'Kaki adik dekat syurga'. Umar dilahirkan tanpa tulang punggung dan telinga abnormal. Bergantung beg stoma dan lampin pakai buang seumur hidup

No Image Caption
A
A
A

TIADA seorang pun wanita bergelar ibu di dunia ini yang mengimpikan zuriat yang dikandung lebih sembilan bulan itu diuji dengan kurang upaya atau menghidap penyakit kronik.

Pun demikian, siapalah kita sebagai manusia biasa untuk menyalahkan takdir yang sudah tersurat pada saat roh si kecil ditiupkan di alam rahim lagi.

Begitulah pendirian yang dipegang utuh oleh Siti Azrina Mansor tatkala dimaklumkan kondisi putera bongsunya yang menghidap penyakit sindrom tiada tulang punggung atau bahasa saintifiknya, Sacral Agenesis.

No Image Caption

Lebih memilukan hati wanita berusia 42 tahun itu apabila Muhammad Umar Rizqi atau manja dipanggil Umar atau adik itu juga berdepan masalah cuping telinga abnormal atau microtia ear.

Kepada SinarPlus, Siti Azrina memberitahu, ujian ultrabunyi ketika rutin pemeriksaan pada usia kandungan tujuh bulan mendedahkan segala-galanya.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

“Doktor ada maklum risiko penyakit Sacral Agenesis boleh mempengaruhi tulang belakang Umar yang mana ia tidak lurus dan terbentuk dengan normal.

“Lagi satu, Umar akan berdepan masalah pada saraf pembuangan najis yang boleh menyebabkannya bergantung kepada beg stoma dan lampin pakai buang seumur hidup,” ceritanya yang menetap di rumah sewa di Sijangkang, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor.

No Image Caption

Malah, lebih menyedihkan, sindrom tersebut juga memberi kesan kepada pembentukan kedua-dua kaki Umar apabila tulang tidak sempurna, dengan saiz lebih kecil berbanding anak normal.

BORAK SELEBRITI - AINA ABDUL

Yang membuatkan sanubari wanita itu bertambah luluh, cuping telinga pada bahagian kanan anaknya juga abnormal dan berisiko berdepan masalah pendengaran.

No Image Caption

“Bila dengar penjelasan doktor, memang saya terkejut sangat. Keluar saja dari bilik konsultan, terus menangis memikirkan nasib anak tetapi saya perlahan-lahan pujuk hati.

“Saya lebih banyak berdoa dan mengharapkan semuanya baik-baik saja. Suami pun beri kekuatan. Lepas Umar dilahirkan, saya sendiri tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan itu.

No Image Caption

“Memang sedih tapi pada masa sama, saya nampak kekuatan dalam diri Umar masa menatap wajahnya buat pertama kali. Daripada situlah saya terus reda dan terima segala-galanya,” katanya.

Rawatan

Seawal usia seminggu, Umar yang dilahirkan di Hospital Klang, kemudian dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan lubang punggung.

Meski pembedahan tersebut berjalan lancar, namun anak bongsu daripada enam beradik itu berdepan jaundis neonatal dengan bacaan mencecah 400 mikromol perliter.

No Image Caption

Disebabkan luka pembedahan masih baharu dan demi mengelakkan jangkitan penyakit, doktor pakar kemudian membuat laluan di perut untuk memudahkan Umar membuang najis.

Walaupun pembedahan kedua berjaya tetapi malangnya dalam tempoh tidak sampai dua minggu selepas pembedahan, berlaku sedikit masalah apabila usus terbelit dan bocor.

No Image Caption

“Akhirnya pembedahan kali ketiga terpaksa dilakukan dan alhamdulillah, keadaan Umar semuanya kembali okey. Umar juga pernah menjalani pembedahan pada kakinya.

“Namun, rawatan simen kaki hanya seketika saja sebab kami mengambil keputusan untuk menghentikan prosedur itu,” katanya yang berulang-alik ke Hospital Klang untuk rawatan susulan.

Kini usia Umar sudah pun menjangkau lima tahun dan meskipun tidak mampu berjalan seperti kanak-kanak lain, namun si kecil itu tetap ceria bersekolah di tadika berhampiran rumahnya.

No Image Caption

Ujar Siti Azrina, anak kesayangannya itu pernah bertanyakan tentang kakinya yang tidak sama seperti abang dan kakaknya? Kenapa dia tidak boleh berjalan?

“Setiap kali dia cakap begitu, saya selalu nasihat adik ada kaki cuma kaki adik istimewa. Jangan sedih, ALLAH jadikan adik istimewa sebab apa? Sebab adik kuat dan hebat.

“Nanti dekat syurga, adik ada kaki yang sempurna. Adik nak masuk syurga? Kalau nak, adik kena reda. Alhamdulillah, Umar dah boleh faham,” ungkapnya.

No Image Caption

Bersembang dengan wanita kelahiran Jeram, Kuala Selangor itu membuatkan penulis tersenyum. Mana tidaknya, setiap perkembangan Umar yang jenis pandai berdikari dikongsikan di media sosial.

“Walaupun telinga Umar abnormal tapi alhamdulillah dia boleh mendengar seperti biasa. Hanya mampu merangkak saja tetapi dia berusaha nak buat sesuatu dengan kudrat sendiri termasuklah mandi, bersiap dan sikat rambut sendiri.

No Image Caption

“Untuk ibu yang senasib di luar sana, saya nasihatkan supaya kuatkan semangat dan jangan bersedih. ALLAH pilih kita pikul tanggungjawab besar ini sebab tahu kita mampu menghadapinya.

“Fokus pada amanah untuk mendidik anak-anak dengan baik. Jangan sesekali mengabaikan mereka. Terima keadaan anak seikhlas hati dan insya-ALLAH saham pahala di akhirat nanti,” pesannya.

Kepada orang ramai yang ingin berkongsi rezeki untuk Umar sekeluarga, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 162450193462 atas nama Siti Azrina Mansor.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang