Hilang 2 minggu kereta ditemui total lost & terbakar, anak percaya bapa masih hidup kerana ada transaksi bank
DUA minggu dilaporkan hilang, seorang bapa Sabari Baharom, 62, dipercayai masih hidup biarpun Proton Waja miliknya ditemui dalam keadaan total lost dan terbakar.
Memetik laporan Sinar Harian, anaknya, Muhammad Amir Hakimi, 25, berkata, beliau percaya lelaki warga emas yang hilang sejak 3 September itu masih hidup dan dilarikan orang tidak dikenali.
PEMINDAHAN WANG OLEH WANITA
Muhammad Amir Hakimi berkata, pihaknya mengenalpasti terdapat pemindahan wang dari akaun bapa ke akaun bank seseorang tidak dikenali dengan jumlah agak besar.
Jelasnya, pemindahan wang itu berlaku pada 4 dan 5 September. Hasil penelitian kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak polis mendapati transaksi itu dilakukan oleh seorang wanita tempatan.
KERETA TOTAL LOST
Pada Jumaat, kereta Proton Waja milik mangsa, Sabari Baharom ditemui dalam keadaan ‘total lost’ hangus terbakar di tempat pembuangan sampah di Pulau Belantik, Sik, Kedah.
"Peliknya ayah tak ada dalam kereta itu. Jadi saya yakin ayah dilarikan seseorang," katanya.
Terdahulu, perkembangan mengenai penemuan kereta itu dimuat naik salah seorang anak Sabari menerusi akaun Instagram @syilla_syilla.
"Kami sekeluarga tidak ada sebarang masalah dengan ayah, jadi saya tidak rasa ayah bawa diri atau merajuk, kes ayah sekarang sudah dikategorikan sebagai kes jenayah," ujarnya.
TINGGAL SEORANG DIRI
Imbas kembali momen kehilangan bapa, menurut anak bongsu, Sabari yang merupakan pesara Pegawai Kanan Kewangan dipercayai keluar berjumpa rakan menaiki kereta Proton Waja berwarna emas bernombor pendaftaran KBP 5778.
Beliau dan rakan pergi berurut sebelum singgah makan di sebuah kedai dan pulang ke rumah bertempat di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling.
Namun, keluarga gagal menghubungi Sabari keesokan harinya dan kali terakhir keluarga berhubung pada siang hari kejadian sahaja.
Sabari tinggal seorang diri selepas pencen sejak dua tahun lalu dan tidak mempunyai sebarang penyakit.
Muhammad Amir merayu kepada individu berkenaan agar pulangkan ayahnya.
"Tinggallah ayah saya di masjid atau tepi jalan sekali pun, saya akan pergi ambil ayah.
"Saya tak nak kes kehilangan ini berakhir seperti kes-kes sebelum ini yang bertahun-tahun tidak dapat dijumpai.
"Oleh itu, kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang ayahnya, diminta menghubungi keluarga di talian 019-523 0287 (Amir) atau 0111-0408552 (Muhaimin)," katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang