Kerap demam dan gusi berdarah petanda kanser, pemuda ini hilang punca pendapatan & mohon ihsan orang ramai

No Image Caption
A
A
A

HASRAT murni Muhammad Shakir Zufayri Md Rafiqul yang mahu menyenangkan hidup kedua-dua ibu bapanya hingga akhir hayat tidak kesampaian apabila ditimpa musibah penyakit yang tak disangka-sangka.

Pemuda berusia 22 tahun itu disahkan menghidap kanser leukemia limfoblastik akut (ALL) pada Februari tahun lalu, sekali gus mengubah 360 darjah hidupnya.

Kepada SinarPlus, Muhammad Shakir Zufayri atau mesra disapa Shakir itu memberitahu, dunianya sudah tidak seperti dahulu apabila terlantar sakit dan memerlukan bantuan untuk bergerak.

“Sekarang ini, nak bangun sendiri pun tak larat dan perlukan bantuan orang lain. Lagi-lagi bila saya dijangkiti kuman dalam perut membuatkan kerap sesak nafas.

“Saya baru saja discaj dari hospital disebabkan masalah itu. Kini, saya perlukan rehat sebelum rawatan susulan setiap dua minggu,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Ampang, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Saat ditanya bagaimana penyakit tersebut dikesan? Anak sulung daripada tiga beradik itu sebenarnya tidak menduga demam yang datang dan pergi, selain gusi kerap berdarah rupa-rupanya satu petanda buruk.

“Disebabkan sakit berpanjangan, saya dapat cuti sakit selama seminggu. Memang hati tak sedap dan rasa pelik, jadi saya ambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur.

“Sepanjang saya hidup, tak pernah sakit macam itu sekali sehingga satu hari saya tak boleh bangun langsung. Rasa pening sangat-sangat dan tak boleh bernafas,” katanya yang kemudian terus dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur.

No Image Caption

Shakir ditempatkan di zon kritikal sebelum dibawa ke unit rawatan rapi selepas ujian darah menunjukkan sel darah putih terlalu tinggi dan memerlukan bantuan pernafasan.

Hasil ujian biopsi sumsum tulang yang dilakukan doktor pakar cukup memeranjatkan apabila lelaki itu disahkan menghidap kanser darah sebelum dipindahkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

“Sebelum disahkan sakit, saya bekerja sebagai juruteknik di sebuah hospital di Singapura dan memang berulang-alik dari Johor ke sana untuk mencari rezeki.

“Memang niat saya sebagai anak sulung, nak bantu keluarga sebab adik-adik masih belajar, namun tak sangka jadi begini,” kata Shakir yang kini menetap di rumah sewa bersama keluarga di Setapak, Kuala Lumpur.

Bantuan

Bersembang dengan pemuda cekal itu merungkaikan satu lagi kisah sedih apabila ayahnya, Md Rafiqul Abu Talib, 50, tidak mampu bekerja selepas diserang strok separuh badan.

No Image Caption

Ibunya, Marliana Mohd Kassim, 47, pula menghidap sakit buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu.

“Sebenarnya, saya sudah pun menjalani rawatan kemoterapi untuk enam kali kitaran, namun malangnya sel kanser pasif dan sudah tak bertindak balas dengan ubat.

“Cuma sekarang ini, saya perlu pantau sel darah putih setiap dua minggu sekali dan makan ubat bagi menstabilkan sel tersebut sepanjang hayat,” katanya kepada penulis.

No Image Caption

Hilang punca pendapatan membuatkan anak jati Kuala Lumpur itu buntu memikirkan kos rawatan yang perlu ditanggung, sementelah duit simpanan semakin susut.

“Buat masa ini, saya bergantung kepada ihsan orang ramai, termasuk saudara-mara yang sudi menghulurkan dana untuk kelangsungan hidup kami sekeluarga.

“Pada masa sama, adik yang bongsu terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai pembantu kedai makan, manakala seorang lagi adik sanggup buat Grab ketika cuti semester untuk tanggung kos termasuk sewa rumah RM1,400 sebulan,” ceritanya dengan nada sebak.

No Image Caption

Meski menerima bantuan Baitulmal untuk meringankan beban rawatan ibunya, namun Shakir akui, ia masih belum cukup untuk menampung keperluan perubatan lain yang masih ditanggung.

“Justeru, saya mohon kepada keprihatinan orang ramai supaya dapat bantu keluarga kami, sementara ada ruang dan peluang bantuan lain yang boleh dimohon.

“Hanya ALLAH sahaja yang dapat membalas jasa semua,” katanya menutup perbualan.

Orang ramai yang prihatin, sumbangan dana boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 014132428284 atas nama Muhammad Shakir Zufayri Bin Md Rafiqul.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang