'Henti gurauan guna sticker ini.’ Gambar lelaki menangis rupanya ayah hilang 5 anak serentak akibat tsunami tahun 2004

PENGGUNAANsticker menerusi komunikasi di WhatsApp menjadi kebiasaan. Mungkin ramai akan bersetuju dengan sticker maksud mesej yang dihantar lebih 'sampai' kepada penerima.
Namun tidak semua wajar dijadikan bahan jenaka! Makin tandus nilai adab dan empati masyarakat kita hari ini apabila gambar seorang lelaki yang sedang menangis pilu akibat kehilangan lima orang anak dalam tragedi tsunami 2004 telah disunting dan disalah guna individu yang tidak bertanggungjawab.
Lebih menyedihkan, gambar itu turut dijadikan bahan gurauan di media sosial.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook, Syed Mohamad Nazli Syed Ahmad Jamalullail menjelaskan mangsa dalam foto tersebut ialah rakannya, Zulkifli Mohd Noor dari Pondok Upeh dekat Balik Pulau, Pulau Pinang.
Kongsinya, pada waktu kejadian, gambar Zulkifli itu dirakam dalam keadaan sugul ketika berkongsi detik hitam yang meragut nyawa keluarganya kepada wartawan.
"Gambar itu dirakam sewaktu saudara Zul berkongsi kisah pilu kehilangan anak-anaknya dalam tragedi tsunami. Ia bukan gambar biasa untuk dijadikan bahan gurauan.
"Lima anak Zulkifli yang terkorban dalam tragedi tersebut ialah Siti Nurain, 17, Mohd. Shukri, 12, Siti Nur Shuhada, 10, Siti Nur Atikah, 9, dan Siti Suraya, 5.
"Hanya dua anaknya terselamat iaitu Siti Fairuz, 16, dan Siti Zulaikha, yang ketika itu baru berusia satu tahun," katanya.

Justeru, Syed Mohamad nazli menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan gambar individu yang tidak dikenali begitu sahaja tanpa mengetahui kisah sebenar di sebaliknya.
"Ya, mungkin yang melakukannya tidak tahu siapa dan kenapa saudara Zul bersedih sebegitu, justeru saya nasihatkan kita seeloknya tidak begitu mudah menggunakan gambar orang orang yang tidak kita kenali untuk apa tujuan sekalipun," katanya.
Hantaran berkenaan tular dan menjadi peringatan kepada semua agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan gambar orang lain tanpa usul periksa untuk dijadikan sticker media sosial.
Ia juga dipersetujui warga maya dan berharap perkara itu disebarkan untuk menjelaskan perkara sebenar.
"Tiada sensitiviti langsung. Terlampau banyak bergurau, selesa dan banyak masa sampai macam tiada akal untuk berfikir mana perlu dan tak perlu buat."
"Ambik gambar orang dan share sesuka hati dan tanpa izin adalah perbuatan tidak beretika."
"Gambar saya dan anak pernah dijadikan sticker oleh rakan sekerja. Membawa gangguan emosi sehingga saya tak boleh tidur malam. Saya buat report polis, buat laporan rasmi kepada pihak majikan."
"Orang sekarang makin hilang adab dan common sense."
"Sebarkan awareness ini."
Kejadian yang penuh trauma dan menyedihkan tidak seharusnya dijadikan bahan hiburan di alam maya. Semoga kisah ini menjadi pengajaran.
Sumber: Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang