Isu pelajar jatuh bangunan sekolah di Papar, KPM beri kerjasama penuh. 'Polis sedang siasat, hormati privasi keluarga'
ISUpelajar perempuan Tingkatan Satu terjatuh di Sabah tular di laman sosial menyentuh hati ramai.
Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang merupakan pelajar sebuah sekolah agama di Papar meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah tersebut, dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada Rabu lalu.
Lebih menyedihkan, pelajar pintar itu disahkan meninggal dunia pada malam Khamis ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
Menteri Pendidikan dalam kenyataan di Facebook menyatakan pendirian kementeriannya untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung insiden kematian seorang pelajar tersebut.
“Pada waktu ini, kejadian sedang berada dalam siasatan pihak polis. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) KPM memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Oleh itu, saya menyeru masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang mungkin boleh mengganggu siasatan.
“Hormati privasi keluarga dan beri ruang sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dijalankan. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Beliau terdahulu telah menziarahi keluarga mangsa di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan mereka terpelihara.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian anakanda Zara Qairina. Semoga diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berat ini.
“Saya dan Pengurusan Tertinggi Kementerian telah menziarahi keluarga di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan mereka terpelihara.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga, termasuk dalam aspek sokongan psikososial,” katanya.
SinarPlus terdahulu melaporkan kisah Zara Qairina yang disifatkan sebagai cemerlang dan aktif dalam aktiviti di sekolah rendahnya sebelum ini.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

