Dr Zulkifli kongsi rutin 10 tahun lawat penjara, sebak dengar permintaan banduan akhir. 'Doakan semoga ALLAH terima taubat saya...'

No Image Caption
A
A
A

SETIAP insan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, namun keikhlasan untuk berubah menjadi ukuran utama dalam pengakhiran hidup seseorang.

Begitulah yang dapat digambarkan dalam lawatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ke Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang baru-baru ini.

Bagi Dr Zulkfili, kunjungan itu bukan lagi sebagai rutin, tetapi satu amanah yang dipegangnya sejak sedekad lalu.

Ulama kelahiran Terangganu itu berkata, tahun ini genap 10 tahun beliau menjejakkan kaki ke penjara, bermula ketika menjawat jawatan Mufti hingga kini meskipun tidak lagi memegang kedudukan rasmi dalam kerajaan.

"Tahun ini genap 10 tahun saya menjejakkan kaki ke sini—sejak menjawat jawatan Mufti, kemudian sebagai Menteri, dan kini meneruskan tradisi ini sebagai hamba ALLAH yang kerdil," tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi ciapan di aplikasi X, Dr Zulkifli tidak menafikan setiap kunjungannya pasti mengundang sebak apabila melihat wajah yang sering bersilih ganti dan tidak kurang juga yang pernah ditemui sebelum ini, namun kini telah menemui noktah di tali gantung.

"Setiap kali hadir, hati ini sebak. Ada wajah-wajah baharu yang penuh pengharapan, dan ada yang sudah tiada kerana mendapat pengampunan, atau berakhir hayatnya di tali gantung," katanya.

Namun, momen paling menyentuh hati apabila seorang banduan akhir dengan penuh rasa rendah diri menzahirkan rasa terima kasih atas kunjungan itu sambil meminta doa agar taubatnya diterima oleh ALLAH.

“Datuk Seri, saya tak tahu nak cakap macam mana. Tapi terima kasih sebab ziarah kami. Doakan semoga ALLAH terima taubat saya," titip banduan tersebut.

Ungkapan itu bukan sahaja meruntun jiwa suami kepada Datin Seri Dr Shereen Mohd Yunos, malah sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Sebagai tanda sokongan, bapa kepada lima cahaya mata itu menggenggam erat tangan banduan berkenaan sambil berpesan bahawa pintu keampunan ALLAH sentiasa terbuka buat mereka yang benar-benar ingin kembali ke pangkal jalan.

“Selagi hayat masih ada, kita teruskan doa. Kita teruskan harapan. Banyak waktu mustajab doa dalam bulan ni.” ujar Dr Zulkifli selepas melihat matanya mula berkaca.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang