Kisah Aliah & ayah gendong isteri lumpuh – MARA tampil, bukan sekadar bantu, tapi ajar pancing rezeki

No Image Caption
A
A
A

DI sebalik hiruk-pikuk pasar malam di Pantai Dalam, ada satu kisah yang berjaya menyentuh hati ramai.

Seorang lelaki tua dilihat menggendong isterinya yang lumpuh, menuruni empat tingkat tangga rumah flat mereka di Meru, Kapar semata-mata terus berniaga air balang demi menyara keluarga.

Dialah saudara Ah Yauddin, seorang suami yang bukan sahaja diuji dengan kesihatan isterinya, tetapi turut berdepan masalah buah pinggang tahap empat. Namun, kekuatannya tidak berakhir di situ.

Setiap minggu, dia tetap gagahkan diri demi memastikan dapur rumah terus berasap.

Kisah keluarga ini menjadi tular, menyedarkan ramai akan realiti hidup segelintir masyarakat kita yang jarang kelihatan di permukaan.

No Image Caption

Tersentuh dengan semangat luar biasa keluarga itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki segera turun padang. Beliau bukan datang dengan tangan kosong, sebaliknya membawa harapan baharu.

Namun, jangan salah anggap, bukan berbentuk wang, tetapi melalui pendidikan dan kemahiran yang boleh mengubah nasib keluarga ini secara menyeluruh.

“Saya percaya hanya ilmu dan kemahiran sahaja boleh merubah kehidupan. Sebab itu MARA tak hanya beri ikan, tapi beri kail dan ajar guna kail untuk pancing rezeki,” katanya selepas menziarahi keluarga tersebut.

Tumpuan utama diberikan kepada anak sulung mereka, Siti Nur Aliah, 21 tahun, yang selama ini memendam impian untuk belajar.

Namun hasrat itu terpaksa diketepikan kerana terikat dengan tanggungjawab menjaga ibunya dan membantu ayahnya berniaga. Di sebalik tutur katanya yang lembut, jelas terlihat semangat tinggi untuk mengubah nasib keluarga.

No Image Caption

Melihat potensi besar dalam diri Aliah, MARA menawarkan peluang menyambung pengajian dalam bidang Konfeksioneri dan Bakeri di GiatMARA Meru, yang terletak berdekatan kediaman mereka.

Tawaran itu bukan sekadar kursus, sebaliknya MARA juga menyediakan geran berbentuk mesin dan peralatan bakeri bernilai RM6,000 untuk Aliah mulakan perniagaan sendiri dari rumah.

“Kita tak mahu mereka terus mengharap bantuan orang. Kita nak ajar mereka berdikari dan yakin dengan potensi diri,” ujar Dr Asyraf lagi.

Bagi mempersiapkan Aliah sebagai usahawan moden, MARA juga akan menyalurkan latihan tambahan dalam bidang pemasaran digital.

Bukan itu sahaja, gadis tersebut bakal dilatih menggunakan media sosial seperti TikTok dan Instagram untuk memasarkan produk bakeri, seiring trend perniagaan semasa yang semakin pesat berkembang dalam talian.

Langkah ini menunjukkan pendekatan MARA yang lebih holistik, bukan hanya fokus pada pendidikan teknikal, tetapi juga aspek keusahawanan digital yang relevan dengan generasi muda hari ini.

Kisah keluarga Aliah menjadi contoh bagaimana bantuan yang bersifat jangka panjang boleh memberikan impak lebih besar kepada komuniti.

No Image Caption

Daripada hanya memberi bantuan kewangan atau barangan, MARA memilih untuk membina laluan baharu – membantu mereka keluar daripada kitaran kesusahan melalui usaha yang mampan.

“Saya sangat tersentuh dengan kecekalan keluarga ini. Mereka tak pernah minta-minta. Tapi tetap usaha, tetap berniaga. Ini semangat yang kita nak pupuk,” kata Dr Asyraf.

Buat Aliah, peluang ini adalah satu cahaya di hujung terowong. Meskipun masih muda, dia sudah memikul beban besar, namun kini diberi ruang untuk memperbaiki nasib keluarga.

Anak harapn keluarga itu bukan sahaja berpeluang belajar, malah mampu menyumbang dengan cara lebih bermakna dengan menjadi usahawan yang membawa rezeki bukan sekadar untuk diri, tetapi untuk orang tersayang.

No Image Caption

Usaha MARA ini wajar dipuji kerana ia bukan sekadar menyantuni, tetapi membina. Bukan memberi sagu hati, tetapi membekal senjata kehidupan sebenar.

Inilah pendekatan yang patut menjadi inspirasi kepada lebih banyak agensi dan pihak berkepentingan dalam menangani isu kemiskinan dan ketidaksamarataan sosial.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang