Hati ibu hancur anak Tahun Tiga didakwa dimalukan, dibuli guru. Menteri arah siasatan. 'Peristiwa seminit, jiwa seorang murid terbvnvh'

No Image Caption
A
A
A

BARU-baru ini pempengaruh Nur Mustika mendakwa anaknya dikenali sebagai Lisa dimarahi dan dimalukan beberapa orang guru di sekolah di hadapan pelajar lain.

Adik kepada Muhammad Sajjad Kamaruz zaman itu mendakwa menerusi video berdurasi dua minit 31 saat berkenaan, kedengaran individu dipercayai guru mengherdik kanak-kanak berkenaan sambil menuding jari hingga menyebabkan murid murid Tahun Tiga itu itu menangis teresak-esak.

Rakaman yang menerima lebih 16,000 reaksi warga maya itu menimbulkan kemarahan susulan kerana tindakan beretika dalam menangani isu melibatkan pelajar.

Dakwa Mustika, kejadian pada 4 Mac itu menyebabkan anaknya pulang ke rumah dalam keadaan sangat sedih dan menangis teresak-esak.

Kata anaknya, dia telah dikelilingi oleh empat orang guru dan dimarahi di hadapan murid lain ketika berada di kantin sekolah.

Menerusi rakaman berkenaan, seorang guru menyuruh Lisa memberitahu ibunya (Mustika) jika tidak mahu hadir ke sekolah, bukannya menuding jari kepada guru-guru lain.

No Image Caption

Dalam hantaran yang sama, Mustika menzahirkan rasa kecewa apabila usahanya untuk berbincang dengan para guru terbabit langsung tidak mendapat respons.

Hati ibu itu bertambah gusar apabila seorang guru menghantar video yang menunjukkan bagaimana mereka memarahi pelajar itu secara berkumpulan yang memberi kesan mendalam terhadap emosi anaknya yang masih kecil.

Kejadian berkenaan membuatkan Lisa trauma dan hilang keyakinan serta minat untuk ke sekolah semula.

Malah, Lisa yang pernah meraih Anugerah Lonjakan Saujana mengalami trauma yang mendalam, hilang minat terhadap subjek Bahasa Melayu yang dahulunya digemarinya, dan tidak hadir ke sekolah selama sebulan. Ibunya terpaksa mengambil keputusan untuk menukar sekolah demi menjaga emosi dan keselamatan anaknya.

Difahamkan, sehingga ke hari ini, Mustika belum menerima sebarang penjelasan daripada pihak sekolah mahupun guru-guru yang terlibat.

Insiden tular berkenaan turut mendapat reaksi negatif dalam kalangan netizen terutamanya ibu bapa yang berpendapat bahawa murid tidak sepatutnya dimarahi secara terbuka oleh guru.

Tindakan menengking, mengepung, merakam video tanpa izin, dan menghantar rakaman itu kepada ibu murid dianggap sangat tidak profesional dan menjatuhkan maruah kanak-kanak tersebut.

Ingat integriti & etika penjawat awam - Menteri Pendidikan

Susulan kejadian tidak beretika itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, amat kesal selepas video rakaman tular.

Ujarnya, KPM akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam memberikan tumpuan mengenai kes itu.

“Guru sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa mengenai integriti dan etika sebagai penjawat awam walau apa juga isu yang terjadi.

“Saya juga yakin dan percaya ada ruang lebih selamat dan bersifat privasi untuk memastikan apa saja perbincangan dan isu dapat diselesaikan secara baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fadhlina juga menjelaskan pihaknya telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan meneliti isu tersebut kerana melibatkan integriti serta etika guru.

“KPM juga sebenarnya sudah berkali-kali mengingatkan kepada guru yang juga penjawat awam mengenai garis panduan sedia ada dan mematuhi etika serta integriti di dalam kelas, luar kelas dan media sosial sekali pun,” katanya.

'Peristiwa seminit, jiwa seorang murid terbunuh' - Cikgu Fadli

Sementara itu, bekas guru dan influencer, Cikgu Fadli pula menyifatkan perbuatan berkenaan bukan hanya tidak profesional, malah membunuh minat murid.

"Pertama sekali, sangat tidak professional memanggil murid ditempat terbuka dan marah serta tengking.

"Kedua, bergabung dengan cikgu lain untuk marah anak ini. Orang dewasa beramai-ramai menekan emosi anak kecil usia sembilan tahun.

"Ketiga, merakam video murid tanpa kebenaran. Apa lagi video negatif, memalukan, dimarahi, sedang menangis. Kemudian hantar pula kepada ibunya.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

"Tiga perkara yang sangat tidak professional berlaku semasa kejadian. Yang mana tak sepatutnya berlaku," kongsinya.

Menyifatkan ia sebagai satu bentuk serangan, Cikgu Fadli berkata pendekatan sebenar ialah dengan memanggil kanak-kanak itu secara berseorangan dan menjelaskan apa yang salah.

"Impak besar dapat dilihat bila emosi anak ini tercalar teruk. Dia berkata,"Tak apalah cikgu marah. Tapi tangan tu."

"Cara cikgu tuding tangan itu menghiris emosi anak ini. Biadap dan sangat kurang ajar baginya. Dia sangat terkesan bila jari ditunding bertalu-talu atas muka dia.

"Paling membuatkan saya sedih apabila anak itu cakap, "Lisa tak suka BM. Sebelum ni suka".

Gambar hiasan
Gambar hiasan

"Part ini membunuh minat murid. Yang membunuh minat itu pula datang dari guru sendiri. Ini sangat menyedihkan. Sepatutnya para guru bersungguh-sungguh menarik minat murid dalam subjek yang mereka ajar," kongsinya.

Cikgu Fadli berharap sekolah menjadi kawasan selamat dan menyeronok kepada murid-murid

Semoga kes ini dapat diselesaikan dengan baik. Ibu bapa dan guru tidak sepatutnya bermasam muka.

Guru ibarat ibu bapa kedua kepada anak-anak dan diharapkan sebarang permasalah dapat diselesaikan dengan matang, beretika dan profesional.

Sumber: Instagram, Facebook

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang