Ibu kecewa keputusan peperiksaan anak, tukar fikiran lepas tahu perangai sebenar. 'Cemerlang tidak patut dinilai daripada akademik sahaja'
SETIAP kali tibanya hari ibu bapa datang ke sekolah untuk tanda tangan buku laporan prestasi akademik, pasti anak-anak akan rasa berdebar menanti reaksi mak ayah dan sedia terima apa komen gurunya itu.
Sebenarnya, bukan hanya anak-anak, kebanyakan ibu bapa juga merasai debaran yang sama. Jika anak dapat keputusan cemerlang, lega hati orang tuanya. Namun jika keputusan sebaliknya, pelbagai persoalan bermain di minda.
Misalnya, seperti perkongsian seorang ibu ini yang meluahkan rasa terkilan selepas melihat keputusan peperiksaan sekolah agama anak lelakinya, Umar Hakim.
Malah, si ibu juga sempat membandingkan keputusan tersebut dengan pencapaian akademik dirinya sewaktu zaman sekolah dahulu.
“Sebelah pagi pergi tanda tangan kad laporan. Agak kecewa dengan keputusan anak, lagi-lagi dapat tahu dia kelas kedua. Saya ingatkan sama macam sekolah kebangsaan, tak ikut ranking. Juga sebab masa saya darjah satu hingga tiga, saya boleh kuasai hampir semua peperiksaan.
“Jadi bila dia tak mampu nak capai macam mana saya buat, perkara itu memberikan saya sedikit rasa hampa,” kongsinya di aplikasi Tiktok miliknya.
Dalam perkongsian yang sama, pengguna yang bernama Sha itu turut berkongsi satu tangkap layar mesej yang diterima daripada ibu kepada kawan anaknya itu, bernama Syed Umar.
Menurut mesej itu, ibu kepada rakan anaknya itu ingin memberikan sedikit penghargaan kepada Umar Hakim kerana kebaikan yang dilakukannya di sekolah.
“Anak puan nama Umar Hakim kan? Nanti boleh minta Umar ambil hadiah daripada Syed Umar? Hadiah sebab Umar Hakim dengan Afiq Irsyad je yang sudi pinjamkan pensel untuk Syed Umar hari itu.
“Hari itu, dia tertinggal kotak pensil. Nak buat kerja sekolah tak dapat. Jadi, dia minta pinjam dekat kawan-kawan. Kawan lain semua tak bagi pinjam dan mengadu dekat ustazah.
“Sampai ustazah mesej saya. Saya tak salahkan ustazah sebab memang salah anak saya. Cuma, sebagai penghargaan kecil untuk Umar Hakim sebab sudi jadi kawan luar biasa,” kandungan mesej tersebut.
Mesej yang diterima itu sedikit sebanyak telah menukar persepsi kecewa kepada rasa bangga melihat kebaikan anak lelakinya itu membantu rakannya dalam kesusahan.
Anaknya itu telah menunjukkan sahsiah yang baik sehingga Sha akhirnya berasa bersalah kerana sebelum ini mengukur kejayaan anak berdasarkan akademik semata-mata.
“Mungkin saya tidak sepatutnya kecewa bila anak tak dapat score dalam peperiksaan. Cemerlang seseorang anak tak patut dinilai daripada akademik sahaja tapi daripada segi sahsiahnya juga,” tambah Sha.
Dalam pada itu, Sha turut berkongsi kisah anaknya yang sanggup berkongsi makanan dengan rakannya di sekolah walaupun dia jenis makan banyak.
"Peringatan untuk tidak meletakkan kejayaan anak berdasarkan akademik semata-mata," nasihatnya di ruangan kapsyen.
Zaman sekarang ni dapat anak-anak yang miliki sifat terpuji tu sukar. Namun, sahsiah bagus, akademik terbaik itu bonus!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang