Kanak-kanak perempuan kerap demam, rupanya ada ketumbuhan dalam perut. 'Dunia terasa gelap, isteri menangis...'

No Image Caption
A
A
A

TIADA penderitaan yang lebih menyakitkan buat seorang ibu dan bapa selain melihat anak sendiri bertarung dengan penyakit yang tidak terduga.

Namun, itulah dugaan yang menimpa pasangan Azroyhatta Md Jais dan isterinya, Shakila Silah apabila satu-satunya puteri mereka, Nur Sumayyah Azroyhatta, disahkan menghidap kanser saraf.

Semuanya bermula pada penghujung Oktober tahun lalu. Dari seorang kanak-kanak yang ceria, Sumayyah tiba-tiba kerap demam berulang selama seminggu, diiringi dengan sakit perut yang berterusan.

Bimbang keadaan bertambah serius, Azroyhatta dan Shakila segera membawa anak mereka ke sebuah klinik di Malim sebelum dirujuk ke Hospital Putra apabila suhu badannya semakin meningkat.

"Pada awalnya doktor hanya memeriksa demam dan tekanan darah. Namun, selepas menjalani ultrasound, mereka menemui ketulan besar di perut, berhampiran buah pinggang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Langit yang disangka cerah bertukar mendung apabila keputusan ujian mengesahkan 90 peratus ketumbuhan tersebut adalah kanser.

"Doktor mencadangkan CT scan untuk memastikan sama ada ketumbuhan itu bersifat biasa atau sebaliknya.

"Saat itu, dunia terasa gelap. Isteri menangis dan hari yang sama mereka mengambil sampel sumsum tulang untuk menentukan tahap kanser," luahnya dengan nada sebak.

Sejak disahkan menghidap kanser saraf, Sumayyah yang baru berusia tujuh tahun perlu menjalani lapan sesi kemoterapi bagi mengawal pertumbuhan sel barah.

Pada 19 Februari lalu, si kecil ini selamat menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan tersebut. Namun, perjuangannya masih belum selesai.

Menurut bapa berusia 35 tahun itu, selepas semua prosedur selesai, Sumayyah perlu menjalani rawatan susulan dengan pengambilan 15 botol ubat Qarziba yang berjumlah RM344,844 secara keseluruhan.

Katanya, ubat tersebut sangat penting untuk mencegah sel kanser daripada muncul semula dan dijangka mula diambil pada September nanti.

Disinilah Azroyhatta diuji sekali lagi dengan kekangan kewangan. Apatah lagi dengan pekerjaan sebagai juruteknik kilang, beliau hanya mampu meraih RM1,700 sebulan. Tambahan isteri hanya suri rumah sepenuh masa.

Ramadan ini, tiada apa yang lebih diharapkan oleh seorang bapa selain peluang untuk melihat anak kecilnya kembali sihat, kembali berlari dan ketawa seperti kanak-kanak lain.

Sumber: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang