dijadualkan akan melanjutkan pengajian ke peringkat A-Level tidak lama lagi.
Sekadar info, Erra dan Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007 dan kemudiannya membawa haluan masing-masing selepas bercerai pada Februari 2014.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
