'Ilham anugerah mahal ALLAH'— Sri Diah pertahan karya arwah Cikgu E, Anugerah Buku Negara ditarik balik

No Image Caption
A
A
A

PENULIS terkenal, Sri Diah Shahruddin berkongsi di Facebook surat notis penarikan balik Anugerah Buku Negara oleh Yayasan Buku Negara susulan dakwaan berlaku unsur plagiat terhadap karya yang dipertandingkan.

Surat rasmi yang dikeluarkan sekretariat pertandingan itu memaklumkan, keputusan muktamadnya selaku penganjur untuk membatalkan kemenangan penerbit Casamas Resources Sdn Bhd selepas karya itu menjadi pertikaian umum dan mendapat bantahan keluarga Allahyarham Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E.

Memetik Sinar Harian, keputusan itu memberi kelegaan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga Allahyarham yang sejak awal memperjuangkan hak penulis sebenar karya tersebut.

Penulis Kuala Lumpur Di Mana Suamiku dan Dendam Masrini itu berkata, perjuangan berkenaan bukan semata-mata mempertahankan sebuah naskhah, tetapi usaha membela integriti seorang penulis yang sudah kembali ke rahmatullah.

Tegasnya, isu plagiat bukan perkara kecil kerana ia merampas hasil usaha, masa dan ilham yang dicurahkan oleh penulis asal.

“Kes ini tamat di sini. Semoga perkara begini tidak berulang lagi untuk tahun-tahun mendatang,” tulisnya.

Menurutnya, ‘ilham’ adalah anugerah mahal daripada ALLAH dan setiap karya memerlukan olahan idea, penelitian serta disiplin tinggi sebelum dapat diterjemahkan menjadi bahan bacaan.

“Atas sebab itulah orang marah apabila karya mereka diciplak... payahnya mahu menulis tentang kisah kehidupan yang baik. Bukan mudah menghasilkan karya,” jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sri Diah memberitahu, walaupun Allahyarham Cikgu E sudah tiada, namun rakan-rakan seangkatan tetap meneruskan perjuangan menuntut keadilan bagi pihaknya.

Katanya lagi, pengiktirafan yang ditarik balik itu membuktikan bahawa ketekunan menuntut hak bukan sesuatu yang sia-sia.

Beliau turut menyifatkan keputusan penganjur itu sebagai kemenangan moral buat komuniti penulis yang sentiasa menentang budaya ciplak.

“Alhamdulillah, kejayaan besar buat sahabat kami. Ia mengembalikan maruah karya itu ke tempat yang sewajarnya,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang