Dr Fie buat laporan polis, dakwa ada barang kemas, wang tunai hilang
BEKAS isteri penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek membuat laporan polis terhadap bekas suaminya yang juga penyanyi itu atas dakwaan mengeluarkan barangan miliknya dari kediaman yang didiami bersama anak-anak mereka.
Dr Afifah yang lebih dikenali sebagai Dr Fie difahamkan berbuat demikian di Balai Polis Paroi, Seremban, semalam.
Memetik Berita Harian, peguam syarie yang mewakili Dr Fie, Datuk Akberdin Abdul Kadir mengesahkan hal itu dan menjelaskan laporan berkenaan membabitkan dakwaan kehilangan wang tunai dan barang kemas.
"Ada dakwaan kehilangan wang tunai dan barangan kemas. Polis akan merakam kenyataan terlebih dahulu sebelum menjalankan siasatan terperinci berkaitan butiran kehilangan tersebut," katanya kepada BH Online.
Menurut Akberdin, pertimbangan lanjut berkaitan hal itu tidak boleh dijelaskan sebelum siasatan polis tidak selesai.

"Buat masa ini, kita tidak boleh membuat apa-apa rumusan. Biarlah polis menjalankan siasatan sepenuhnya.
"Apa yang berlaku sudah diceritakan kepada pihak berkuasa, termasuk cara barangan diambil serta dakwaan ada barangan rosak akibat pengambilan yang tidak betul.
"Oleh itu, perkara ini dibawa kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut prosedur," katanya.
Dalam pada itu, Akberdin memaklumkan pihaknya juga akan mengambil tindakan sivil selepas anak guamnya selesai menyemak keadaan dan jumlah barangan terbabit.
"Selepas ini, saya akan mengambil tindakan sivil mengikut arahan anak guam selepas beliau membuat semakan terhadap barangan yang masih ada atau hilang," katanya.
Akberdin turut menjelaskan tuntutan harta sepencarian antara Dr Fie dan Nubhan sudah difailkan di mahkamah.
"Buat masa ini, kami tidak mahu mencetuskan sebarang ketegangan. Apa yang perlu, kita lakukan terlebih dahulu mengikut saluran betul.
"Kes tuntutan harta sepencarian sudah difailkan dan akan diputuskan melalui mahkamah," katanya.
Sekadar info, ketegangan antara Dr Fie, 35, dan Nubhan, 39, tercetus apabila doktor gigi itu mendakwa barangan di kediaman tempat tinggalnya dengan anak-anak dialih keluar tanpa pengetahuannya.
Imbas kembali, Dr Fie dan Nubhan sah berpisah 2 Disember lalu selepas 10 tahun berumah tangga.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.
Sumber: Harian Metro
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
